Sempena bulan Ramadan, cuti sekolah dan Hari Raya yang akan disambut nanti, kami terpanggil untuk berkongsi maklumat mengenai “Microsleep” yang telah dikongsikan oleh saudara Dr Ahmad Firdaus Mohd Haris. Beliau merupakan seorang doktor perubatan dan merangkap Presiden & Pengasas, Medical Mythbusters Malaysia (M3), sebuah kumpulan profesional perubatan yang terdiri daripada doktor, pembantu perubatan, ahli farmasi, ahli fisioterapi, jururawat dan sebagainya. Mereka berkumpul menubuhkan sebuah gagasan yang bertujuan untuk menangkis dan menjawab pelbagai fitnah dan mitos yang dilemparkan ke bidang perubatan khasnya di Malaysia.
Apa itu Microsleep?
Sebelum menjawab persoalan ini, pernahkah anda tiba-tiba terlelap ketika sedang memandu hanya seketika atau beberapa saat? MICROSLEEP adalah keadaan dimana badan kita ‘tidur’ buat seketika. Segala input dari deria penglihatan dan pendengaran tidak dapat diproses oleh otak. Tempoh microsleep hanya antara 1 hingga 30 saat dan ia boleh berlaku walaupun keitka mata masih terbuka.
Sebagai contoh, pada kelajuan 70km/h, microsleep selama 3 saat boleh menyebabkan kenderaan menyusur tanpa kawalan sejauh 200 meter. Dalam jarak 200 meter, nyawa boleh melayang dalam sekelip mata. Cuba bayangkan apa yang akan terjadi sekiranya anda sedang memandu pada kelajuan 100 km/h?
Seringkali pemandu memikirkan dia kebal dan keinginan untuk bersama keluarga tersayang yang terpisah buat sekian lama dijadikan motivasi untuk gagah memandu walaupun sudah terlalu mengantuk. Ada juga yang berpendapat jika mereka memandu dengan laju, kesan mengantuk akan berkurangan disebabkan ‘adrenaline’ yang meningkatkan upaya ‘fight or flight’. (Fight or flight adalah sitiuasi di mana badan bersedia untuk menghadapi keadaan yang membahayakan diri: lari atau lawan).
Jalan yang berbengkang bengkok seperti di Lebuhraya Karak juga boleh menghilangkan rasa mengantuk kerana pemandu lebih fokus dengan cabaran mengambil selekoh. Dua fakta di atas hanya mengundang bahaya. Kesan ‘fight or flight’ hanya seketika sahaja kerana sistem badan akan ‘burn out’ (penat) dan akhirnya boleh menyebabkan microsleep yang lebih lama.
JOM TONTON : ENGEAR Episod 3 – Peugeot 208 PureTech
Apa yang perlu dilakukan?
Berhenti dan cari tempat yang selamat untuk parkir kereta anda. Jangan pula berhenti di lorong kecemasan sehingga mengundang perkara buruk yang lain. Tidur untuk seketika, tidak perlu lama, lima minit sudah mencukupi. Ulanginya setiap kali anda mula berasa mengantuk. Berhenti rehat setiap dua jam untuk pemanduan jarak jauh.
Ini pesanan kepada penumpang terutama sekali yang duduk di hadapan. Anda perlu menjadi pembantu kepada pemandu atau peneman yang baik. Janganlah tahu nak berdengkur sahaja ataupun asyik melayan telefon pintar anda sambil mengemaskini status media sosial atau berswafoto tak kira masa sampai pemadu rasa nak hempuk anda dengan monopod tu.
Sebagai orang yang paling hampir dengan pemandu, anda perlu lakukan 3 perkara ini:
1. Berbual dengan pemandu untuk elakkan rasa mengantuk.
2. Perhatikan cara pemanduan. Jika nampak kenderaan anda dah mula tak tentu arah atau tidak mengikut lorong, TEGUR pemandu. Cadangkan pemandu untuk berehat seketika di stesen minyak atau Hentian Rehat dan Rawat (R&R).
3. Sesekali jeling-jelinglah pada paparan meter kenderaan. Jika terlalu laju atau ada lampu-lampu amaran yang menyala, TEGUR pemandu, jangan buat ‘dek’ je ye!
Sebelum hendak memulakan perjalanan jauh, pastikan anda yang menjadi pemandu mendapat rehat dan tidur yang secukupnya. Jangan la pi bantai tidur lewat pula kalau dah tak awal-awal pagi dah kena mulakan perjalanan. Kalau boleh bagi yang minum kopi tu, masa bersahur kami sarankan anda pekena kopi dulu bagi mata lebih segar. Kalau yang tak minum kopi, cuma cari alternatif lain yang boleh membuatkan anda lebih segar, tapi jangan la sampai mengunyah gula-gula getah masa tengah berpuasa.
Berhati-hatilah di jalan raya. Pandu cermat jiwa selamat. Sentiasa patuhi had laju dan amaran yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa. Jangan jadikan jalan raya tempat berlumba atau nak tunjuk ‘terer’ sehingga menjadikan anda sebahagian daripada statistik OPS SIKAP. Selamat berpuasa!
KLIK UNTUK BESARKAN
KOMEN TERKINI