ARKIB

KATEGORI

Buletin

Hyundai lancar Santa Fe serba baharu di Korea Selatan

Views

Hyundai telah melancarkan model generasi baharu Santa Fe di negara kelahirannya Korea Selatan dengan penampilan yang lebih memukau dan sekali imbas ia persis saudaranya yang lebih kecil, Kona. Model lima-tempat duduk Santa Fe Sport kini dikenali sebagai Santa Fe, manakala versi tujuh-tempat duduknya pula dinamakan sebagai Santa Fe XL. Gergasi automotif dari Korea itu juga mengesahkan model lapan-tempat duduk serba baharu kini turut dibangunkan dan ia bakal mendapat nama yang baharu.

Secara keseluruhan, Santa Fe berukuran 4,770mm panjang, 1,890mm lebar dan 1,680mm tinggi dengan jarak roda 2,765mm. Ini bermakna model Santa Fe baharu lebih panjang 70mm, lebih lebar 10mm dan jarak rodanya pula bertambah sebanyak 65mm. Disebabkan pertambahan dimensinya, kapasiti kargonya turut bertambah dari 585 liter kepada 625 liter. Model tujuh-tempat duduknya pula mampu menyimpan 130 liter barang di belakang tempat duduk baris ketiganya.

Ruang kabinnya dilengkapi dengan kluster instrumen digital, paparan ‘head-up’, pintu belakang kuasa dan sistem infotainmen yang dilengkapi teknologi pengecaman suara dan serasi bersama aplikasi Apple Car Play. Beberapa alat bantuan memandu seperti pengelak perlanggaran hadapan, bantuan tersasar lorong dan kawalan perjalanan pintar dengan fungsi henti dan mula turut terdapat pada model ini. Fungsi lain seperti bantuan pemanduan lebuhraya dan sistem amaran perlanggaran belakang juga mereupakan antara ciri-ciri canggih Santa Fe 2019.

Di Korea Selatan, Santa Fe akan ditawarkan dengan tiga pilihan enjin yang berbeza – versi pengecas turbo 2.0-liter empat silinder berkuasa 235 PS dan 353 Nm tork, enjin 2.0-liter diesel yang berkuasa 186 PS dan 402 Nm tork dan enjin 2.2-liter yang mampu menjana 202 PS dan 441 Nm tork. Kesemua penjana kuasa ini digandingkan dengan transmisi lapan-kelajuan automatik yang boleh dipadankan dengan sistem pacuan empat-roda. Harga jualan Santa Fe bermula dari RM102,538 (28.15 juta Won) dan Hyundai telah menerima 14,243 tempahan model tersebut hingga setakat ini.

KLIK UNTUK BESARKAN

the authorMohd Izarul
Founder
Pereka grafik berjiwa otomotif

Leave a Reply