ARKIB

KATEGORI

Buletin

Kereta pertama Vietnam – VinFast bakal buat kemunculan di Paris Auto Show 2018

Views

Ketika rakyat Malaysia sedang dilanda ‘demam Proton X70’ sebuah syarikat pengeluar kereta pertama dari Vietnam, VinFast bakal memperkenalkan model sedan dan SUVnya di Paris Auto Show 2018 awal bulan depan. Pembangunan rekabentuk kedua-dua model ini dibuat oleh studio rekabentuk terkemuka Itali, Pininfarina untuk pasaran tempatan dan rekaan ini dipilih sendiri oleh rakyat Vietnam.

Lebih 62,000 orang telah memilih salah satu daripada 20 lakaran rekabentuk yang telah dihantar oleh beberapa studio rekabentuk terkemuka Itali. Lakaran dari ItalDesign pada mulanya memenangi pertandingan tersebut, namun Pininfarina telah dilantik untuk membangunkan dan melengkapkan rekaan tersebut.

Kedua-dua model ini akan dibangunkan dari pelantar lama BMW 5 Series (F10) dan X5 (F15). Ia bakal dijana oleh enjin petrol 2.0 liter dengan pengecas turbo dari unit BMW N20 dan ditawarkan dengan pilihan pacuan roda hadapan dan pacuan empat roda. Pengeluaran percubaan akan bermula pada bulan Mac 2019 dengan pengeluaran skala penuh menyusul pada September 2019 di kilang baharu yang terletak di Hai Phong, 70 batu dari Hanoi.

Kilang tersebut juga akan mengeluarkan skuter elektrik yang bakal memulakan pengeluarannya pada musim luruh nanti. Sementara itu, Vinfast turut diberi lesen untuk mengeluarkan model Vauxhall Viva yang dijual di UK. Model kompak segmen-A ini akan dijual di Vietnam bermula musim luruh 2019 dalam dua versi, 1.0 liter manual dengan spesifikasi teksi dan 1.4 liter dengan transmisi CVT untuk jualan secara komersil.

JOM BACA >> INFO: Fakta Ringkas Menarik Mengenai Proton X70

Vinfast juga merancang untuk menghasilkan bas elektrik sebagai sebahagian daripada matlamatnya untuk mengeluarkan sebanyak 500,000 kenderaan dan sejuta skuter elektrik menjelang 2025. Firma tersebut turut melantik mantan pereka General Motors, David Lyon, ketua kejuruteraan kenderaan Kevin Fisher, pengarah perancangan dan pengurusan produk, Roy Flecknell dan naib presiden kejuruteraan, Shaun Calvert.

Vinfast turut menggunakan khidmat perunding kejuruteraan, antaranya ialah Pininfarina, Bosch, Magna dan Siemens. Menurut Kevin Fisher, dua pelantar lama BMW yang digunakan untuk membina model perdana tersebut telah diubahsuai oleh Vinfast bagi membuktikan keupayaan mereka dan membolehkannya memenuhi segala peraturan global.

Pengubahsuaian telah dilakukan adalah bagi mempertingkatkan perlindungan pejalan kaki dan impak perlanggran sisi. Vinfast juga melakukan kejuruteraan semula sebahagian daripada teknologi pengeluaran BMW yang digunakan untuk memasang struktur. Enjin dari BMW akan didatangkan dengan pilihan 175hp dan 227hp serta digandingkan bersama transmisi automatik lapan-kelajuan dari ZF. Walaubagaimanapun, Vinfast tidak membeli lesen untuk teknologi Valvetronic BMW.

Versi hibrid juga akan dipertimbangkan pada masa hadapan. Ketua perekabentuk David Lyon telah diminta oleh pengerusi syarikat induk Vingroup, Pham Nhat Vuong untuk mempercepatkan masa pembangunan rekabentuk untuk kedua-dua model tersebut. Lyon berkata dengan menyingkirkan proses permodelan tanah liat, beliau telah mengurangkan masa dari lakaran awal ke pembangunan permukaan akhir kurang dari 11 bulan.

JOM BACA >> Perodua Lancar Alza Berwajah Baharu – Tempahan Kini Dibuka

KLIK UNTUK BESARKAN

the authorMohd Izarul
Founder
Pereka grafik berjiwa otomotif

1 Comment

Leave a Reply