ARKIB

KATEGORI

Buletin

Tiada kenaikan tol di 21 lebuh raya seluruh negara tahun depan

Views

New Straits Time sebentar tadi melaporkan kabinet telah bersetuju pada 12 Disember lalu untuk membekukan semua kenaikan tol untuk semua jenis kenderaan di 21 lebuh raya seluruh negara yang sepatutnya naik pada tahun hadapan. Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, ia merupakan perubahan yang ketara daripada pengumuman Belanjawan 2019 yang dibuat pada 2 November lalu, yang dijadualkan membekukan semua kenaikan tol tahun depan untuk tol antara bandar sahaja.

Selain daripada membekukan kenaikan tol, keputusan itu juga turut melibatkan bas di lapan lebuh raya, bersama dengan penghapusan tol motosikal untuk Jambatan Pulau Pinang (Jambatan Pertama Pulau Pinang), Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (Jambatan Kedua Pulau Pinang) dan Link Kedua di Johor mulai 1 Januari tahun depan, yang akan menelan belanja RM994.43 juta.

Pembekuan kenaikan tol menyeluruh adalah usaha berterusan oleh kerajaan persekutuan Pakatan Harapan untuk mengurangkan beban kos hidup yang ditanggung oleh semua rakyat Malaysia. Disebabkan pembekuan tol untuk semua kelas kenderaan di 21 lebuh raya ini, kerajaan akan menanggung bayaran pampasan sebanyak RM972.75 juta kepada syarikat konsesi tol lebuh raya yang terlibat untuk tahun 2019. Hampir 40 tol di 21 lebuh raya ini akan terlibat dalam keputusan ini.

JOM BACA >> INTIP : Proton uji Iriz MC2 dan Persona facelift semasa cuti Krismas?

Antara 21 lebuh raya yang terlibat termasuklah:

  1. Lebuhraya Utara-Selatan
  2. Lebuhraya Link Kedua Malaysia-Singapura
  3. Lebuhraya Kesas
  4. Lebuhraya ELITE
  5. Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1
  6. Lebuhraya Sungai Besi (Besraya)
  7. Lebuhraya Pantai Baharu (New Pantai Expressway)
  8. Lebuhraya Damansara-Puchong
  9. Lebuhraya Ampang-Kuala Lumpur (Akleh)
  10. Lebuhraya Butterworth-Kulim
  11. Lebuhraya Duta-Ulu Klang (DUKE)
  12. Lebuhraya Maju Expressway (MEX)
  13. Lebuhraya Kajang–Seremban (Lekas)
  14. Lebuhraya Senai-Desaru
  15. Lebuhraya Sprint
  16. Lebuhraya SKVE
  17. Lebuhraya Seremban-Port Dickson
  18. Lebuhraya New North Klang Straits Bypass (NNKSB)
  19. Lebuhraya Koridor Guthrie
  20. Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (Jambatan Kedua Pulau Pinang)
  21. Stormwater Management and Road Tunnel (SMART)

Untuk kenderaan kelas 5 (bas), Lim berkata, kabinet telah memberi ‘lampu hijau’ untuk membekukan kenaikan tol dengan anggaran kos bernilai RM1.68 juta untuk lapan lebuh raya. Ia termasuklah Lebuhraya Cheras-Kajang (Grand Saga), Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, Lebuhraya Kemuning-Shah Alam, Lebuhraya Butterworth Outer Ring Road (BORR), Lebuhraya Kajang Silk, Lebuhraya KL-Kuala Selangor, Lebuhraya Pantai Baharu (New Pantai Expressway) dan Lebuhraya Sprint, melibatkan 20 tol.

Seperti yang diumumkan semasa pembentangan Belanjawan 2019, menteri tersebut berkata kerajaan akan menghapuskan tol untuk penunggang motosikal yang menggunakan Jambatan Pulau Pinang dan Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah di Pulau Pinang, selain Link Kedua di Johor. Ia bakal melibatkan kos kepada kerajaan sebanyak RM20 juta setahun sebagai bayaran pampasan berkuatkuasa 1 Januari 2019. Lim menambah, kerajaan ketika ini sedang mengkaji kaedah terbaik untuk memenuhi janji manifesto pilihan raya umum seperti yang dinyatakan dalam Buku Harapan, sambil menambah pembekuan tol adalah sebahagian daripada usaha tersebut.

JOM BACA >> INTIP : SUV Perodua dihantar ke Jepun?

KLIK UNTUK BESARKAN

the authorMohd Izarul
Founder
Pereka grafik berjiwa otomotif

2 Comments

Leave a Reply