ARKIB

KATEGORI

Buletin

Nissan Grand Livina 2019 dilancarkan di Indonesia

Berita Global

Views

Negara jiran kita Indonesia sekali lagi menjadi pentas kepada pengeluar automotif dunia untuk melancarkan penampilan pertama model baharu mereka ke pasaran global. Kali ini giliran Nissan Grand Livina 2019 diperkenalkan secara rasmi hari di sana.

Model yang berkongsi pelantar yang sama dengan Mitsubishi Xpander ini tampil dengan perbezaan ketara pada bahagian hadapannya yang nampak lebih garang, terutama pada bentuk jeriji yang lebih runcing dan bampar yang sporty. Bahagian belakangnya pula hanya berbeza pada bentuk lampu yang bentuknya seakan huruf-V melintang.

Ia ditawarkan dalam lima pilihan varian, bermula dari varian asas 1.5 E MT, 1.5 EL MT, 1.5 EL AT, 1.5 VE AT hingga varian paling premium 1.5 VL AT. Julat harganya bermula dari 198.8 juta Rupiah (RM57,525) hingga 266 juta Rupiah (RM76,971).

Grand Livina 2019 dikuasakan oleh enjin empat silinder sebaris 1,499 cc DOHC dan Twin VTC (Variable Valve Timing Control) yang mampu menghasilkan 104 PS pada 6,000 rpm manakala daya kilasnya pula 141 Nm pada 4,000 rpm. Penjana kuasa ini digandingkan dengan pilihan dua transmisi, sama ada empat-kelajuan automatik atau lima-kelajuan manual.

JOM BACA >> Proton Iriz dan Persona facelift bakal diperkenalkan bulan depan?

Rekaan kabinnya dihiasi dengan permainan tona hitam yang diserikan dengan sedikit kemasan krom pada papan pemuka yang membuatkannya lebih maskulin. Tempat duduknya juga dibaluti kulit berwarna hitam dan ia turut dilengkapi dengan enam pembesar suara serta unit infohiburan dengan skrin sentuh bersaiz 7-inci dengan sambungan Android Auto dan Apple CarPlay.

Dari segi keselamatan pula ia dilengkapi dengan Bantuan Brek (BA), Kawalan Dinamik Kenderaan (VDC), Sistem Kawalan Cengkaman (TCS), Bantuan Mula Mendaki (HSA) dan kamera belakang dengan sensor undur. Grand Livina 2019 ditawarkan dengan enam pilihan warna yang menarik, antaranya Ruby Red, Sunset Orange, Black Knight, Timeless Grey, Silver Tech dan White Pearl.

Kami berharap Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) akan membawa masuk Grand Livina 2019 ke pasaran Malaysia nanti. Kalau boleh jangan lama sangat sebab kami pun tak sabar nak memandu uji model ini bersama-sama dengan kembarnya Mitsubishi Xpander.

Jika kedua-duanya masuk ke sini, sudah pasti mereka akan mengganggu jualan Perodua Aruz dan Honda BR-V nanti. Kita tunggu sahaja kemunculannya!

JOM BACA >> Model SUV kompak Proton bakal dinamakan X50?

KLIK UNTUK BESARKAN

the authorMohd Izarul
Founder
Pereka grafik berjiwa otomotif

Leave a Reply