ARKIB

KATEGORI

Buletin

Kenderaan Elektrik: Malaysia mungkin mengkaji polisi kereta elektrik India dan Dieselgate mungkin memacu kemajuan kereta elektrik

Views

Artikel oleh : Shamsul Yunos

  • Malaysia mungkin meningkatkan polisi kenderaan cekap tenaga dan mengikut jejak India menggunakan kereta elektrik sepenuhnya pada tahun 2030.
  • Volkswagen akan bina kilang kereta elektrik sebagai salah satu strategi mengekalkan pasaran selepas skandal Dieselgate.

Kerajaan India telah membuat keputusan untuk menjadi ekonomi utama dunia yang menggunakan kenderaan elektrik sepenuhnya dan sedang menghasilkan satu skim pembelian kereta elektrik tanpa wang pendahuluan.

“India boleh menjadi negara besar pertama yang menggunakan 100 % kereta elektrik dan kami sedang mengusahakan satu program yang mampu dibiayai sendiri. Kita tidak memerlukan sokongan satu rupee pun dari Kerajaan, kita tidak memerlukan satu rupee pun wang rakyat,” kata Menteri Tenaga Piyush Goyal.

Sekiranya program ini berjaya, ia bakal menjadikan India sebagai hab penghasilan dan pembuatan kereta elektrik.

India merupakan satu pasaran yang unik dimana pasaran mahukan kenderaan yang mampu milik tetapi tahan lama. Kenderaan di India juga perlu melalui jalan yang teruk dan kesesakan lalulintas yang agak ekstrem.

Sekiranya pembuat kenderaan elektrik mampu mengatasi semua halangan tersebut, kenderaan tersebut dijangka mampu menguasai pasaran dunia.

Malaysia pula sedang menjadikan polisi kenderaan cekap tenaga sebagai polisi automotif kebangsaan tetapi buat masa ini belum ada inisiatif besar untuk menjadikan negara ini sebagai pengguna besar teknologi cekap tenaga.

Sebenarnya, industri automotif sudah bersedia dengan teknologi yang ada untuk menghasilkan kenderaan elektrik ataupun tenaga alternatif tetapi ianya masih menunggu sambutan dari pasaran ataupun perubahan polisi kerajaan untuk menjadikannya lebih menarik kepada pembeli.

Syarikat seperti Tesla dan Fisker mengeluarkan kenderaan elektrik sepenuhnya manakala General Motors pula sudah menghasilkan Chevrolet Volt sebagai kenderaan berkuasa alternatif. Nissan dan Mitsubishi menawarkan Leaf dan Mi-EV yang menggunakan bateri sepenuhnya.

Toyota dan Honda di Jepun manakala Mercedes-Benz, BMW dan Audi di Jerman pula sudah lama menawarkan kenderaan hibrid yang menggabungkan kuasa elektrik dan enjin konvensional sebagai teknologi perantaraan bahan api fosil dan elektrik.

Semua ini adalah syarikat yang berpotensi mendirikan kilang kenderaan cekap tenaga di Malaysia sekiranya insentif yang ditawarkan oleh Kerajaan Malaysia dan keadaan pasaran tempatan cukup menarik untuk menarik pelaburan mereka.

Sebenarnya pasaran tempatan bukanlah pertimbangan utama syarikat asing dalam memutuskan pelaburan mereka, insentif dan keuntungan adalah perkara paling penting dalam proses pelaburan mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Automotive Institute, Datuk Madani Sahari berkata; “Secara peribadi saya merasakan ini satu inisiatif yang menarik dan satu idea yang perlu kita kaji”.

Buat masa ini, fokus kita terhadap kenderaan cekap tenaga telah menyaksikan beberapa syarikat menawarkan model hibrid, tetapi ini tidak mengubah lanskap industri automotif negara kerana angka jualan adalah terlalu kecil.

Model hibrid dari jenama mewah Jerman ditawarkan untuk menikmati harga jualan yang lebih rendah dan meningkatkan kawalan pasaran mereka dan tidak meningkatkan teknologi automotif tempatan.

Perodua Global Manufacturing Sdn Bhd telah berjaya mendapat pengiktirafan sebagai pengilang kenderaan cekap tenaga dan ini merupakan kejayaan terbesar polisi automotif nasional, namun ianya belum mendatangkan hasil eksport.

Sekiranya Malaysia mampu menjadi hab penghasilan kenderaan cekap tenaga dunia, ianya akan meningkatkan ekonomi negara ke tahap yang lebih tinggi namun ianya adalah satu polisi masa depan yang memerlukan komitmen dan keberanian pentadbiran sekarang.

Kami menyebut Volkswagen dalam tajuk utama kerana syarikat kereta kedua terbesar dunia itu dikatakan telah membuat keputusan untuk membuka kilang kereta elektrik di pasaran kereta terbesar dunia, Amerika Syarikat sebagai satu strategi utama mereka dalam menghadapi kemerosotan pasaran pasca Diesel-gate.

Kilang kereta elektrik Volkswagen sudah tentu tanda utama bahawa syarikat gergasi tersebut sudah bersedia dengan teknologi elektrik yang sesuai untuk pasaran dunia dan sekiranya ia berjaya memenangi hati pembeli di US, kenderaan elektrik akan tersebar dengan cepat di Eropah, Jepun dan pasaran lain.

Kita sudah lama tahu bahawa Volkswagen mahu memasuki pasaran Asia Tenggara sebagai usaha mereka untuk menjadi syarikat kereta terbesar di dunia, kedudukan yang dipegang oleh Toyota untuk beberapa tahun yang lepas.

Volkswagen sudahpun cuba memasuki pasaran Asia Tenggara tetapi usaha mereka tersadung oleh masalah kualiti yang menjangkiti kotak gear dual-klac yang mengakibatkan pembeli menjauhi jenama tersebut.

Sepreti kerosakan jenama yang lain, proses pemulihan akan mengambil masa lima hingga sepuluh tahun sekiranya mereka mampu mengubah penampilan dan produk yang ditawarkan dan ini boleh dijadikan peluang oleh Malaysia dan Volkswagen untuk menjadikan Malaysia sebagai pasaran pertama di Asia Tenggara untuk menggunakan teknologi elektrik ataupun hibrid sepenuhnya.

Sudah tentu ini akan memakan belanja yang besar dan Volkswagen mesti melabur bagi menghasilkan satu anjakan paradigma bagi pembeli Malaysia namun ianya adalah stau strategi yang menarik kerana membolehkan syarikat tersebut menjadi peneraju utama teknologi masa depan yang dijangka akan tiba secara massa dalam tempoh lima hingga sepuluh tahun akan datang.

Tempoh pemulihan jenama Volkswagen di Malaysia boleh digunakan sebagai tempoh menganjak minda pembeli.

Sekiranya Malaysia melangkah sekarang untuk mengubah polisi automotif nasional kepada kenderaan elektrik dan mencarta peta tenaga masa depan yang bergantung kepada hidrogen dan elektrik atau lain lain tenaga mesra alam, kita mampu menjadi pemain utama dalam teknologi automotif masa depan.

Sebenarnya teknologi kereta elektrik ini dijangka akan meluas apabila teknologi kereta tanpa pemandu mula menjadi biasa. Kedua-dua teknologi ini dijangkan akan matang sepenuhnya dalam tempoh yang sama, iaitu 10 hingga 15 tahun yang akan datang.

Dalam analisis seterusnya kami akan membongkar langkah-langkah yang sedang diambil untuk melancarkan teknologi tanpa pemandu dan pacuan elektrik.

analisis polisi kereta elektrik

the authorMohd Izarul
Founder
Pereka grafik berjiwa otomotif