ARKIB

KATEGORI

Buletin

Kereta tercantik di dunia, Range Rover Velar tiba di Malaysia – Harga dari RM529,800

Views

Pemenang Rekaan Kereta Terbaik Tahunan di Anugerah Kereta Dunia 2018, Range Rover Velar akhirnya tiba ke pasaran ke Malaysia. Dengan tanda harga melepasi angka setengah juta, harga jualan Velar bermula dari RM529,800 dan menampilkan teknologi perintis pengguna seperti pemegang pintu yang tersorok dalam panel pintu dan sistem infohiburan Touch Pro Duo berdefinisi tinggi dengan skrin sentuh bersaiz 10 inci yang mendominasi bahagian tengah papan pemukanya.

Sistem Touch Pro Duo membolehkan pemandu untuk melakukan pelbagai perkara sambil memandu dengan lebih selamat menggunakan dua skrin secara serentak. Semasa dalam perjalanan ke destinasi baharu, skrin yang lebih rendah boleh digunakan untuk membuat panggilan tanpa kehilangan navigasi yang dipaparkan pada skrin yang berada di atas. Selain itu, ciri canggih yang lain yang ada termasuklah Paparan Kepala, Paparan Interaktif Pemandu dan Sistem Navigasi Pro.

Antara ciri-ciri menarik yang lain pada Range Rover Velar adalah:

  • Pemegang pintu unik yang terkeluar apabila kunci kereta dibuka dan tersorok ke dalam panel pintu semasa ia dikunci. Ini menyumbang kepada pekali seretan rendah hanya 0.32 sekaligus menjadikannya model Land Rover paling cekap-aerodinamik pernah dikeluarkan.
  • Lampu hadapan menggunakan Matrix LED yang menghasilkan kualiti cahaya hampir setanding dengan cahaya matahari, memberikan pencahayaan terbaik dan mengurangkan keletihan mata.
  • Paparan Interaktif Pemandu bersaiz 3-inci yang menjadikan pemanduan Velar lebih mengujakan terutama sekali dengan empat tema visual dan paparan navigasi skrin-penuh 3D.
  • Rekaan dalaman yang tidak berserabut dan kemasan yang terperinci menawarkan penghalusan dengan penggunaan bahan yang premium dan mewah.
  • Corong penyaman udara yang nipis menampakkannya lebih minimalis dan canggih.
  • Kerusi hadapan Velar direkabentuk berdasarkan prestasi dan memberi sokongan supaya lebih selesa. Kerusi ini juga telah direka dengan berhati-hati untuk memudahkan penumpang keluar masuk ke dalam atau ke luar kabin dengan mudah.
  • Pilihan tekstil campuran-kapas Kvadrat yang sangat tahan lasak dan kontras dengan kain Suede untuk pelanggan selain kemasan kulit untuk varian P250 atau kemasan kulit dengan kain Suede untuk varian R-Dynamic. (Kvadart merupakan pengeluar rekaan tekstil berkualiti tinggi terbaik di Eropah).
  • Badan Velar dibina dengan casis aluminium-intensive monocoque menggunakan Seni Bina Aluminium Ringan Jaguar Land Rover. Aloi aluminium menyumbang lebih daripada 81 peratus daripada kerangkanya – tiada pesaing mampu menandinginya.
  • Dilengkapi dengan sistem keselamatan komprehensif yang merangkumi enam beg udara dan sistem teknologi bantuan pemandu termaju seperti Paparan Kepala, Sistem Navigasi Pro dan Penghad Kelajuan Kawalan Perjalanan.
  • Keupayaan off-road dengan sistem pacuan semua roda yang memberi pengagihan tork yang optimum untuk mengharungi pelbagai keadaan jalan raya.
  • Dikuasakan oleh enjin Ingenium (P250) yang mampu menghasilkan kuasa puncak 250PS dan daya kilas tinggi maksima 365Nm, yang kekal dari 1,200rpm ke 4,500rpm. Enjin ini digandingkan bersama transmisi lapan-kelajuan ZF yang sangat lancar.
  • Velar mampu memecut dari 0-100km/h hanya dalam masa 6.7 saat dan penggunaan bahan bakar yang sangat cekap 7.6-liter/100km dan hanya melepaskan 173g/km CO2 mengikut gabungan kitaran Eropah.

Velar ditawarkan dalam dua varian pilihan dengan tanda harga seperti berikut:

  • Velar (P250) – RM529,800*
  • Velar R-Dynamic (P250) – RM588,800*

(*Harga jualan tidak termasuk 6 peratus GST, cukai jalan, pendaftaran dan insurans).

Lapan pilihan warna ditawarkan termasuklah Putih Fuji, Putih Yulong, Kelabu Corris, Hitam Santorini, Kaikoura Stone, Merah Firenze, Perak Silikon dan Kelabu Carpathian dengan lima pilihan warna ruang dalaman seperti Ebony/Ebony, Acorn, Vintage Tan/Ebony, Eclipse/Ebony dan Light Oyster/Ebony.

Velar (P250) didatangkan dengan rim bersaiz 20-inci manakala varian Velar R-Dynamic (P250) mendapat rim bersaiz 21-inci. Ia direka dan dibangunkan di pusat pembangunan Jaguar Land Rover di UK, dan dikeluarkan di fasiliti pengeluaran syarikat di Solihull. Semua kenderaan yang diedarkan oleh Jaguar Land Rover Malaysia adalah sesuai dengan cuaca, persekitaran, kualiti bahan bakar dan menepati piawaian emisi Malaysia.

Semua kenderaan yang diedarkan oleh pengedar sah turut didatangkan dengan program Land Rover Care yang merangkumi lima-tahun waranti, lima-tahun servis percuma dan tiga-tahun bantuan kerosakan. Untuk maklumat lanjut, layari www.landrover.com.my .

KLIK UNTUK BESARKAN

the authorMohd Izarul
Founder
Pereka grafik berjiwa otomotif

Leave a Reply