ARKIB

KATEGORI

Sukan Permotoran

Pendaftaran AAM dibatalkan – Sukan permotoran negara berada dalam ketidaktentuan

Berita Tempatan

Views

FreeMalaysiaToday.com melaporkan, Pengerusi AAM, Tunku Mudzaffar Mustapha berkata tindakan Putrajaya membatalkan pendaftaran Persatuan Automobil Malaysia (AAM) akan menyebabkan sukan permotoran berada dalam ketidaktentuan dan menjejaskan reputasi negara di peringkat antarabangsa.

Beliau kesal pendaftaran AAM dibatalkan secara mengejut pada 30 November tahun lalu, walaupun ia berkomunikasi secara tetap dengan Pejabat Pesuruhjaya Sukan (SC) berhubung isu dihadapinya. AAM merupakan satu-satunya badan sukan Malaysia yang diluluskan oleh 3 pertubuhan permotoran dunia, iaitu Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA), Persekutuan Motosikal Antarabangsa (FIM) dan Suruhanjaya Perlumbaan Go-kart Antarabangsa (CIK).

Sebarang perlumbaan kenderaan atau go-kart yang memerlukan kelulusan FIA, FIM atau CIK, perlu memohon lesen daripada AAM. Persatuan tersebut dikehendaki menyediakan lesen dan insurans bagi acara permotoran dan peserta, serta bagi pelumba Malaysia yang bercadang menyertai perlumbaan di luar negara.

Mudzaffar berkata, SC meminta AAM menyerahkan laporan akaun tahunan dan meminda perlembagaannya, manakala persatuan itu pula memaklumkan SC mengenai tindakan mereka, termasuk membentangkan pindaan perlembagaan dalam mesyuarat agung tahunan akan datang.

Tambah beliau lagi, proses tersebut mengambil masa yang lama dan sedang diusahakan, namun mereka terkejut apabila menerima notis pembatalan pendaftaran secara tiba-tiba tanpa digantung terlebih dahulu. Dalam satu mesyuarat sebelum pendaftaran dibatalkan, SC memberitahu mereka berpuluh-puluh badan sukan lain juga akan berdepan masalah sama.

JOM BACA >> Land Rover menang kes ‘klon Evoque’

Menerusi surat pemberitahuan mengenai pembatalan pendaftaran, mereka diberi tempoh 30 hari untuk membuat rayuan kepada Menteri Belia dan Sukan, namun tidak diberi peluang untuk berbuat demikian. Sekiranya AAM tidak dibenarkan untuk terus beroperasi, ia bakal mewujudkan ketidaktentuan dalam sukan permotoran kerana tiada badan lain di negara ini yang diiktiraf oleh FIA, FIM dan CIK.

Menurut sumber, Putrajaya dikatakan sedang melobi Persatuan Permotoran Malaysia (MAM) untuk menjadi badan penyelia permotoran beberapa bulan sebelum pendaftaran AAM dibatalkan. Sumber tersebut berkata, MAM yang kini diketuai Mokhzani Mahathir, tidak boleh mengambil alih peranan AAM, kecuali badan antarabangsa mengiktirafnya.

Keputusan hanya akan dibuat dalam perhimpunan agung badan-badan ini yang perlu menyiasat mengapa pendaftaran AAM dibatalkan dan kenapa MAM perlu diiktiraf, tetapi ia akan memakan masa. Sekiranya AAM tidak dapat berfungsi, Malaysia tidak dapat menganjurkan acara antarabangsa utama seperti MotorGP kerana AAM ialah satu-satunya badan diluluskan di Malaysia.

Ini akan membawa masalah kepada pelumba dan perniagaan membabitkan permotoran, seperti pembekal dan bengkel motor. Syed Saddiq ketika dihubungi tidak menjawab soalan mengenai tindakan melobi yang disyaki dilakukan untuk MAM.

Beliau memberitahu FMT yang AAM sudah digantung kerana sering melanggar peruntukan dalam Akta Pembangunan Sukan. Katanya, banyak amaran telah diberikan sebelum ini dan aduan datang daripada komuniti sukan permotoran sendiri.

Penting untuk badan kawal selia antarabangsa menyedari perkara ini dan mengambil tindakan sewajarnya. Tambahnya lagi, kerajaan tidak menentukan apa yang patut dan tidak patut dilakukan badan antarabangsa.

JOM BACA >> INTIP : Proton teruskan ujian X70 CKD, Iriz dan Saga facelift

KLIK UNTUK BESARKAN

Foto kredit MotoGP.

the authorMohd Izarul
Founder
Pereka grafik berjiwa otomotif

Leave a Reply