ARKIB

KATEGORI

Buletin

KLIMS’18 satukan industri dan semarakkan kembali minat terhadap automotif

Views

Persatuan Automotif Malaysia (MAA) membawakan Pameran Kenderaan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS’18) yang bakal menghimpunkan pelbagai jenama automotif untuk menghidupkan kembali pasaran kenderaan empat roda dan dua roda, produk aksesori automotif, produk penjagaan kereta, produk gaya hidup yang berkaitan dengan jenama auto dan kenderaan komersial. KLIMS’18 bakal berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), dari 23 November hingga 2 Disember 2018.

Bertemakan “Beyond Mobility”, KLIMS’18 dikenali sebagai sebuah pameran penjenamaan di mana pelbagai jenama auto berhimpun untuk mempamerkan penawaran produk terkini, penguasaan automotif dan wawasan kejuruteraan mereka. Sejak pengumuman KLIMS’18 yang dibuat pada awal tahun ini, MAA telah menerima banyak pertanyaan daripada pemain industri, orang ramai dan juga media berkenaan pameran tersebut.

Datuk Aishah Ahmad, Presiden MAA berkata, mereka gembira dengan sambutan terhadap KLIMS’18 kerana pameran tersebut tidak akan berjaya di Malaysia tanpa sokongan pemain industri dan orang ramai. Para pemain industri automotif kini sedang membuat perancangan untuk membawakan pameran mobiliti yang mengujakan untuk pengunjung KLIMS’18.

Ravindran Kurusamy, Presiden UMW Toyota Motor berkata, syarikat gembira dengan kembalinya KLIMS pada tahun ini dan UMW Toyota Motor juga akan turut serta dalam pameran kali ini. Tahun ini, mereka akan membawakan rangkaian yang bertenaga dan pelbagai, yang memperlihatkan mobiliti yang lebih baik untuk semua.

Dennis Ho, Pengarah Urusan Sime Darby Motors – Malaysia, Thailand & Taiwan, berkata syarikat dengan sukacita mengumumkan penyertaannya di KLIMS’18 yang akan menampilkan penawaran terkini Ford dan Hyundai di ruang pamerannya. Sebagai pengedar tunggal kenderaan Ford di Malaysia, Sime Darby Auto Connexion akan membawakan lebih daripada pameran semata-mata. Hyundai-Sime Darby Motors pula sedia untuk menonjolkan SUV terkini dari Hyundai yang merangkumi konsep Modern Premium jenama tersebut. ”

MAA mengunjurkan pertumbuhan sebanyak 2.3 peratus bagi industri automotif Malaysia, mencapai Jumlah Keseluruhan Industri (TIV) sebanyak 590,000 unit bagi tahun 2018. Unjuran pertumbuhan tersebut dilihat sebagai petanda yang positif selepas TIV mengalami sedikit penurunan sepanjang dua tahun yang lalu.

KLIMS’18 telah mengesahkan beberapa jenama besar seperti Daihatsu, Ford, Honda, Hyundai, Infiniti, Isuzu, Kia, Lexus, Mitsubishi, Nissan, Peugeot, Perodua, Proton, Toyota, UD, Kawasaki, motosikal Honda, 3M, produk penjagaan kereta Elite Looks, aksesori kereta Good life, pelincir High-tech, produk prestasi dan penyenggaraan kereta Kakimotor, NVK Interiors dan V-Kool.

Datuk Aishah Ahmad menambah, pemain industri masih mempunyai masa untuk menyertai KLIMS’18, bagaimanapun, mereka dinasihatkan untuk mengesahkan tempahan mereka, supaya tidak ketinggalan untuk mendapatkan ruang pameran yang masih ada. KLIMS’18 dijangka akan disertai lebih 100 pempamer dengan sasaran untuk menarik lebih 350,000 pengunjung.

KLIK UNTUK BESARKAN

the authorMohd Izarul
Founder
Pereka grafik berjiwa otomotif

Leave a Reply