ARKIB

KATEGORI

Buletin

Fakta ringkas menarik Geely Jia Ji – Bakal pengganti Proton Exora?

Berita Global

Views

Geely akhirnya memperkenalkan model MPV global pertama mereka yang dinamakan Jia Ji secara rasmi di China. MPV ini didatangkan dengan tiga pilihan penjana tenaga dan pelanggan boleh memilih sama ada enjin petrol, MHEV atau PHEV dengan jarak pemanduan eletrik sejauh 56km. Ia ditawarkan dengan pilihan enam atau tujuh tempat duduk.

Model ini juga merupakan MPV hibrid pertama yang ditawarkan ke pasaran negara China. Pelbagai pilihan enjin ditawarkan, antaranya 1.5TD PHEV, 1.5TD MHEV, dan 1.8TD petrol yang digandingkan dengan transmisi automatik serta 1.5TD petrol dengan transmisi manual.

Versi PHEV merupakan yang paling berprestasi kerana ia dilengkapi dengan enjin 1.5TD yang dibangunkan khusus untuk model hibrid oleh Geely Auto. Ia dipadankan dengan kotak gear 7DCTH yang dibangunkan oleh China Euro Vehicle Technology Centre (CEVT). Kombinasi ini digabungkan bersama sistem hibrid elektrik yang mempu menjana 190kW dan daya kilas maksimum 385 Nm.

Purata penggunaan bahan bakar gabungan pemanduan di bandar dan lebuh raya pula adalah 1.6L untuk setiap 100km. Jia Ji hanya memerlukan masa selama 90 minit untuk dicas dan jarak pemanduan elektriknya adalah sejauh 56km. Versi PHEV ini dijangka menjadi pilihan utama keluarga di bandar memandangkan ia merupakan MPV plug-in hibrid yang pertama di China.

Versi MHEV juga ditawarkan dan ia dilengkapi dengan enjin 1.5TD dan sistem hibrid ringan 48V BSG yang dibangunkan sendiri oleh Geely. Gandingan ini dipadankan pula dengan kotak gear 7DCT yang telah berjaya mencatatkan kadar kecekapan transmisi sebanyak 97 peratus.

Versi ini menawarkan kuasa maksimum 140kW dan daya kilas maksimum 300 Nm. Purata penggunaan bahan bakar kombinasi pemanduan bandar dan lebuh rayanya pula hanyalah 5.9L bagi setiap 100km. Jia Ji turut ditawarkan dengan enjin petrol 1.8TD dengan transmisi automatik enam kelajuan dan 1.5TD dengan transmisi manual.

JOM BACA >> Proton Persona facelift tampil lebih bergaya – Tempahan atas talian dibuka mulai esok

Fakta ringkas menarik Geely Jia Ji:

  • Teknologi zon pengenalan keselamatan 360-darjah yang menjadikannya model MPV pertama di China  yang berjaya mencapai tahap dua (L2) pemanduan pintar.
  • Dilengkapi dengan Kawalan Jelajah Pintar (ICC), Kawalan Jelajah Adaptif (ACC), Bantuan Kekal Lorong (LKA), Bantuan Pakir Automatik (APA), Program Kawalan Kestabilan (ESP), Amaran Rempuhan Belakang (RCW), Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA), Brek Kecemasan Automatik (AEB) dengan pengecaman pejalan kaki, Amaran Rempuhan Hadapan (FCW), Bantuan Ubah Lorong (LCA), Pengecaman Titik Buta (BSD), Pengecaman Had Laju (SLIF) dan Kawalan Lampu Tinggi Pintar (IHBC).
  • Talaan casis model ini telah dibuat oleh firma kejuruteraan automotif terkemuka, Multimatic dan ia telah diuji selama tiga tahun dengan 300 kali perubahan dan jarak ujian pemanduan hampir 150,000km.
  • 48 unit model ini turut menjalani ujian ketahanan sejauh 2.05 juta km bagi memastikan kualiti serta keandalannya.
  • MPV ini didatangkan dengan tiga pilihan konfigurasi tempat duduk mengikut kesesuaian keluarga – 2+2+2, 2+2+3, atau 2+3+2.
  • Tempat duduk barisan hadapan dan kedua dalam konfigurasi 2+2+2 atau 2+2+3 boleh dicondongkan sebanyak 165° dan turut dilengkapi dengan perehat kepala yang membolehkan penumpang merasa lebih selesa sepanjang perjalanan.
  • Mod kanak-kanak boleh diaktifkan oleh sistem GKUI yang akan melaraskan pendingin hawa secara automatik, kelantangan bunyi, menutup tingkap secara automatik, memainkan lagu kanak-kanak dan lain-lain.
  • Sistem pengurangan bunyi aktif dengan teknologi pembatalan gelombang bunyi mampu menjadikan ruang kabin Jia Ji lebih senyap.
  • Sistem pengurusan kualiti udara AQSnya membersihkan udara menerusi penapis PM2.5 dan pembersih ion negatif kecekapan tinggi.
  • Pemegang cawan atau botol minuman yang boleh mengawal suhu panas atau sejuk.

Reka bentuk model ini menggabungkan keanggunan rekaan model sedan, kegagahan SUV dan ruang lapang MPV yang diolah dengan begitu baik sekali menjadi sebuah kenderaan yang unik. Jia Ji masih mengekalkan konsep rekaan semesta (Expanding Cosmos) pada rekaan jeriji hadapan manakala lampu hadapannya pula diinspirasikan dari meteor.

MPV ini dilengkapi dengan rim 18 inci berbentuk bintang yang telah membantu menaikkan lega tanahnya sebanyak 165mm, sekaligus menjadikan kekuda model ini setanding dengan sebuah SUV. Bahagian kokpitnya pula bertemakan angkasa lepas yang sarat dengan teknologi. Di tengah papan pemukanya terletak satu skrin sentuh lebar bersaiz 12.3 inci.

Bumbungnya kini dilengkapi dengan lampu siling yang boleh diaktifkan dengan pergerakan dan juga bumbung suria panorama pintar yang berkeluasan 0.84m2 . Bumbung suria yang besar ini memberi jarak pandangan yang lebih luas serta menjadikan ruang kabin nampak lebih lapang.

Model ini telah disebut-sebut sebagai model gantian Proton Exora oleh sesetengah pihak dan kami rasa agak mustahil ia dijual pada harga ‘marhaen’. Ini memandangkan spesifikasinya adalah setanding atau mungkin jauh lebih baik berbanding MPV mewah jenama lain.

Lebih baik legasi Exora dikekalkan, namun diberi rekaan dan spesifikasi baharu serta mengekalkannya sebagai MPV keluarga mampu milik. Pada pendapat kami model Jia Ji versi Proton nanti mungkin boleh dijual dalam julat harga Proton X70 sekaligus menjadikannya MPV segmen mewah pada harga paling kompetitif. Apa pendapat anda?

JOM BACA >> INTIP : Dua unit ujian Proton X50 berjaya dikesan

KLIK UNTUK BESARKAN

the authorMohd Izarul
Founder
Pereka grafik berjiwa otomotif

1 Comment


  • Boleh je jual sebagai Exora 2021 nanti. Kira upgrade. Nannti keluar model saiz Exora sekarang bagi nama baru je. Civic dengan Accord dah lama buat macam ni, makin besar, makin besar bila keluar versi baru.

    Civic – 1.2 jadi 1.5 jadi 1.8 jadi 2.0
    Accord – 1.6 jadi 1.8 jadi 2.0 jadi 2.4

Leave a Reply