ARKIB

KATEGORI

Buletin

Projek kereta nasional ketiga – SilTerra Malaysia sedia tawar kepakaran

Views

Memetik laporan dari Berita Harian semalam, anak syarikat Khazanah Nasional Bhd (Khazanah), SilTerra Malaysia Sdn Bhd (SilTerra Malaysia), bersedia untuk menawarkan kepakarannya dalam projek pembangunan kereta nasional ketiga. Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Firdaus Abdullah, SilTerra Malaysia kini berupaya menguasai lima bidang utama yang mampu menyumbang dan menjadi keperluan kepada industri automotif negara pada masa ini seterusnya masa depan.

Antara lima bidang berkenaan termasuklah kuasa pintar bagi bateri, motor dan sistem pengecasan; pengawalan mikro; sistem ‘infohiburan’; pengesan (sensor) dan pencahayaan masa depan. Sehingga Januari 2019, syarikat tersebut telah menerima pensijilan automotif IATF16949 yang diiktiraf di peringkat dunia dan pada masa sama membolehkannya menjadi pembekal dalam rantaian bekalan automotif di peringkat global termasuk kepada gergasi industri termasuk BOSCH serta pengeluar kereta lain.

Pengeluar wafer semikonduktor itu sebelum ini telah berkecimpung dalam industri automotif sejak 2015, menerusi pasaran ‘Smart Power IC’ dan pengesan. SilTerra Malaysia dikatakan antara syarikat yang disebut-sebut untuk terlibat dalam projek kereta nasional ketiga menerusi keupayaannya dalam pembangunan mikrocip.

Sebagai peserta industri yang aktif di peringkat global dan lebih 19 tahun beroperasi, mereka kini mempunyai kemampuan untuk membekalkan keperluan mikrocip dan menjual teknologi elektronik penguna serta perkhidmatan bagi pasaran automotif tempatan. Pada masa ini, sebanyak 99 peratus hasil pengeluarannya adalah bagi pasaran eksport ke luar negara terutama China, Taiwan dan Amerika Syarikat (AS) dan selebihnya adalah bagi pasaran domestik.

JOM BACA >> INTIP: Rombongan unit ujian Lynk & Co singgah di Temerloh – Adakah ia petanda jenama ini bakal masuk ke Malaysia?

Selari dengan matlamat kerajaan untuk membangunkan kereta nasional ketiga dan terus meningkatkan keupayaan industri automotif pada masa depan, SilTerra Malaysia bersedia untuk meningkatkan penguasaan dalam pasaran tempatan. Namun hingga setakat ini, syarikat yang berpusat di Taman Teknologi Kulim, Kedah itu masih belum menerima sebarang tawaran rasmi bagi projek berkenaan tetapi tetap bersedia jika diberi peluang.

Berdasarkan data SilTerra Malaysia, pengeluaran kereta setahun kira-kira 100 juta dan jumlah itu dijangka akan meningkat kepada 200 juta kereta dalam tempoh 30 tahun akan datang. Mengikut trend, elektronik automotif adalah segmen paling pesat berkembang dalam industri semikonduktor global iaitu kira-kira 15 peratus setahun.

Malah menjelang 2050, lebih daripada 85 peratus pembuatan kereta baharu adalah bagi pasaran segmen kenderaan elektrik (EV) atau hibrid dengan pemanduan berautonomi serta dilengkapi sistem elektronik, sekali gus akan menyumbang kepada lebih 50 peratus daripada jumlah kos membangunkan sesebuah kereta.

Selari dengan trend dan pertumbuhan industri yang memberangsangkan pada masa depan, ia memberi banyak kelebihan kepada Malaysia yang sedia menjadi pengeksport utama bagi sektor elektrik dan elektronik (E&E) di peringkat dunia. Sebagai pemangkin kepada pertumbuhan industri, SilTerra Malaysia juga bersedia untuk menjalinkan kerjasama pintar dengan pihak lain dalam serta luar negara, selain membuka lebih banyak peluang kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi berkongsi kepakaran bersama sama.

Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) sebelum ini turut mengumumkan peruntukan sehingga RM20 juta bagi membangunkan prototaip kereta nasional ketiga yang sebahagian besarnya adalah daripada pelaburan vendor. Prototaip tersebut bakal dilancarkan pada suku pertama 2019.

JOM BACA >> Apa model baharu yang bakal dilancarkan Proton antara 2018 hingga 2023?

KLIK UNTUK BESARKAN

the authorMohd Izarul
Founder
Pereka grafik berjiwa otomotif

Leave a Reply