Honda Malaysia telah mengumumkan angka jualan antara bulan Januari dan April 2017 yang menunjukkan mereka kini sedang berada di landasan yang tepat untuk mencapai sasaran jualan sebanyak 100,000 unit. Jika ini berjaya dicapai, mereka akan kekal memegang takhta Nombor 1 dalam segmen Bukan Nasional dan tempat Kedua keseluruhan dalam Jualan Keseluruhan Industri (TIV) untuk tahun ini.
Walaupun berdepan dengan situasi yang mencabar untuk mencapai sasaran 2017, Honda Malaysia telah berjaya menguasai 35 peratus daripada sasaran jualan dengan 34,500 unit kenderaan telah terjual sehingga April 2017. Jika dibandingkan dengan tempoh yang sama tahun lalu, pencapaian jualan untuk empat bulan pertama tahun ini meningkat dengan 9,800 unit telah dijual yang mana 40 peratus lebih tinggi berbanding 2016.
Untuk pegangan pasaran pula, Honda telah menyumbang sebanyak 19.4 peratus TIV setakat bulan Mac 2017, naik 5.1 mata berbanding tempoh yang sama tahun lalu. Ini disebabkan sambutan yang menggalakkan bagi dua model yang dilancarkan pada suku pertama tahun ini, sekaligus mencapai rekod paling tinggi dengan 20.5 peratus pegangan pasaran buat julung kalinya pada Mac 2017.
Sebanyak 7,800 unit Honda BR-V telah berjaya dijual dan ia menyumbang 23 peratus kepada jualan keseluruhan semasa. Honda City yang dilancarkan pada bulan Mac lalu turut menyumbang 23 peratus kepada jualan keseluruhan dengan 7,200 tempahan dicatatkan sehingga kini. Generasi ke-10 Civic turut merajai segmen-C dan telah terjual lebih dari 15,700 unit sejak ia dilancarkan pada Jun tahun lalu.
Varian Civic Turbo sahaja telah terjual sekitar 840 unit sebulan yang merupakan 60 peratus dari angka jualan keseluruhan Civic. Selain itu, HR-V, City, Civic dan Accord telah berjaya menduduki tempat pertama dalam segmen masing-masing sehingga Mac 2017. Sempena kedatangan Hari Raya, tempoh menunggu untuk semua model Honda adalah satu ke dua bulan. Bermula 1 Mei 2017, harga bagi model HR-V dan CR-V 2.0 2WD mengalami penurunan berikutan penyelarasan semula kod tarif duti baharu kastam. Harga baharu HR-V akan bermula dari RM101,000 – RM121,000 manakala harga baharu CR-V 2.0 2WD pula pada RM141,500. Kesemua harga yang dinyatakan ini merupakan harga atas jalan dengan insuran.
MODEL/HARGA | HARGA BAHARU (RM) |
HR-V 1.8L S | 101,100.00 |
HR-V 1.8L E | 110,700.00 |
HR-V 1.8L V | 121,000.00 |
CR-V 2.0L 2WD i-VTEC | 141,500.00 |
Selain itu juga, Honda turut merancang dua kempen khas untuk pelanggannya sepanjang bulan Mei ini. Kempen ‘Nikmati Musim Bonus’ telah pun bermula sejak 1 Mei lalu bakal memberikan ganjaran bernilai antara RM2,100 hingga RM12,000 kepada pelanggan yang membeli kereta baharu. Kempen tersebut bakal berakhir pada 31 Mei ini.
Kempen kedua pula adalah Acara Bilik Pameran Seluruh Negara yang akan berlangsung pada hari Sabtu, 13 Mei dan akan diraikan bersama sambutan Hari Ibu. Kesemua pengedar Honda seluruh negara akan mengadakan aktiviti menarik untuk menghargai kaum ibu. Selain dari Hadiah Pandu Uji dan Cabutan Bertuah, para ibu dan kaum hawa akan diberi bunga mawar dan kad Hari Ibu yang dibuat oleh anak mereka di bilik pameran Honda.
KLIK UNTUK BESARKAN
KOMEN TERKINI