ARKIB

KATEGORI

BuletinInfo

INFO : Handling

Views

 

Opel_Insignia_adaptiv_4x4_768x432_in09_t01_005

Gambar sekadar hiasan

Artikel ini telah ditulis oleh Syammim Arifin

Handling adalah prestasi sebuah kenderaan untuk bergerak di jalan lurus, selekoh, dan juga kestabilan ketika haluan ditukar secara cepat atau tiba-tiba.

Antara tiga bahagian Ride & Handling – berbanding steering dan ride, mungkin handling yang paling sinonim dengan istilah R&H itu sendiri.

Ini kerana ia sering dikaitkan dengan pemanduan sporty dengan kelajuan tinggi.  Seringkali di dalam majalah-majalah automotif sebagai contoh, imej kereta yang sedang membelok secara laju atau dalam keadaan ‘drift’ sering dipaparkan dan dikaitkan dengan pengendalian dan prestasi dinamik yang mantap.

Walaupun ada benarnya, di dalam industri automotif, istilah handling itu sendiri mencakupi aspek prestasi kereta yang agak luas meliputi pelbagai kelajuan, jenis input steering dan juga keadaan jalan itu sendiri (kering/basah/jalan tidak berturap dan sebagainya).

Berbalik kepada istilah yang diterangkan tadi, handling secara umumnya boleh dibahagi tiga.

Yang pertama, handling di jalan yang lurus.  Ia berkait dengan keupayaan kenderaan bergerak lurus, walaupun ada input dari jalan yang tidak rata, angin sisi dan juga sewaktu halaju tinggi.

Walaupun nampak ringkas, pembangunan handling jalan lurus perlu keseimbangan yang kadangkala rumit untuk dicapai. Sistem suspensi yang terlalu lembut membuatkan kereta membuai di kelajuan tinggi dan rasa longgar pada tindakbalas steering.  Terlalu keras pula akan menyebabkan masalah tracking di mana kereta mudah terpengaruh dengan input dari permukaan jalan dan mula bergerak ke sisi.  Steering juga mungkin menjadi terlalu sensitif, hinggakan sudut yang kecil pun mampu mengubah arah.  Manakala jika steering ditala supaya stabil pula mungkin terasa agak ketat hendak diputar, seperti terlalu banyak geseran pada tuil steering.

Handling jalan lurus juga perlu mengambil kira faktor jajaran roda (wheel alignment) dan prestasi NVH yang melibatkan getaran dari tayar dan rim dan juga roda steering.  Ia juga merangkumi prestasi membrek dan memecut di jalan lurus – bukan dari segi jarak membrek atau kecepatan pecutan tetapi dari segi kestabilan.

Walaupun banyak pemandu yang lebih rasa seronok mengambil selekoh, handling jalan lurus penting kerana tanpa disedari ramai ia memberi gambaran awal akan potensi kestabilan sesebuah kenderaan.  Kalau di jalan lurus pada halaju tinggi pun sudah melayang, tentu sekali keyakinan pemandu akan kurang ketika tiba di selekoh.

Seterusnya, aspek kedua ialah handling di selekoh sewaktu membelok.

Aspek handling yang ini bermula sebelum kereta masuk ke selekoh.  Sebaik sahaja pemandu mula memutar steering sebaik nampak selekoh, sistem suspensi sudah mula bekerja mengimbangi daya membelok yang mula dijana dari roda hadapan, dan kemudian dari roda belakang.  Sementara itu, berat kenderaan juga mula berpindah dari sisi kanan ke kiri (atau kiri ke kanan, bergantung pada arah selekoh).  Prestasi handling yang baik memastikan transisi ini berlaku secara progresif, agar pemandu mendapat feedback yang berkadar langsung dengan kelajuan, input steering dan ketajaman selekoh.

Di dalam selekoh handling yang baik merujuk kepada sudut roll yang rendah dan keseimbangan understeer yang terus menerus memberi maklumbalas positif kepada pemandu.  Pemandu berasa yakin dengan input steering dan kelajuan yang dipilih, dan mampu membuat perubahan kecil pada sudut steering dan kelajuan sesuai dengan keadaan selekoh.

Adalah penting agar had cengkaman dikomunikasi secara progresif agar pemandu tahu kelajuan maksima yang mampu dipacu di dalam selekoh. Sistem suspensi yang baik akan memberikan ‘amaran’ dalam bentuk effort steering yang semakin meringan dan pertambahan understeer sewaktu had cengkaman ditempuh.  Ini semakin penting jika contohnya selekoh diambil dalam keadaan basah di mana tahap cengkaman tayar akan berkurangan.

Sewaktu membrek dalam selekoh pula, sekali lagi ciri progresif dalam mengendalikan daya-daya membrek dan perubahan berat dari belakang kehadapan, dan dari sisi adalah penting.

Aspek ketiga adalah aspek kestabilan sewaktu kereta ditukar haluan secara tiba-tiba.

Ia melibatkan pergerakan transient yang besar seperti mengelak halangan di jalan raya (contoh: mengelak lembu yang tiba-tiba melintas).  Ciri handling yang baik memastikan kawalan maksimum agar pemandu dapat menghalakan kenderaan ke arah yang dikehendaki.  Dalam kata lain, kereta tidak seharusnya tiba-tiba membuang (oversteer) atau lebih bahaya lagi, terbalik.

Di zaman sistem brek ABS dan kawalan kestabilan ESC kini, aspek ini banyak dibantu oleh sistem-sistem elektronik ini.  Namun, ia tidak bermakna sistem elektronik boleh 100% menggantikan talaan suspensi yang baik.  Handling yang baik umpama tapak yang kukuh untuk sesebuah bangunan; suspensi yang baik memastikan sistem ABS dan ESC dapat berfungsi dengan lebih optimum.  Apatah lagi jika sistem elektronik tidak berfungsi (contoh: sensor ABS rosak, atau roda simpanan yang berdiameter kecil digunakan, jadi ESC tidak berfungsi) – tentu sekali kestabilan kereta bergantung sepenuhnya kepada prestasi handling dalam keadaan ini.

* Syammim Arifin kini berkhidmat dengan sebuah firma automotif, Benteler Engineering Services, anak syarikat Benteler Automotive di China. Sebelum itu beliau telah berkhidmat dengan Proton dan antara jurutera yang telah terlibat untuk penalaan sistem suspensi Proton Prevé.

the authorMohd Izarul
Founder
Pereka grafik berjiwa otomotif

1 Comment

Leave a Reply