ARKIB

KATEGORI

Buletin

Dr. Li Chunrong diumumkan sebagai CEO baharu PROTON

Views

Setelah menepis segala desas-desus dan khabar angin dari media tempatan mahupun antarabangsa, hari ini Dr. Li Chunrong telah diumumkan secara rasmi sebagai Ketua Pegawai Eksekutif PONSB yang baharu berkuatkuasa 1 Oktober, 2017. Ini berikutan perletakan jawatan Datuk Ahmad Fuaad Kenali pada 30 September. Dr. Li juga akan mengetuai pasukan eksekutif pakar global untuk merealisasikan pelan pemulihan PROTON. Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif semasa, Datuk Radzaif Mohammed dan Datuk Sri Syed Faisal Albar pula kekal sebagai Pengerusi PROTON Holdings Berhad (PHB).

Berikut adalah struktur baharu ahli lembaga pengarah dan sebahagian dari pasukan eksekutif PROTON Holdings Berhad:

  • Dua calon dari DRB-HICOM, Shaharul Farez Hassan dan Amalanathan Thomas dan dua calon dari Geely Holding, Daniel Donghui Li dan Feng Qing Feng dilantik sebagai ahli lembaga pengarah baru PHB.
  • Dr. Nathan Yu Ning (Naib Presiden Perniagaan Antarabangsa dan Penasihat Eksekutif kepada Presiden di Geely Holding) dilantik sebagai ahli lembaga pengarah baru PHB.
  • Winfried Vahland, bekas Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Škoda Auto dilantik sebagai ahli lembaga pengarah baru PHB.
  • Syed Faisal, Farez, Nathan, Daniel Donghui Li dan Dr. Nathan Yu Ning juga dilantik sebagai ahli lembaga pengarah di PROTON Edar Sdn Bhd.

Dr. Li mempunyai pengalaman luas selama 30 tahun dalam industri automotif dan mempunyai pengalaman bekerja dengan jenama utama antarabangsa seperti Honda, Kia dan Dongfeng dalam pelbagai peringkat tertinggi. Beliau akan bertanggungjawab terhadap keseluruhan operasi PROTON, yang melibatkan pengeluaran, pembuatan,operasi, kualiti dan penyelidikan & pembangunan, serta penjualan dan pemasaran. Beliau akan disokong oleh Datuk Radzaif untuk mengetuai pelan pemulihan untuk PROTON untuk menjadikannya sebagai jenama terlaris di Malaysia dan sebagai tiga jenama utama ASEAN pada tahun-tahun akan datang.

Kenderaan pertama hasil usahasama ini merupakan SUV bersaiz sederhana, dan ianya kali pertama PROTON memasuki segmen ini. CEO PONSB yang baru dilantik Dr. Li berkata, beliau telah dicalonkan oleh Lembaga Pengarah untuk menghidupkan semula PROTON dan percaya jenama kereta Malaysia itu bakal menjadi jenama domestik nombor satu dan sebuah jenama terkemuka ASEAN.

Untuk merealisasikan visi ini, PROTON kini mempunyai akses kepada sinergi global, kepakaran dan sokongan kewangan yang diperlukan daripada keluarga Geely. Sementara itu, pengambil alihan 51 peratus ekuiti dalam pengeluar kereta Britain Lotus oleh Geely Holding daripada PROTON juga telah diselesaikan.

Selamat datang Dr. Li Chunrong, tahniah diucapkan dan kami berharap jenama kesayangan rakyat Malaysia ini akan kembali bangkit dan gah di persada global!

the authorMohd Izarul
Founder
Pereka grafik berjiwa otomotif

Leave a Reply