ARKIB

KATEGORI

Spyshots

MESTI BACA : Reka bentuk papan pemuka Perodua Aruz dengan Toyota Rush – Apa yang berbeza?

Views

Memandangkan Perodua Aruz bakal dilancarkan malam nanti, kami kongsikan foto papan pemuka Perodua Aruz yang mula tular di aplikasi Whatsapp dan juga Facebook sejak pagi tadi. Kami terus membuat perbandingan foto yang tular tersebut dengan foto papan pemuka Toyota Rush baharu secara bersebelahan dan mendapati memang ada perbezaan yang agak ketara antara kedua-duanya.

Seperti kata Editor kami, Shamsul Yunos dalam video pandangan pertama pandu uji awal Aruz secara tertutup dalam artikel terdahulu, Perodua telah mereka bentuk semula bahagian dan konsol tengah atas papan pemuka asal Rush supaya ia kena dengan citarasa Malaysia. Hasilnya reka bentuk papan pemuka Aruz nampak lebih berseni dan memperlihatkan lekuk yang secara visualnya ia nampak lebih timbul berbanding papan pemuka Rush yang lebih mendatar dan nampak biasa sahaja.

Kemasan pada pintu Aruz juga nampak lebih menarik berbanding Rush walaupun ia hanya terlihat sedikit dalam foto ini. Walaupun secara kasar, struktur dan beberapa bahagian papan pemuka kedua-dua model berkongsi peralatan yang sama, namun kedudukannya telah diubah sedikit supaya membawa identiti tersendiri. Beberapa bahagian yang dikongsi bersama seperti stereng, tombol gear, corong pendingin hawa di konsol tengah dan sisi. Pada kami adalah amalan lazim buat pengeluar yang berkongsi pelantar/model sama, sekaligus ia menjimatkan kos.

JOM BACA >> INTIP : Perodua Aruz terdedah semasa tiba di bilik pameran

Permainan dua tona warna pada Rush tidak dibawa kepada Aruz kerana Perodua sudah cukup masak dengan selera pembeli kita yang suka papan pemuka dengan warna lebih gelap. Walaupun nampak gelap, tetapi di beberapa bahagian, para pereka Perodua telah menyuntik gabungan unsur logam kusam dan berkilat yang telah berjaya menaikkan seri papan pemuka Aruz. Cuma rekaan tolok meter Aruz agak sedikit konvensional jika dibandingkan dengan Rush yang nampak lebih moden dengan penggunaan elemen Optitron.

Kemasan hitam piano seperti model Myvi turut dimasukkan pada konsol tengah yang menempatkan unit infohibur dan juga corong pendingin hawa. Di bahagian bawah konsol tengah, kelihatan unit kawalan pendingin hawa pada model Myvi digunakan pada Aruz dan ia melengkapi rupa keseluruhan papan pemuka tersebut. Cuma kami tidak pasti sama ada Perodua menggunakan bahan plastik lembut pada bahagian atas papan pemuka Aruz kerana Rush menggunakan bahan tersebut yang apabila disentuh ia memberi rasa premium yang kebiasaannya ada pada kereta keluaran Eropah.

Secara keseluruhan, kami lebih menyukai papan pemuka Aruz berbanding dengan Rush kerana ia lebih sedap dipandang pada mata kami. Syabas kepada pereka Perodua yang sentiasa peka dan cakna dengan selera rakyat Malaysia. Nantikan pelancaran rasmi Perodua Aruz malam ini!

JOM BACA >> Gambaran digital ‘mirip model sebenar’ Proton Iriz MC2 rekaan TheAjerul

KLIK UNTUK BESARKAN

the authorMohd Izarul
Founder
Pereka grafik berjiwa otomotif

2 Comments

Leave a Reply