ARKIB

KATEGORI

Buletin

Fasiliti pemasangan enjin BMW di Malaysia dirasmikan

Views

BMW Group Malaysia dan Sime Darby Auto Engineering (SDAE), iaitu divisyen Sime Darby Motors telah melancarkan pembukaan Fasiliti Pemasangan Enjin SDAE di Kulim, Kedah semalam. Majlis pembukaan tersebut telah dirasmikan oleh Datin K. Talagavathi, Timbalan Setiausaha Agung (Industri) Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Fasiliti pemasangan enjin baharu ini yang dibangunkan melalui kerjasama dan inisiatif Sime Darby Motors bersama BMW Group bukan sahaja akan merangsangkan persaingan di dalam negara dan rantau berhampiran, malah ia juga akan mewujudkan peluang pekerjaan serta meningkatkan kemahiran kompetensi teknikal untuk warga Malaysia.

Pembangunan fasiliti terbaharu ini serta kilang pemasangan dan Pusat Pengedaran Alat Ganti Serantau di Johor oleh pengeluar kenderaan premium BMW Group menggalakkan pertukaran pengetahuan teknologi, lantas mewujudkan lebih banyak lagi tenaga kerja yang inovatif dan berbakat sejajar dengan aspirasi transformasi yang ingin dicapai oleh Malaysia.

Timbalan Presiden Kanan, Enjin Produksi dan Powertrains Elektrik, BMW Group, Cik Ilka Horstmeier berkata, kerjasama utuh yang dijalin dengan rakan niaga telah membuahkan hasil melalui pemasangan enjin 3- dan 4-silinder, di samping enjin diesel 4-silinder, serta enjin pembakaran 3- dan 4-silinder untuk kenderaan elektrik Plug-In Hybrid.

Tan Sri Datuk Sri Dr. Wan Abdul Aziz Wan Abdullah, Pengerusi Sime Darby Berhad pula berkata, visi Sime Darby Motors adalah untuk menjadi rakan pemasangan kontrak pilihan bagi pengeluar kenderaan yang terbaik di ASEAN. Syarikat bermatlamat untuk menghasilkan lebih daripada 50,000 kenderaan dan komponen enjin serta komponen yang lain untuk kenderaan menjelang 2020.

Dibangunkan di kawasan seluas 6 ekar yang mempunyai ruangan keluasan mencecah 8,500 meter persegi dan dengan jumlah pelaburan melebihi RM 132 juta daripada SDAE, fasiliti pemasangan enjin terbaharu ini akan memberi sokongan terhadap perkembangan permintaan oleh BMW Group Malaysia untuk kenderaan yang dipasang di dalam negara, yang dilengkapi dengan teknologi enjin terbaharu dan fasiliti tersebut juga akan membantu inisiatif pengeksportan pengeluar kenderaan premium ini ke pasaran serantau.

Dilengkapi dengan inovasi pemasangan enjin yang terbaharu, fasiliti tersebut mempunyai peralatan pemasangan EST, kelengkapan Teknologi Dosing dan Bonding (DoboTech), pengukiran enjin, pengisian minyak enjin serta mesin ujian untuk pampasan injap hidraulik, ujian kebocoran, serta ujian kepanasan dan kesejukan. Fasiliti terbaharu ini juga mengambil 60 pekerja tambahan yang menunjukkan komitmen peningkatan peluang pekerjaan dan prospek kerjaya dalam pasaran pekerjaan tempatan di kawasan Teknologi Tinggi Kulim.

En. Harald Hoelzl, Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif BMW Group Malaysia berkata, sejak sekian lama, Malaysia telah memainkan peranan sebagai rakan kongsi strategik bagi BMW Group di rantau Asia Tenggara. Pada suku pertama tahun 2018, BMW Group berada dalam landasan yang disasarkan untuk mencapai jualan pemecahan rekod selama lapan tahun berturut-turut dengan penjualan kenderaan sebanyak 604,629 unit di seluruh dunia, ia melakarkan peningkatan sebanyak 3 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun 2017.

Prestasi positif yang dikecapi di seluruh dunia juga turut dicerminkan di Malaysia, dimana BMW Group Malaysia mengecapi peningkatan jualan sebanyak 15 peratus bagi kenderaan seperti BMW, MINI dan BMW Motorrad di dalam negara, dengan catatan penjualan sebanyak 3,000 unit kenderaan pada suku pertama tahun 2018.

KLIK UNTUK BESARKAN

the authorMohd Izarul
Founder
Pereka grafik berjiwa otomotif

Leave a Reply