ARKIB

KATEGORI

Buletin

Honda sahkan satu lagi kes inflator beg udara pecah dalam kemalangan di Johor

Views

Krisis inflator beg udara Takata semakin meningkat apabila Honda mengesahkan satu lagi kes beg udara single stage (SDI) pecah berlaku dalam kemalangan di Johor pada 24 September 2016. Ia mengakibatkan kematian pemandu kenderaan Honda City tersebut. Buat masa ini punca kematian rasmi belum lagi disahkan.

Honda telah mengesahkan perkara ini semasa melakukan pemeriksaan bersama Polis DiRaja Malaysia. Kenderaan yang terlibat dalam kemalangan tersebut termasuk dalam program panggilan balik produk di seluruh Malaysia yang telah diumumkan pada 10hb Julai 2016, yang memerlukan penukaran inflator beg udara Takata bahagian pemandu. Surat notis telah pun dikeluarkan kepada pemilik terlibat dan rekod Honda mendapati tiada sebarang pembaikan dibuat.

Kenderaan yang terlibat juga termasuk dalam senarai pengumuman panggilan balik beg udara penumpang single stage (SDI) Takata yang telah diumumkan pada 23 Jun 2016. Honda turut mengesahkan inflator beg udara penumpang tidak pecah semasa ia mengembung dan berfungsi dengan baik. Pihak Honda juga kini sedang berhubung dengan pihak berkuasa dan wakil dari ahli keluarga pemandu terbabit serta tidak akan menyiarkan sebarang maklumat peribadi mengenainya.

Honda Malaysia kini giat mengadakan aktiviti pemberitahuan mengenai panggilan balik berhubung inflator beg udara Takata melalui siaran media, iklan, siri jelajah, panggilan peribadi dan sistem pesanan ringkas (SMS) untuk terus memberi maklumat kepada pelanggan dan menyarankan supaya pelanggan yang terlibat segera melakukan penggantian. Selain itu Honda juga telah menambah jumlah stok serta meningkatkan keupayaan servis melalui Hab Servis Berpusat, Hab Bergerak dan megutamakan aktiviti penggantian di pengedarnya.

Seperti yang diumumkan pada Ogos 2016, Honda Malaysia telah memastikan 100 peratus stok inflator beg udara pemandu Takata dan setakat 27 September 2016, mereka telah berjaya menukar hampir 157,000 unit infator yang terlibat, iaitu bersamaan dengan 60 peratus jumlah keseluruhan. Untuk model City, Honda Malaysia telah menukar kira kira 33,600 unit infator yang bersamaan 66 peratus jumlah keseluruhan.

Selain itu, setakat 27 September 2016, Bahagian Utara (Pulau Pinang), Selatan (Johor), Tengah (Selangor) dan Hab Bergerak telah menyelesaikan lebih 10,800 penukaran inflator beg udara hadapan Takata pada kereta Honda yang terlibat sejak Ogos 2016. Ini telah menyumbang kepada lebih 211,000 unit atau 54 peratus dari jumlah keseluruhan penggantian.

Honda Malaysia sekali lagi menyeru pemilik kenderaan Honda yang terlibat untuk membuat pembaikan di pengedar bertauliah dengan segera. Mereka boleh menyemak status kenderaan di www.productrecall.honda.com.my atau www.honda.com.my.vehicles atau boleh juga menghubungi taian bebas tol 1-800-88-2020 atau mengunjungi mana mana pengedar bertauliah seluruh negara.

the authorMohd Izarul
Founder
Pereka grafik berjiwa otomotif

7 Comments

Leave a Reply