ARKIB

KATEGORI

BuletinInfo

Krisis Takata – Beg udara pembunuh

Views

Artikel oleh Shamsul Yunos

  • Jangan tangguh, pergi segera ke pusat servis jika kenderaan anda terlibat
  • Sayangi keluarga anda, kelewatan menukar beg udara boleh membunuh
  • Tiada jaminan peledak beg udara dalam model terlibat tidak berkecai dan mencederakan atau membunuh

Anda ada kereta yang menggunakan beg udara Takata yang belum ditukar? Anda memang sorang yang berani, anda juga mungkin seorang yang kurang bijak. Pergilah tukar sekarang. Hakikatnya beg udara Takata yang mempunyai peletup yang rosak boleh membunuh, setiap kali anda memandu kereta anda ianya seperti meletakkan sebuah pistol di depan muka anda dan pemicunya disambung kepada satu batu yang tergantung, jika batu itu tersentap, pistol mungkin meledak.

Setiap kali mereka memandu, seolah olah ada pistol yang boleh menembak bila kereta terhentak. Amat mengerikan. Tiap kali bawa kereta macam main Russian Roulette. Yang mengerikan, kerosakan kepada peledak beg udara Takata ini mudah berlaku jika digunakan di tempat yang panas dan lembab, macam iklim khatulistiwa di Malaysia ni.

Kematian seorang wanita baru baru ini dalam satu kemalangan kecil yang melibatkan kereta Honda City tahun 2005 beliau menunjukkan sekali lagi bahawa isu beg udara Takata adalah krisis paling besar industri automotif.

Di Malaysia, hampir 150,000 kenderaan Honda terlibat, kita tidak ada maklumat pasti tentang bilangan dari jenama lain yang terlibat, anggaran kami angka ini melebihi 300,000 unit kenderaan dan mungkin setinggi setengah juta kereta yang kini menunggu untuk mencederakan pemandu. Sejumlah hampir 65 juta kenderaan yang menggunakan peralatan keselamatan dari syarikat Jepun tersebut sebenarnya boleh membunuh bila bila masa di seluruh dunia.

Perlukah semua kenderaan yang terlibat dihantar serta merta ke pusat servis yang terdekat dan tidak dipandu sehingga beg udaranya ditukar? Inilah cadangan yang paling selamat tapi beranikah anda memandu kenderaan anda dari rumah ke pusat servis?

Menurut laporan media, jika Takata dan syarikat kereta hendak menukar kesemua 65 juta beg udara yang rosak di seluruh dunia dan setiap pemandu beratur untuk mengambil giliran, proses ini hanya akan selesai pada tahun 2019. Ini bukan satu krisis Perhubungan Awam, ini bukan krisis persepsi, ini bukan krisis kewangan, ini soalan hidup mati.

Ramai yang tidak menghantar kereta mereka yang terlibat dengan panggil balik kerana kebanyakkan kita tidak memahami kuasa yang terkandung dalam peledak beg udara yang diletakkan di dalam stereng kereta kita dan juga di papan pemuka depan.

Peledak tersebut cukup kuat untuk melambung kombinasi tayar dan rim lebih 30 kaki ke udara, jika anda duduk di atas beg udara yang meletup anda boleh melambung sejauh 10 kaki bila ia meledak. Kalau muka anda berada di lingkungan ledakan beg udara, kesannya mungkin hidung yang herot dan lebam seluruh muka, seolah ditinju oleh Manny Paquiao.

Honda Malaysia mengatakan bahawa Honda City yang membunuh baru baru ini memang terlibat dengan panggil balik akibat krisis beg udara Takata tetapi kenderaan tersebut belum lagi melalui proses tersebut. Dalam kenyataan rasminya, Honda Malaysia berkata pemeriksaan bersama dengan pihak Pasukan Bomba dan Penyelamat mendapati peledak beg udara sebelah pemandu dalam Honda City tersebut telah berkecai dan serpihannya bersembur keluar.

Segeralah hantar kereta anda ke pusat servis terdekat, jika anda di beri tarikh untuk menukar komponen yang rosak, setidak tidaknya anda sudah melakukan apa yang terdaya dan jika apa apa berlaku, lebih mudah anda untuk menuntut pampasan dari syarikat yang terlibat. Bukan kita nak pampasan tapi setidak tidaknya ia memaksa syarikat yang terlibat untuk bertindak dengan kadar segera.

Jenama dan Model yang terlibat KRISIS BEG UDARA TAKATA

Jenama :  Honda
Model yang terlibat : Accord (2003 – 2011), City (2009 – 2011),  Civic (2007 – 2011),  CR-V (2008 – 2011), Freed (2009 – 2011),  Insight (2011), Jazz (2009 – 2011), Odyssey (2004 -2008)

Hubungi  talian bebas tol 1-800-88-2020 atau layari laman sesawang honda.com.my

Jenama : Toyota
Model yang terlibat : Vios (2007 – 2008), Corolla Altis (2007 – 2008), Yaris (2007 – 2008)

Hubungi talian bebas tol 1-800-88 6968 2 atau layari laman sesawang toyota.com.my

Jenama : Mazda
Model yang terlibat : Mazda BT-50 (2006 – 2011), Mazda 6 (2003 – 2007)

Hubungi talian 03 -7627 8999 atau layari laman sesawang mazda.com.my

Jenama : Nissan

Model yang terlibat : X-Trail (2002 – 2007), Teana (2004), Liberty (2003)
Hubungi talian 1-800-88 3838 atau layari laman sesawang nissan.com.my

Jenama : Mitsubishi
Model yang terlibat : Triton 3.2 (2006 -2014)

Hubungi talian 1-800-18 6611 atau layari laman sesawang mitsubishi-cars.com.my

PENTING!
Semua pembaca Funtasticko diajak menyebarkan maklumat ini kepada semua kaum keluarga dan sahabat yang memiliki kenderaan yang terlibat bagi memastikan keselamatan mereka. Usaha anda mungkin menyelamatkan nyawa mereka.

* RALAT !

Kami dimaklumakan oleh rakan media dan juga pihak Suzuki yang mengesahkan tiada model nya yang terlibat dengan krisis beg udara keluaran Takata. Model Swift menggunakan beg udara keluaran Continental dan Siemens. Kami memohon maaf atas kesilapan maklumat yang diberikan tempoh hari.

featured image - artikel airbag takata

the authorMohd Izarul
Founder
Pereka grafik berjiwa otomotif

20 Comments

Leave a Reply