ARKIB

KATEGORI

Buletin

Perodua Myvi baharu catat 70,000 tempahan – Lebih 38,000 telah diserahkan

Views

Perodua Myvi baharu sekali lagi mencatat kejayaan dengan jualan keseluruhan 38,000 unit setakat minggu ketiga April 2018. Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn Bhd, Datuk Dr Zahari Husin berkata, pencapaian ini amat bermakna kerana Persatuan Automotif Malaysia (MAA) telah mengumumkan bahawa Perodua telah mencapai penguasaan pasaran 41.5 peratus pada bulan Mac lalu.

Myvi telah memperoleh 70,000 tempahan dari 8 November 2017 sehingga 30 April 2018 dan Perodua amat terharu dengan sambutan yang diterima. Menurut angka MAA, bermula Januari sehingga Mac, Perodua menjual 55,568 kenderaan berbanding 135,140 unit jumlah keseluruhan industri (TIV), membawa lebih 41 peratus bahagian pasaran untuk suku pertama tahun 2018.

Pencapaian ini menunjukkan peningkatan lebih daripada 10.5 peratus berbanding 50,260 unit yang didaftarkan pada suku pertama tahun 2017, menjadikannya rekod suku pertama bagi Perodua dari segi jualan. Jualan 55,560 unit tersebut terdiri daripada 24,473 Myvi, 14,962 Axia, 10,101 Bezza dan 6,032 Alza. Sebanyak 18 peratus daripada semua kenderaan baharu yang didaftarkan di Malaysia pada suku pertama 2018 adalah model Myvi.

Mengenai penghantaran, Datuk Dr Zahari berkata Perodua sedang berusaha meningkatkan kecekapan operasinya bagi memastikan penghantaran dapat dibuat dalam masa yang terdekat. Tempoh menunggu semasa untuk varian Myvi 1.5L adalah di bawah tiga bulan. Walau bagaimanapun bagi varian 1.3L, ianya boleh dihantar dengan segera buat masa ini.

Myvi generasi ketiga adalah model paling canggih dalam sejarah 25 tahun Perodua, yang menampilkan inovasi Malaysia seperti pembaca kad tol bina dalam dan penghawa dingin digital dengan memori. Ia menerima penarafan keselamatan penuh ASEAN NCAP 5 bintang berdasarkan protokol terkini dan merupakan kereta yang paling mampu milik di Malaysia dengan fungsi keselamatan aktif iaitu sistem Advanced Safety Assist (ASA).

Kempen Perodua Pilihanku kini bermula. Orang ramai dijemput untuk hadir beramai-ramai ke Hari Pelanggan pada hujung minggu ini (5hb-6hb Mei) di semua bilik pameran dan pusat servis Perodua di seluruh negara. Pemeriksaan kenderaan percuma dan penebusan tunai sehingga RM1,800 untuk model dan varian terpilih menanti pengunjung. Selian itu, pengunjung juga berpeluang untuk melihat dengan lebih dekat varian Bezza GXtra yang baru dilancarkan minggu lepas.

KLIK UNTUK BESARKAN

 

the authorMohd Izarul
Founder
Pereka grafik berjiwa otomotif

Leave a Reply