ARKIB

KATEGORI

BuletinInfo

INFO : Bagaimana mengira harga runcit petrol dan diesel di Malaysia

Views

Semalam harga mingguan petrol dan diesel bermula dari 06/07/17 – 12/07/17 telah diumumkan dan mengalami sedikit kenaikan. Kami mendapat respons daripada pembaca di laman Facebook kami yang mahukan kami mendidik pengguna mengenai mekanisma penetapan harga runcit petrol dan diesel. Seruan itu amatlahlah dialu-alukan dan kami pun melakukan pencarian maklumat untuk memudahkan anda faham cara pengiraan tersebut.

Harga runcit produk petroleum di Malaysia telah ditentukan melalui kaedah Mekanisma Harga Automatik atau Automatic Pricing Mechanism (APM) sejak tahun 1983. Setelah kejatuhan mendadak harga minyak global pada pertengahan 2014 dari sekitar $110 setiap tong kepada $40 setong, kerajaan membuat keputusan untuk menarik balik subsidi ke atas jualan petrol dan diesel. Penetapan harga secara pengapungan bulanan pula telah dimulakan sejak Disember 2014 sehingga Mac 2017.

Ia kemudiannya diubah kepada penetapan harga secara pengapungan mingguan oleh KPDNKK setelah berbincang dengan pihak-pihak yang berkepentingan. Hasil perbincangan tersebut telah dibentangkan dan dipersetujui oleh jemaah Menteri pada pada 22 Februari 2017.

Mekanisma Harga Automatik (APM) pula mempunyai beberapa komponen :

1. Kos produk (MOPS)
Malaysia menggunakan harga purata harian “Mean of Platts Singapore (MOPS)” di pasaran Platts sebagai asas untuk menentukan kos poduk bagi RON97, RON95 dan Diesel. Platts merupakan pasaran harian produk petroleum yang diterbitkan oleh McGraw Hill Companies Limited di Singapura. Kebanyakan negara di rantau ini juga menggunakan MOPS sebagai rujukan kos produk petroleum mereka. (Harga ini juga bergantung kepada kadar tukaran mata wang asing, sekiranya nilai Ringgit kita lemah harga mungkin mengalami kenaikan).

2. Alpha
Perbezaan harga yang dipaparkan di pasaran Platts dengan harga belian sebenar oleh syarikat minyak. Kerajaan telah menetapkan Alpha pada kadar 5 sen seliter untuk petrol dan 4 sen seliter bagi diesel.

3. Kos operasi
Terdiri daripada kos pengangkutan dan kos pemasaran. Pada masa ini, Kerajaan menetapkan kos operasi pada kadar 9.54 sen seliter.

4. Margin syarikat minyak
Ditetapkan pada 5 sen seliter bagi petrol dan 2.25 sen bagi diesel.

5. Margin pengusaha stesen
Ditetapkan pada 12.19 sen seliter bagi petrol dan 7 sen seliter bagi diesel.

6. Cukai jualan
Diwartakan dibawah Akta Cukai Jualan 1972 dengan kadar 58.62 sen seliter bagi petrol dan Cukai jualan bagi diesel telah dinaikkan daripada 19.64 sen seliter kepada 40 sen seliter berkuatkuasa mulai 1 Februari 2009.

7. Subsidi
Subsidi diberikan apabila harga sebenar lebih tinggi daripada harga runcit yang ditetapkan setelah mengambilkira pengecualian cukai jualan.

Untuk lebih mudah difahami sila rujuk infografik di bawah :

.

Formula pengiraan harga runcit produk petroleum di Malaysia

Jumlah kos tetap = Alpha (5 sen) + Kos Operasi (9.54 sen) + Margin Keuntungan Syarikat Minyak (5 sen) + Margin Keuntungan Pengusaha Stesen Minyak (12.19 sen) = 31.73 sen setiap liter = 32 sen (selepas dibundarkan).

Contoh pengiraan :

Harga MOPS95 setakat 5 Julai 2017 = $59.835 setong (RM 257.19)
* Rujuk pautan ini Singapore Mogas 95 Unleaded (Platts) Futures Quotes
(Harga MOPS95 ditukar daripada USD/tong kepada RM/liter. Setong minyak = 158.99 liter).

MOPS95 setiap liter = 59.835/158.99 = $0.376 dibundarkan kepada $0.38 (RM 1.62)
(Tukar harga MOPS95 seliter dalam USD kepada Ringgit Malaysia – guna Currency converter.net)

Kemudian tambahkan kos tetap 32 sen yang telah ditetapkan kerajaan untuk mendapatkan harga runcit RON95:

RON95 seliter = RM1.62 + RM0.32 = RM1.94. (Harga runcit RON95 terkini RM1.93)

Kami harap informasi ini dapat merungkai kekeliruan anda dan membantu anda membuat anggaran harga minyak pada masa akan datang. Bermula minggu depan KPDNKK akan mengumumkan mekanisma baharu harga minyak yang dikatakan memberi situasi menang-menang kepada pengusaha stesen minyak yang mengeluh akibat penurunan harga minyak semasa. Adakah selepas ini harga minyak bakal naik lagi? Kita pakat-pakat tunggu je lah ye.

Sumber rujukan : KPDNKK

KLIK UNTUK BESARKAN

the authorMohd Izarul
Founder
Pereka grafik berjiwa otomotif

Leave a Reply