Perodua memperkenalkan Bezza GXtra, varian baharu yang menggantikan 1.0 Standard G dalam julat model Bezza yang popular. Ditawarkan pada harga pengenalan sebanyak RM35,500 untuk manual dan RM37,500 untuk automatik, atas jalan tanpa insurans di Semenanjung Malaysia, Bezza GXtra dilengkapi dengan waranti lima tahun/150,000 km.
Pelancaran Bezza GXtra dirasmikan pagi tadi oleh Perdana Menteri Malaysia YAB Datuk Sri Mohd Najib Tun Razak di Malaysia Autoshow 2018, bertempat di Taman Ekspo Agro Malaysia Serdang (MAEPS). Turut hadir adalah Pengerusi Perodua, YBhg Tan Sri Asmat Kamaludin. YBhg Datuk (Dr) Aminar Rashid Salleh, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua berkata, sebagai jenama automotif No 1 di Malaysia, Perodua amat berbangga kerana dapat memperkenalkan Bezza GXtra di Malaysia Autoshow 2018, antara pameran permotoran utama tahun ini.
Apa yang menarik mengenai Bezza GXtra?
- Dilengkapi dengan skirt sisi dan pemegang pintu luar krom.
- Kini boleh didapati dalam warna ‘Ocean Blue’ yang sebelum ini hanya ditawarkan pada varian 1.3L.
- Papan pemuka dan panel audio dihiasi ‘piano black’.
- Corong udara, sayap stereng serta tapak gear dihiasi trim berwarna terang.
- Bluetooth turut termasuk dalam sistem audio.
Bezza merupakan sedan pertama keluaran Perodua dan menjadi sedan Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) paling mampu milik di Malaysia. Sejak pelancarannya pada pertengahan 2016, ia telah menjadi sedan paling laris di Malaysia, dengan hampir 100,000 unit dijual sehingga kini. Varian baharu ini dikuasakan enjin 1.0 liter 1KR-VE dengan VVT-i (Variable Valve Timing – Intelligent), dengan pilihan transmisi manual lima kelajuan atau automatik empat kelajuan E-AT (kawalan elektronik).
Penggunaan bahan api yang cekap diteruskan daripada sebelumnya, iaitu 22.8 km/l bagi varian manual dan 21.3 km/l bagi varian automatik. Perodua Bezza GXtra kini dibuka untuk tempahan, untuk melihat dengan lebih dekat, kunjungi bilik pameran Perodua yang berdekatan pada 5 dan 6 Mei ini, bersempena dengan Hari Pelanggan.
KLIK UNTUK BESARKAN
KOMEN TERKINI