ARKIB

KATEGORI

Buletin

Porsche menang dengan Toyota tapi tewas dengan KIA

Views

Artikel oleh Shamsul Yunos

Kami bukan bercakap tentang keputusan perlumbaan lasak Le Mans 24 jam dimana kereta Toyota semput di pusingan terakhir dan membolehkan Porsche menang di Le Mans buat kali ke 18, tetapi ini kisah keputusan perangkaan JD Power mengenai kualiti kereta.

Menurut pakar kira kira JD Power, jenama dari Korea, KIA kini berada ditempat teratas dalam ukuran kualiti mula kereta dan ini berdasarkan maklumbalas pembeli setelah menerima kenderaan baru mereka.

Keputusan yang kami ceritakan ini bukan hasil dari kajian di Malaysia tapi perangkaan dari Amerika Syarikat dan menurut firma kajian dan pemasaran JD Power, jenama kereta sport Jerman, Porsche, menduduki tempat kedua manakala jenama sepupu Kia iaitu Hyundai berada di tempat ketiga.

5 jenama teratas kajian kualiti j.d power 2016 update

JD Power merakamkan jumlah masalah yang dialami oleh pembeli selepas menerima kenderaan baru mereka dan pembeli KIA melaporkan 82 masalah berbanding dengan Porsche yang merekodkan 83 masalah. Perbezaan yang amat kecil yang menunjukkan bahawa KIA perlu terus berusaha jika mereka mahu terus berada di tangga teratas kerana Porsche cukup hampir untuk menepis mereka dari tempat teratas.

Sebagai jenama massa, KIA berhadapan dengan jauh lebih banyak pembeli berbanding dengan Porsche, ini menjadikan kemenangan mereka amat berganda membanggakan kerana usaha yang perlu dilakukan untuk mencapai tahap kualiti tersebut adalah berlipat kali ganda lebih sukar dari apa yang perlu dilakukan oleh jenama mewah seperti Porsche yang menjual jauh lebih sedikit kenderaan berbanding dengan KIA.

Dari keputusan ini kita dapat lihat bahawa Hyundai mencatat 92 masalah berbanding dengan jenama di tempat ke-empat, Toyota yang merekodkan 93 masalah secara purata. Boleh kita katakan bahawa angka yang dicapai oleh Hyundai dan Toyota adalah lebih membayangkan realiti jenama massa dan sebab itulah keputusan ini telah menggegarkan industri automotif di Amerika Syarikat.

Namun, persoalannya, adakah KIA dapat meneruskan keputusan cemerlang ini dan memberi kualiti tertinggi kepada para pembelinya di Amerika Syarikat? Jika boleh kami tabik hormat kepada KIA kerana ia bakal menjadi pencapaian paling cemerlang mereka dan seluruh industri automotif Korea.

5 jenama tercorot kajian kualiti j.d power 2016

Persoalan yang lebih besar lagi ialah samada Naza KIA (758 mata) akan dapat mengikut jejak langkah jenama tersebut di benua Amerika dan dan naik dari kedudukan kelima selepas Mazda (774 mata), Mitsubishi (773 mata), Honda (760) dan Ford (758) dalam kajian indeks perkhidmatan pelanggan JD Powers di Malaysia.

Keadaan di Malaysia ini juga membanggakan untuk KIA kerana Hyundai mendapat 742 mata dan berada di bawah 749 mata purata pasaran jenama massa. Indeks perkhidmatan pelanggan memberi fokus kepada tahap perkhidmatan lepas jualan manakala kajian kualiti mula mencatat bilangan masalah yang dibangkitkan oleh pembeli namun kedua duanya boleh dijadikan kayu pengukur kedudukan jenama kenderaan dari segi kualiti dan persepsi kualiti di pasaran

Kejayaan KIA boleh dijadikan inspirasi kepada semua jenama lain yang mungkin tidak pernah terfikir mereka boleh mengatasi gergasi kualiti seperti Porsche. Di tangga tangga terbawah di Amerika Syarikat ialah jenama MINI berada di tempat tercorot dan setakuk di atasnya ialah Mazda dan kemudian Jaguar.
Selain Mazda yang dikategorikan sebagai jenama massa, MINI dan Jaguar dilihat sebagai mewah atau amat mewah di pasaran Malaysia namun mereka mencatat tahap kualiti yang teruk di pasaran Amerika.

the authorMohd Izarul
Founder
Pereka grafik berjiwa otomotif

5 Comments


  • proton dah tahu masaalah pun dibiarkan,tampa ada penyeselaian dari kilang contoh getah atas bumbung iris yang mudah terbang dibiarkan sehingga pemilik menuntut tuntutan dalam jaminan,kalau nak cerita banyak lagi benda bermasaalah yang sepatutnya boleh diselesaikan dari kilang dan pembekal komponen.

Leave a Reply