ARKIB

KATEGORI

Buletin

KIA Sorento dan Sportage varian turbo diesel dilancarkan

Views

Naza Kia Malaysia, telah memperkenalkan varian turbo diesel untuk Sorento dan Sportage GT. Kedua-dua model ini boleh didapati disemua bilik pameran Kia seluruh negara. Kia Sorento dikuasakan oleh enjin 2.2 CRDi (Common Rail Direct Injection), manakala Kia Sportage GT pula dilengkapi enjin 2.0 AWD GT CRDi yang mampu menghasilkan 440Nm dan 400Nm daya kilas. Kesemua varian enjin ini digandingkan dengan transmisi enam kelajuan automatik. Varian ini juga lebih cekap penggunaan bahan api dan kedua-duanya mampu mencatatkan 1,000km untuk setangki penuh.

Sorento HS Turbo Diesel tampil dengan rekaan yang lebih dinamik gaya Eropah dengan lampu projektor HIID bersama sistem lampu adaptif serta jeriji besar yang dihiasi corak jaring kubik tiga dimensi. Ia turut dilengkapi dengan rim aloi premium bersaiz 19 inci. Rekabentuk Sorento HS Turbo Diesel telah diiktiraf oleh Red Dot Awards dan iF Design Awards serta pelbagai anugerah berprestij lagi.

Bahagian dalamannya pula menampilkan penggunaan upholsteri kulit untuk mencipta rasa mewah moden serta menjadikannya sebuah kenderaan yang premium. Sorento HS Turbo Diesel turut dilengkapi dengan pelbagai teknologi terkini seperti Sistem Infohiburan Multimedia dengan paparan skrin TFT LCD bersaiz 7 inci, pintu belakang pintar, tempat duduk pemandu dengan pelarasan 10 cara, Sistem Bantuan Parkir Pintar, Sistem Pemantauan Tekanan Tayar, brek parkir elektronik dan mod pemanduan dengan tetapan Normal, Eco atau Sport.

Model ini juga dilengkapi dengan sistem keselamatan terbaik dalam kelasnya dan antara ciri ciri tersebut adalah enam beg udara, kawalan kestabilan kenderaan, kawalan kestabilan elektronik, sistem brek anti-kunci, sistem bantuan mula mendaki dan penggunaan struktur badan yang diperbuat daripada Keluli Berkekuatan Tinggi Termaju. Ia sekaligus memberikan Sorento penarafan lima bintang daripada Euro NCAP dan NHTSA NCAP selain menjadi pilihan utama IIHS Top Safety Pick.

Warna yang ditawarkan adalah Imperial Bronze (warna baharu), Snow White Pearl, Aurora Black Pearl dan Silky Silver. Harga untuk Sorento HS Turbo Diesel 2.2L CRDI ditawarkan pada RM191,888 dengan lima tahun waranti tanpa had perbatuan mengikut terma dan syarat.

Sportage GT versi turbo diesel pula, seperti versi petrolnya, direka untuk memikat hati mereka yang mahukan pemanduan Sportage yang lebih sporty. Spesifikasi GT Line memberikan visual yang lebih mengujakan dan penampilan dinamik untuk mereka yang sangat menginginkannya. Wajah yang dihiasi jeriji ciptaan Peter Schreyer, lampu LED berbentuk kiub ais dan lampu hadapan elegan dengan lampu nyalaan siang LED nyata memberikan gaya yang sangat unggul.

Ruang dalamannya juga menampilkan rekaan yang elegan yang menggabungkan elemen inovasi, keselesaan dan rekaan bertaraf dunia yang diserikan lagi dengan penggunaan bahan yang premium. Ia dilengkapi dengan Sistem Infohiburan Multimedia, sistem audio dengan enam pembesar suara, paparan skrin 4.2 inci TFT-LCD serta tempat duduk kuasa untuk pemandu dan penumpang. Dari segi keselamatan, Sportage GT dilengkapi dengan enam beg udara, kawalan kestabilan kenderaan, kawalan kestabilan elektronik, sistem brek anti-kunci, sistem bantuan mula mendaki dan penggunaan struktur badan yang diperbuat daripada Keluli Berkekuatan Tinggi Termaju.  Ia turut dianugerahkan penarafan lima bintang daripada Euro NCAP.

Sportage yang turut memenangi pelbagai anugerah berprestij antaranya Kajian Kebolehpercayaan Kenderaan dari J.D. Power, Red Dot Awards 2016 untuk Rekabentuk Produk dan pilihan utama IIHS Top Safety Pick 2016, boleh didapati dengan lima pilihan warna menarik seperti  Cherry Black, Mercury Blue, Fiery Red, Snow White Pearl dan Mineral Silver. Harga bagi varian Sportage 2.0L AWD GT CRDi  pula ditawarkan pada RM159,888 dengan lima tahun waranti tanpa had perbatuan mengikut terma dan syarat.

KLIK UNTUK BESARKAN

SORENTO SPORTAGE

the authorMohd Izarul
Founder
Pereka grafik berjiwa otomotif