ARKIB

KATEGORI

Buletin

INFO : Apa yang perlu anda buat jika cedera dilanggar kenderaan tiada insurans?

Views

Mungkin selama ini anda akan putus asa untuk menuntut pampasan atau membiayai kos rawatan sekiranya cedera dilanggar kenderaan yang tiada insurans kan? Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, dah la badan sakit, pemilik kenderaan tersebut tidak mengaku salah, dia tak nak bayar pulak tu, ada ke patut kan? Mujurlah rakan kami Wan Amir tampil untuk berkongsi satu solusi untuk anda.

Pernah dengar mengenai Motor Insurers’ Bureau (MIB) tak?

MIB tu syarikat insurans ke? Kenapa singkatan nama dia macam Men In Black pulak?

Jawapannya, bukan. Dah singkatan Motor Insurers’ Bureau jadi MIB nak buat macam mana kan? MIB sebenarnya dana khas untuk melindungi pengguna jalanraya yang dilanggar kenderaan yang tiada insurans.

Dari mana MIB mendapat dana?

Dana MIB diperolehi daripada syarikat insurans. Untuk pengetahuan anda, setiap tahun semua syarikat insurans wajib mencarum ke dalam MIB, lebih kurang macam kita mencarum KWSP dengan PERKESO lah.

Macam mana nak membuat tuntutan dengan MIB?

Sebelum membuat tuntutan kepada MIB, anda perlu faham beberapa perkara-perkara berikut:

1. Anda boleh membuat sendiri menuntut pampasan dengan MIB atau melalui peguam.
2. Ini yang paling mustahak. MIB tidak menerima kes langgar lari. Anda perlu tahu nombor plat kenderaan yang melanggar.
3. Tuntutan perlu dibuat dalam masa tiga tahun dari tarikh kejadian.
4. Sekiranya anda melantik peguam dan ingin menyaman kenderaan tersebut, anda perlu memaklumkan perkara tersebut kepada MIB dalam tempoh 30 hari sebelum memfailkan saman.
5. MIB hanya membayar pampasan untuk kecederaan sahaja. Mereka tidak akan membayar sebarang tuntutan terhadap kenderaan, harta benda, kehilangan mata pencarian dan sebagainya.
6. MIB akan menentukan jumlah bayaran.

Apakah dokumen yang perlu dihantar ke MIB untuk membuat tuntutan?

1. Surat kepada MIB mengandungi butiran lengkap kejadian, sebab untuk membuat tuntutan dan senarai dokumen yang disertakan.
2. Laporan Polis (WAJIB sertakan nombor plat kenderaan yang melanggar anda).
3. Laporan Polis kenderaan yang melanggar anda (sekiranya ada).
4. Laporan perubatan.

Ke mana segala dokumen ini perlu dihantar?

Hantarkan semua dokumen tersebut ke:

Motor Insurers’ Bureau of West Malaysia
Wisma Piam
No.150-3, 3rd Floor
Jalan Tun Sambanthan, Brickfields
50782 Kuala Lumpur

Nombor Telefon : 03-2274 7395
Faks: 03-2274 5910

Jika anda menerima jawapan balas dari pihak MIB, mereka akan meminta bayaran RM100 untuk mereka melakukan penyiasatan mengenai kemalangan tersebut. Disebabkan polisi MIB yang sentiasa berubah dan proses tersebut mungkin mengambil masa yang agak lama, kami sarankan anda untuk sentiasa membuat susulan dengan mereka setiap bulan.

the authorMohd Izarul
Founder
Pereka grafik berjiwa otomotif

Leave a Reply