ARKIB

KATEGORI

Buletin

Bagaimana balik kampung telah membantu Honda menghasilkan Jazz yang lebih sempurna? Kami dedahkan rahsia Jazz Hybrid 2017 yang laman lain tak dapat

Views
Rahsia Jazz Hybrid - Kami korek sampai habis

Malaysia menjadi satu-satunya negara selain Jepun yang memperkenalkan sistem Intelligent Dual-Clutch Drive Hybrid (i-DCD) baharu. Honda Jazz Hybrid baharu merupakan satu-satunya Sport Hybrid yang ditawarkan pada harga bawah RM90,000 di Malaysia. Yang menariknya, Honda telah melakukan R&D selama dua tahun di Malaysia untuk varian Hibrid.

Hasil usaha tersebut telah menghasilkan sebuah Jazz Hybrid yang lebih sempurna dari yang asal dan mereka mengambil keputusan untuk menggunakan spesifikasi yang dibangunkan di Malaysia untuk pasaran Jepun. Honda risau suhu dan tahap kelembapan iklim tropika di Malaysia mungkin akan menyebabkan sistem gear dual-klac akan gagal, seperti yang telah berlaku kepada satu jenama lain yang terkenal.

Untuk memastikan sistem dual-klac mereka dapat terus berfungsi dengan baik, mereka telah menguji Jazz Hybrid dengan, apa lagi? Naik Genting Highlands lah. Ujian menaiki cerun curam ke Genting Highlands ini agak penting bagi memastikan kotak gear dan sistem hibrid dapat menghasilkan prestasi yang diharapkan oleh pemandu Malaysia, kata mereka pemandu Malaysia ni suka bawa laju, walaupun bila naik bukit. Betul lah tu.

Honda juga telah membawa Jazz Hybrid ini balik kampung semasa Hari Raya Puasa dan juga cuti Tahun Baru Cina ketika tempoh R&D dan sekali dengan proses memanjat Genting Highlands, ini telah membantu Honda menghasilkan Jazz Hybrid yang lebih sempurna. Salah satu sasaran mereka ialah mengurangkan sentapan (jerking) yang berlaku apabila gear ditukar oleh sistem dual klac yang sebenarnya sebuah kotak gear manual yang beroperasi secara automatik.

Para jurutera mahu menghasilkan prestasi yang terbaik tetapi tidak mahu mengabaikan keselesaan pengguna. Dengan itu mereka harus mengurangkan sentapan yang berlaku ketika klac dibuka dan ditutup untuk menukar gear. Kami menemuramah jurutera kanan projek Jazz Hybrid dan kami diberitahu bahwa mereka telah mengubah nisbah gear untuk kelajuan 2,3,4 dan 6. Mereka telah merapatkan nisbah gear terbabit dan menjadikannya nisbah rapat (close-ratio).

Selalunya nisbah rapat ini digunakan untuk menambah kuasa, tetapi kali ini ianya digunakan untuk mengurangkan gelincir klac (Clutch slippage) yang menjadi satu punca utama klac haus cepat dan mengakibatkan kerosakan lain pada kotak gear akibat haba yang dijana. Untuk tujuan ini, Honda mengurangkan tempoh bukaan klac dan sekaligus mengurangkan kegelinciran tetapi penutupan klac yang laju akan menghasilkan sentapan yang lebih kuat, ini menjadi satu paradox yang perlu diatasi oleh mereka.

Sekiranya nisbah antara gear berjarak jauh, klac terpaksa ditutup secara perlahan supaya kegelinciran boleh berlaku kerana keglinciranlah yang menyerap sentapan yang dijana ketika perubahan nisbah. Dengan menggunakan nisbah rapat (close ratio) perbezaan kelajuan di setiap gear dikurangkan dengan itu penutupan klac secara laju boleh dilakukan tanpa menghasilkan sentapan yang kuat. Menurut Honda ini dijangka dapat mengurangkan masalah kehausan klac dan lain lain kerosakan pada sistem dual-klac mereka. Penggunaan nisbah rapat juga menghasilkan satu kesan sampingan positif, ia menjana prestasi pecutan dan respons yang lebih segera dan ini mampu menambah kepuasan pemanduan.

Apa lagi yang menarik mengenai Jazz baharu ini?

  • Jazz Hybrid baharu dilengkapi dengan enjin 1.5L DOHC i-VTEC baharu yang dipadankan dengan Dual-Clutch Transmission (DCT) 7 kelajuan bersama Integrated High Power Motor untuk pecutan yang mengagumkan dan pemanduan yang lebih sporty.
  • Bateri Lithium-Ion baharunya memiliki 1.5 kali kapasiti kuasa dan 50 peratus lebih berkuasa walaupun saiznya -5.6 peratus lebih kompak berbanding sistem sebelumnya, Integrated Motor Assist (IMA).
  • Apabila butang “S” ditekan dalam mod Sport, Sport Hybrid i-DCD mengeluarkan output maksimum hasil gabungan enjin dan motor elektrik yang mencecah 137PS, bersamaan dengan kuasa sebuah enjin bersesaran 1.8L.
  • Stereng Kuasa Elektrik (Electric Power Steering) telah dipertingkatkan untuk menjadikan jentera ini lebih responsif.
  • Jazz Hybrid baharu mampu mencatatkan penggunaan bahan api 4.0L/100km* dan boleh dipandu dalam mod Kenderaan Elektrik (EV) sepenuhnya.
  • Jazz Hybrid baharu hanya ditawarkan dalam satu varian dan hadir dengan beberapa bentuk penambahbaikan unik seperti ciri Shift by Wire Gear, 3D Speed Meter Design (Paparan Multi-Info) dan Kawalan Jelajah (Cruise Control).
  • Jazz Petrol baharu dikuasakan oleh enjin 1.5L i-VTEC dengan padanan kotak gear Continuous Variable Transmission (CVT) yang dibangunkan di bawah Earth Dreams Technology Honda dan diiktiraf sebagai Kenderaan Cekap Tenaga.
  • Tiga varian ditawarkan iaitu S, E dan V.
  • Gril hadapan krom, bampar hadapan dan belakang adalah rekaan baharu sepenuhnya.
  • Butang penghidup enjin dan Sistem Kemasukan Pintar serta butang ECON adalah ciri standard pada semua varian.
  • Penambahbaikan lain termasuklah rim aloi dua tona untuk varian V, Lampu Nyalaan Siang (DRL) LED serta kamera undur bagi varian E dan V.
  • Varian V didatangkan dengan paddle shift dan Kawalan Jelajah serta tempat duduk dengan kemasan separa kulit.
  • Varian E menerima naik taraf panel sentuhan untuk sistem pendingin hawa automatik.
  • Varian E dan V dilengkapi paparan audio bersaiz 6.8 inci yang baharu.
  • Ciri tempat duduk ULTRA Seats yang ikonik dengan 4 mode (Utiliti, Panjang, Tegak dan Lapang) dikekalkan.
  • Jazz Baharu telah menerima penarafan lima bintang ASEAN NCAP.
  • Bantuan Brek (BA) dan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) ditawarkan pada semua varian.
  • Varian V masih mengekalkan enam beg udara, manakala varian E dan Sport Hybrid mendapat empat beg udara.
  • Varian E, V dan Sport Hybrid dilengkapi dengan Bantuan Kestabilan Kenderaan (VSA), Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS) dan Bantuan Mula Mendaki (HSA).
  • Lima pilihan warna Jazz Petrol baharu – Kelabu Metalik (Modern Steel Metallic), Perak Metalik (Lunar Silver Metallic), Merah (Carnival Red), Putih (Taffeta White) dan Hitam (Crystal Black Pearl).
  • Tiga pilihan warna Jazz Hybrid baharu – Perak Metalik (Lunar Silver Metallic), Kelabu Metalik (Modern Steel Metallic) dan Putih Mutiara (White Orchid Pearl).
  • Jazz Petrol baharu dan Jazz Hybrid baharu diberi jaminan lima tahun tanpa had perbatuan dan selang servis 10,000 km dan Jazz Hybrid baharu turut hadir dengan jaminan selama 8 tahun untuk bateri Lithium-Ion.

Harga bagi Jazz Petrol baharu dan Jazz Hybrid baharu:

  • Jazz Hybrid baharu – RM87,500 (OTR termasuk Insurans)
  • Jazz Petrol baharu varian S – RM74,800 (OTR termasuk Insurans)
  • Jazz Petrol baharu varian E – RM81,000 (OTR termasuk Insurans)
  • Jazz Petrol baharu varian V – RM88,400 (OTR termasuk Insurans)

Pakej aksesori Mugen turut ditawarkan pada harga RM5,670 merangkumi spoiler hadapan, sisi, bawah dan belakang, serta boleh dibeli oleh pelanggan pada Oktober 2017. Pakej Urban akan ditawarkan pada harga RM1,580 manakala Pakej Utiliti pula berharga RM820.

KLIK UNTUK BESARKAN

the authorMohd Izarul
Founder
Pereka grafik berjiwa otomotif

Leave a Reply