BMW Group Malaysia telah memperkenalkan edisi terbaharu BMW 7 Series – BMW 730Li, BMW 740Li dan BMW ActiveHybrid 7L serba baharu pada Tenis Terbuka Malaysia BMW 2013. Pemenang anugerah sedan mewah utama bagi pengeluar kereta premium ini menggabungkan ciri reka bentuk, kemewahan dan keselesaan dengan kecekapan bertaraf tinggi serta pemanduan dinamik yang merupakan lambang kenderaan BMW.
Pelancaran BMW 7 Series baharu turut meluaskan lagi penawaran kenderaan revolusi Advanced Hybrid termaju syarikat melalui pengenalan BMW ActiveHybrid 7L. Kereta ini menggabungkan teknologi hibrid terkini dengan sistem pengurusan tenaga pintar, bagi membolehkan pengendalian elektrik sepenuhnya dan mengurangkan penggunaan bahan api sehingga 27%.
Garis-garis yang dinamik serta pembahagian yang seimbang pada bahagian luaran BMW 7 Series memberikan penampilan yang sporty dan elegan. Kelompok lampu hadapan LED yang baharu menguasai pandangan dari depan, manakala gril berbentuk ginjal dengan sembilan tetingkap di kedua-dua belah, bahagian bampar reka bentuk baharu serta lampu isyarat yang disatukan dengan rangka cermin luaran memberikan BMW penampilan yang sofistikated dan elegan. Di bahagian belakang pula, kepingan krom antara lampu belakang dengan apron belakang memberikan kontras yang menarik dan menyerlahkan lagi penampilan BMW 7 Series baharu.
BMW ActiveHybrid 7L dipertingkatkan lagi dengan ciri hiburan audio-visual yang terbaik, dengan menawarkan Bang & Olufsen High End Surround Sound System untuk mutu bunyi yang hebat, lengkap dengan 16 pembesar suara dan pembesar suara tengah bercahaya yang boleh dimasukkan ke dalam panel instrumen untuk hiburan audio-visual tahap mewah.
Nadi kepada BMW 7 Series yang baharu merupakan enjin petrol enam silinder sebaris yang memenangi pelbagai anugerah dengan teknologi BMW TwinPower Turbo, yang juga digabungkan dengan transmisi automatik lapan kelajuan pintar BMW untuk mengurangkan penggunaan bahan api dan pelepasan dengan ketara. Bagi BMW 730Li, enjin petrol 3-litre memberikan output maksimum sebanyak 190 kW/258 hp dengan tork puncak pada 310Nm. Penggunaan minyak adalah pada 8.7 liter per 100km dengan pelepasan CO2 pada 202 gram per km, menjadikan BMW 730Li 11% lebih cekap berbanding model terdahulu.
BMW 740Li pula memberikan output maksimum sebanyak 235 kW/320 hp dengan tork puncak pada 450Nm. Purata penggunaan minyak ialah 7.9 liter per 100km dan pelepasan CO2 pada 184 gram per km menjadikan penggunaan minyak BMW 740Li serba baharu 21% lebih cekap berbanding model sebelum ini. Bagi menambahkan lagi kecekapan, fungsi tambahan ECO PRO termasuk mod pemanduan lancar, yang direka untuk memisahkan enjin pembakaran apabila kereta dipandu pada kelajuan antara 50 dan 160 km/j (31 – 100 bsj).
Dengan enjin petrol yang sama seperti BMW 740Li, BMW ActiveHybrid 7L dilengkapi dengan motor elektrik yang memberikan output tambahan sebanyak 40kW/55 hp, untuk output keseluruhan sebanyak 260 kW/354 hp. Ini membolehkan kereta mencapai prestasi cemerlang dengan keupayaan memecut 0-100km/h pada hanya 5.7 saat, selain memberikan kecekapan penggunaan minyak yang hebat dalam keadaan pemanduan biasa sebanyak 6.8 liter per 100km dan pelepasan CO2 pada hanya 158 gram per km.
Bagi meningkatkan lagi ciri eksklusif dan dinamik BMW ActiveHybrid 7L, pakej BMW M Sport turut disertakan sebagai standard. Ia terdiri daripada pakej luaran M Aerodynamics, roda stereng kulit M Sport dengan padel penukar gear, serta roda aloi ringan M untuk penampilan lebih bergaya.
Ciri tambahan BMW ConnectedDrive terdiri daripada :
BMW Night Vision + Dynamic Light Spot – sistem penglihatan waktu malam inovatif yang mengawal pergerakan lampu hadapan LED berprestasi tinggi, seterusnya menyinari halangan dan kenderaan lain tanpa menyilaukan pemandu kereta arah bertentangan.
High Beam Assist with Anti-Dazzle – digunakan bersama lampu hadapan Adaptive LED memastikan pemandu dapat melihat secara optimum sepanjang masa tanpa perlu bertukar antara pancaran tinggi dan pancaran rendah. Pengesan imej di sebelah dalam cermin hadapan mengawasi keadaan cahaya dan trafik di hadapan pada jarak sehingga 400 meter.
Active Protection – pakej keselamatan menyeluruh yang membolehkan BMW 7 Series baharu untuk mengaktifkan langkah perlindungan secara bebas untuk penumpang kenderaan, seperti mengetatkan tali pinggang keselamatan dan menutup cermin tingkap dan atap apabila sistem mengesan pelanggaran akan berlaku. Sistem akan turut mengenakan brek kenderaan secara bebas selepas pelanggaran untuk menghentikan kenderaan secara automatik, seterusnya mengurangkan atau mencegah pelanggaran susulan.
BMW 7 Series yang baharu boleh dibeli di semua pengedar BMW di seluruh Malaysia mulai 30 Mac 2013. Harga runcit (atas jalan, tanpa insurans, dengan BMW Service + Repair Inclusive (BS+RI)) untuk semua BMW 7 Series yang baharu ialah:
BMW 730Li – RM 648,800.00
BMW 740Li – RM 818,800.00
BMW ActiveHybrid 7L – RM 938,800.00
Info daripada Arish Qutb Ahmad Khan
KLIK UNTUK BESARKAN IMEJ
KOMEN TERKINI