ARKIB

KATEGORI

Buletin

Groupe PSA beli kepentingan majoriti kilang Pembuatan Automotif Naza (NAM)

Views

Harian Metro melaporkan Groupe PSA telah memuktamadkan pengambilalihan 56 peratus kepentingan dalam operasi perniagaan kilang Pembuatan Automotif Naza (NAM) milik Naza Corporation Holdings (Naza Group) di Gurun, Kedah. Pengambilalihan ini dijangka bakal memberi impak kepada pasaran automotif tempatan dan menjadikan Malaysia hab pengeluaran kenderaan jenama Peugeot dan Citroen di rantau ASEAN.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Automotif Naza Group Datuk Samson Anand George berkata, pengambilalihan itu hanya membabitkan operasi di NAM dan tidak membabitkan aset lain termasuk tanah milik konglomerat automotif terkemuka negara itu di Gurun. Groupe PSA akan menjadi rakan kongsi Naza Group dalam pengeluaran kereta dan pakatan strategik ini juga membolehkan Naza Group meneroka pasaran ASEAN.

Majlis menandatangani perjanjian tersebut telah disaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam satu majlis ringkas di Pejabat Perdana Menteri semalam. Naza Group diwakili Pengerusi Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya SM Nasarudin SM Nasimuddin manakala Groupe PSA pula oleh Naib Presiden Eksekutif (China dan Asia Tenggara) Carlos Gomes.

Pakatan strategik ini juga merupakan yang kedua terbesar dalam sektor automotif negara selepas DRB-Hicom Bhd memuktamadkan perjanjian strategik antara anak syarikatnya Proton Holdings Bhd (PROTON) dengan Kumpulan Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd (Geely).

Naza Group menjangkakan hasil kerjasama itu bakal memacu pertumbuhan jualan Peugeot dan Citroen kepada 3,600 unit mewakili penguasaan sekitar 10 peratus pasaran bagi segmen kenderaan Eropah tahun ini. Tahun lalu, syarikat telah menjual kurang 2,000 unit untuk kedua-dua jenama ini dengan penguasaan pasaran sekitar lima hingga enam peratus.

Harga bagi kereta Peugeot dan Citroen juga akan menjadi lebih kompetitif selepas pengambilalihan kepentingan majoriti operasi NAM. Melalui perjanjian berkenaan, NAM akan menjadi hab eksport di rantau ini dengan anggaran jumlah pengeluaran 18,000 unit pada 2019 dan 21,000 unit pada 2020.

Foto dan info kredit Harian Metro

KLIK UNTUK BESARKAN

the authorMohd Izarul
Founder
Pereka grafik berjiwa otomotif

Leave a Reply