Pereka muda berbakat dan juga rakan kami, Idiyaz Baharuddin sekali lagi membuktikan kepakarannya dalam reka bentuk 3 dimensi dengan menghasilkan gambaran awal “King” atau Perodua Myvi generasi baharu. Myvi generasi keempat rekaannya tampil lebih moden dengan penggayaan yang ringkas dan nampak lebih matang.
Sekilas pandang, nampak seperti Idiyaz sengaja mengekalkan profil bentuk Myvi sedia ada, namun lekuk badannya diolah menjadi lebih padu dan nampak sasa. Dari depan, elemen “X” yang menjadi identiti keluarga Perodua jelas kelihatan pada bahagian bampar.
JOM BACA >> INTIP : Perodua Ativa (D55L) mula tiba di bilik pameran
Bentuk lampu utamanya agak unik kerana ia nampak seakan taring yang turun ke bawah dan bergabung dengan baik bersama bamparnya. Rekaan jerijinya mengingatkan kami kepada bentuk jeriji pada model Myvi generasi kedua yang didalamnya dihiasi dengan kemasan seperti huruf “Y”.
Dari sisi, Myvi versi Idiyaz nampak lebih ‘sado’ berbanding model semasa, terutama pada lekuk di bahagian bawah pintu yang kini lebih dalam. Bentuk tingkap nampak lebih tajam pada bahagian tiang-C dan ini mungkin sengaja dibuat kerana ia digunakan sebagai penanda bagi memisahkan tona warna.
Fungsinya jelas nampak ketara dengan kemasan hitam pada bahagian bumbung dan turun sedikit ke bahagian tingkap. Di belakang, ia nampak lebih elegan dan moden dengan lampu rekaan tirus memanjang. Kalau anda perasan, nyalaan lampu belakang masih ada unsur Myvi semasa dengan bentuk sarung lampu 3D seperti model Ativa (D55L).
Kami suka rekaan spoiler belakangnya yang bergabung dengan cukup baik dengan cerun bumbung, tingkap belakang dan juga lampu. Ia secara tidak langsung berjaya memberikan visual yang lebih lebar dan mirip model hatchback jenama Jepun. Di bawah penjuru lampunya juga kelihatan lekuk seperti taring dan ia berkesinambungan dengan rekaan lampu hadapan.
Rekaan bampar belakang juga disuntik dengan elemen “X” dengan penggayaan yang ringkas dan kelihatan lebih sporty dengan kehadiran diffuser di bahagian bampar yang menempatkan dua corong ekzos. Secara keseluruhan, kami amat menyukai gaya reka bentuk ini dan sudah pasti takhta “King” tidak akan tergugat sekiranya ia benar-benar direalisasikan.
Myvi kuning tu kami suka. Syabas Idiyaz!
KLIK UNTUK BESARKAN
Foto kredit Idiyaz Baharuddin
JOM BACA >> Perodua mula siar foto acah Ativa (D55L) di laman sesawang
JOM BACA >> INFO : Proton X70 MC1 bakal diperkenalkan tahun ini? Iriz dan Persona MC2 kekal dengan transmisi CVT
JOM BACA >> INTIP : Iriz crossover dan Persona MC2 dikesan di Kuantan waktu malam, guna lampu depan jenis LED?
JOM BACA >> INTIP : Iriz crossover dan Persona MC2 dikesan sedang berhenti rehat, guna rim 16-inci!
JOM BACA >> INTIP : GAC Trumpchi GS3 Power 2021 ‘ronda-ronda Putrajaya’!
KOMEN TERKINI