ARKIB

KATEGORI

Buletin

Lotus lancar dua model kereta sport baharu pada tahun 2020

Views

Lama kita tidak mendengar perkembangan terkini dari Lotus semenjak diamil alih oleh Geely. Ketua Pegawai Eksekutifnya, Jean-Marc Gales baru-baru ini telah mengesahkan jenama kereta sport ikonik British itu sedang membangunkan dua model kereta sport dan butiran lanjut mengenainya bakal diketahui pada musim panas ini.

Bercakap kepada Auto News Europe, Gales berkata projek tersebut telah mendapat ‘perkenan’ dari Geely dan kedua-duanya bakal dilancarkan pada tahun 2020. Tambahnya lagi, model tersebut bakal menjadi model baharu yang pertama sejak syarikat tersebut memperkenalkan Evora pada 2009.

Kedua-dua model bakal menjadi penanda aras dari segi pengendalian, aerodinamik dan ringan. Salah satu daripadanya bakal menggantikan model sedia ada seperti Elise, Exige atau Evora. Pada 2010, semasa masih menjadi anak syarkat Proton, Lotus pernah mencadangkan model gantian Elise yang dijadualkan pada 2020 dan ada kemungkinan model tersebut adalah calon sesuai untuk mendapat generasi yang baharu.

Sebuah model lagi agak misteri, tetapi ada laporan mengatakan ia bakal menjadi pengganti kepada 3-Eleven. Selain dua model tersebut, Gales turut mengesahkan Lotus sedang membangunkan sebuah crossover yang hanya akan tiba dalam masa empat tahun lagi. Rekabentuk model crossover belum lagi dimuktamadkan namun beliau memberi petunjuk yang ia harus dikenali sebagai Lotus walaupun syarikat tersebut “tidak boleh menggunakan bahasa rekabentuk yang sama seperti kereta sport keluarannya”.

Model crossover ini dikatakan mempunyai saiz yang hampir sama dengan Porsche Macan atau Cayenne dan mungkin menggunakan gabungan modul keluarga baharu Geely yang sudah terbukti dan menggabungkannya untuk menghasikan sebuah crossover berprestasi tinggi yang cantik dan estetik. Ia bakal dikeluarkan di dua lokasi berbeza dan salah satu lokasi tersebut mungkin di China yang mempunyai pasaran model SUV yang amat besar.

KLIK UNTUK BESARKAN

the authorMohd Izarul
Founder
Pereka grafik berjiwa otomotif

Leave a Reply