ARKIB

KATEGORI

Buletin

5 Rekaan kereta terbaik Proton yang pernah dihasilkan

Views

Jika dihitung dari awal penubuhannya, memang banyak model yang Proton telah dilancarkan dan telah meluncur di jalan raya Malaysia dan juga luar negara. Dalam banyak-banyak model Proton yang pernah dikeluarkan, kami telah memilih 5 model yang mempunyai rekaan yang terbaik pernah dihasilkan dan ada di antaranya pernah memenangi anugerah rekabentuk terbaik.

Berikut adalah model-model yang menjadi pilihan kami:

1. Satria Neo

Pilihan pertama kami adalah Satria Neo. Tidak keterlaluan untuk kami mengatakan model hatchback kompak dua-pintu ini merupakan model yang paling menarik pernah dihasilkan oleh Proton. Satria Neo pernah menerima anugerah Malaysia Good Design dari Majlis Rekabentuk Malaysia pada tahun 2007. Model ikonik Proton yang cemerlang dalam arena rali ini mempunyai pelbagai versi, antaranya edisi terhad Lotus Racing, versi R3 dan CPS selain versi rali S2000.

Walaupun memiliki rekaan luaran yang menarik, namun model ini tidak begitu praktikal kerana ia hanya mempunyai dua-pintu yang kebiasaannya kurang digemari oleh mereka yang berkeluarga. Ruang dalamannya juga agak sempit dan kurang ergonomik menyebabkan jualannya tidak mencapai apa yang diharapkan.

Namun jauh di sudut hati, kami masih mengharapkan model Satria Neo dihidupkan kembali dalam bentuk baharu dan paling mustahak, model tersebut ‘wajib’ mempunyai empat-pintu dan lebih praktikal untuk semua golongan pembeli. Pada kami, model konsep Mazda Kai adalah contoh terbaik sebagai penanda aras model generasi baharu Satria Neo. Model crossover kompak Geely GS juga amat sesuai untuk berkongsi pelantar dengan Satria Neo generasi baharu sekiranya mendapat keizinan dari tuan empunya badan.

KLIK UNTUK BESARKAN

   

2. Perdana

Model generasi kedua Perdana pula menjadi pilihan seterusnya. Pada pandangan kami, Perdana baharu adalah model sedan terbaik pernah direka oleh Proton dan model yang dibangunkan dari pelantar Honda Accord generasi ke-8 ini juga telah menerima anugerah Malaysia Good Design dari Majlis Rekabentuk Malaysia pada tahun 2017.

Proton telah berjaya merombak hampir keseluruhan rupa luaran Honda Accord generasi ke-8 menjadi sebuah sedan yang nampak lebih moden dan elegan, namun begitu terpaksa mengekalkan rekaan dalaman yang agak dimamah usia atas beberapa faktor yang tidak dapat dielakkan. Mungkin jika Proton bercadang untuk membangunkan Perdana generasi seterusnya dengan usaha sama Geely, model Geely Emgrand GT boleh menjadi penderma pelantar yang paling sesuai.

KLIK UNTUK BESARKAN

3. Iriz

Di tempat ketiga kami memilih model hatchback kompak Iriz. Model yang diinspirasikan dari model konsep Proton EMAS rekaan Italdesign Giugiaro pada 2010 ini mempunyai rekabentuk yang unik terutama di bahagian belakang. Model Iriz kini sudah dinaik taraf dari segi NVHnya kini lebih senyap dan diperhalusi.

Iriz telah dipilih sebagai pemenang Reka Bentuk Perindustrian Terbaik pada tahun 2015 oleh Perbadanan Harta Intelek Malaysia dan pernah dianugerahkan sebagai Kereta Tahunan Terbaik 2014 dalam kategori hatchback kompak selain mendapat penarafan 5-Bintang dari ASEAN NCAP. Sempena Alami Proton 2014 Proton telah memperkenalkan model konsep crossover Iriz ACTIVE yang mendapat perhatian ramai, namun sehingga kini ia masih belum diperkenalkan.

Kami rasa sudah sampai masanya Iriz mendapat sentuhan kosmetik untuk menyuntik kesegaran pada model sedia ada kerana ia kini sedang diasak hebat oleh Perodua Myvi baharu yang mendapat sambutan luar dugaan pada ketika ini. Proton tidak perlu berlengah lagi jika mahu Iriz mengganggu penguasaan Myvi, jika tidak mereka terpaksalah menggigit jari.

KLIK UNTUK BESARKAN

 

4. Suprima S

Menduduki tangga keempat dalam senarai model Proton dengan rekaan terbaik pilihan kami adalah adik kembar Prevé versi hatchbackSuprima S. Model ini juga mungkin mendapat sentuhan Italdesign Giugiaro kerana versi sedan Prevé telah direka oleh firma rekabentuk tersohor dari Itali tersebut.

Suprima S adalah sebuah hatchback segmen-C yang memiliki rekabentuk luaran “yang tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas” serta memiliki ciri-ciri praktikal untuk mereka yang berkeluarga serta mempunyai ruang bagasi yang agak besar. Agak malang bagi Proton kerana jualan model ini agak perlahan disebabkan tanda harganya yang ‘agak tinggi’ berbanding abangnya Prevé.

Proton juga pernah mempertontonkan versi crossover Suprima S ACTIVE semasa acara My Auto Fest 2016 yang berlangsung di Mines International Exhibition and Convention Centre (MIECC). Suprima S ACTIVE juga mengikut jejak Iriz ACTIVE yang sekadar menjadi penyeri di reruai (booth) pameran. Jika Proton mahu meneruskan legasi Suprima S, mereka perlu duduk semeja dan berbincang dengan Geely untuk menghasilkan model serba baharu yang mampu menggugat pasaran suatu hari nanti.

KLIK UNTUK BESARKAN

  

5. Persona

Pilihan kelima kami adalah Persona generasi pertama. Mengapa kami pilih model ini berbanding generasi kedua, kerana faktor rekaannya lebih sempurna sebagai sebuah sedan berbanding model semasa. Persona sebenarnya adalah versi sedan Gen2 yang telah ditambahbaik supaya sesuai dengan kehendak pasaran ketika itu. Ia telah mendapat sambutan yang cukup menggalakkan dan ia merupakan titik tolak kepada zaman kebangkitan Proton di era tersebut.

Persona turut dianugerahkan Malaysia Good Design dari Majlis Rekabentuk Malaysia pada tahun 2007 bersama-sama Satria Neo. Hadir dalam beberapa varian seperti Elegance, Special Edition dan Edisi Khas Peringatan Ulang Tahun ke-25 Proton, model ini akan dikenang sebagai model yang berjaya mengubah persepsi pembeli yang skeptikal kepada jenama tersebut sebelum itu, terutama isu tingkap kuasa.

Dengan kehadiran generasi kedua yang dilengkapi ciri-ciri keselamatan terbaik dan canggih, kami berharap generasi ketiga Persona bakal menjadi sedan mampu milik yang bakal menguasai jalan-jalan raya di Malaysia pada masa akan datang. Mungkin juga Proton boleh memperkenalkan versi hibrid atau elektrik untuk model generasi ketiganya nanti yang dijangka bakal muncul pada tahun 2020/2021.

KLIK UNTUK BESARKAN

 

the authorMohd Izarul
Founder
Pereka grafik berjiwa otomotif

4 Comments


  • Iriz pun ade? Rase nye saga blm 1st model lg layak masuk list ni.

    Teringat dulu..seorang org kaya dekat kemaman, beli waja semata mata sebab lampu belakang nye cantik.kalau keluar minum,lampu waja tu la yang selalu ditunjuk nya.haha..

    Pendapat peribadi,bagi teman design proton tak ada identiti..ketua designer org sama tp prinsip design tak ade.pernah baca interview ketua designer dulu dulu pasal design kereta proton..pasal garis lurus,bersambung,timeless etc. Iriz tu, lepas myvi baru keluar terus nampak outdated. Timeless apekebende lagu tu.

    Sekian..maaf kalau ade yg terasa..


  • Kalau pilihan saya. (pandangan dari peminat hatchback/Hot hatch)
    1. Suprima S
    2. Perdana
    3. Preve
    4. Satria Neo
    5. Iriz

    Hanya Perdana & Preve yang menarik perhatian mata peminat model Hatchback.. Peminat Model Sedan & MPV mcm mana pula pandangan anda? Jom.. Letak pilihan masing-masing..


    • Saya pula (pandangan dari peminat sedan/saloon)
      1. Perdana
      2. Preve
      3. Suprima
      4. Satria Neo
      5. Iriz

      Preve 2018 perlu ada major FL interior dan exterior serta enjinnya perlu ditala semula sebelum digantikan dengan generasi baru 2020-2021..


    • Bagi saya(Peminat MPV,SW,SUV/CROSS)
      1.Perdana
      2.Iriz
      3.Suprima S
      4.Persona
      5.Exora

      Iriz improvent ni, lebih sporty,harap-harap geely boyue tu design dpan ngan belakang ubah lebih kurang macam perdana, begitu juga dgn Mpv baru proton yang khabarnya akan ade di 2020.

      Suprima S dan prevè tu bagi aku memang timeless tapi klau bagi rim two tone+warna baru+dll+pakai enjin TGDI lagi mantap.

      Persona tu klau dipanjangkan skit depan tu +dll ok lah, tk macam iriz tambah punggung bak kata orang indon bertopeng

Leave a Reply