ARKIB

KATEGORI

Buletin

PKP 2.0 – Kehidupan pemandu bas perit, terpaksa pinjam wang dan jual barangan peribadi

Views

Terpaksa menjual barang peribadi, meminjam duit untuk membeli makanan dan menumpang tidur kerana kehabisan wang. Memang cukup menyedihkan, namun inilah antara dugaan yang terpaksa dihadapi oleh pemandu bas ekspres yang dihimpit masalah kewangan akibat penularan COVID-19.

Menurut Berita Harian, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac tahun lalu termasuk larangan rentas negeri dan daerah telah menjejaskan mereka kerana perjalanan dikurangkan berikutan penurunan drastik jumlah penumpang.

Seorang daripada mereka yang ditemui BH di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Jamil Ramli, 57, mengakui impak PKP kali ini begitu teruk menyebabkannya hanya mampu memperoleh kurang RM1,000 sebulan. Menjadi pemandu bas ekspres sejak 1990-an, Jamil berkata, dia biasanya menerima antara RM80 hingga RM100 bagi satu perjalanan yang memadai sebelum ini kerana banyak perjalanan dibuat dalam sebulan, berbanding hanya dua hingga tiga perjalanan sepanjang PKP.

Bagi Faizal Ahmad, 51, yang memandu bagi laluan Kuala Lumpur-Johor Bahru, kesempitan kewangan yang dihadapi memaksanya menjual barang dimiliki bagi menampung pendapatan yang semakin berkurangan. Katanya, dia terpaksa menjual komputer untuk menambah wang. Dengan gaji RM1,000 kini, apalah sangat yang boleh dilakukan kerana sewa bilik di Johor Bahru sahaja sudah mencecah RM500.

Katanya, kurang daripada 10 syarikat bas ekspres menyediakan perkhidmatan di TBS ketika ini bagi perjalanan ke utara dan selatan, sekali gus berharap ada usaha diambil kerajaan bagi membantu pemandu bas ekspres yang bukan menerima gaji tetap setiap bulan.

Sementara itu, Yusran Abdullah, 42, yang berasal dari Sabah dan memandu bagi laluan Kuala Lumpur-Johor Bahru sejak awal tahun lalu, terpaksa menggunakan simpanan sepanjang bekerja di Singapura sebagai pemandu bas ekspres bagi membayar semua komitmen hutang.

Ahmad Sis Ibrahim, 57, pula kecewa apabila pemandu bas ekspres tidak senarai sebagai penerima bantuan khas melalui Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI), sedangkan pemandu bas persiaran menerima bantuan sekali bayaran itu.

JOM BACA >> INFO : Proton X70 MC1 bakal diperkenalkan tahun ini? Iriz dan Persona MC2 kekal dengan transmisi CVT

Di Yan, bapa tujuh anak, Mokhtar Abdul Hamid, 61, berkata selama hampir 30 tahun menjadi pemandu bas, keluarganya tidak pernah mengalami terputus beras dan bekalan makanan, namun ia kini terjadi ke atas mereka.

Jelasnya, pada usia emas dia terpaksa buat pelbagai kerja termasuk ambil upah memotong rumput, mengecat rumah dan menebang pokok dengan upah kira-kira RM50 bergantung kepada kerja yang dilakukan. Dia juga terpaksa tebalkan muka pinjam duit dengan kawan rapat jika kehabisan beras dan tidak mampu membayar sewa rumlah berjumlah RM120 sebulan.

Di Butterworth, pelbagai kerja dilakukan Mohd Faizal Abdul Majid, 37, termasuk membawa bas dan van kilang jika diperlukan untuk mencari sesuap nasi kerana berdepan masalah kewangan apabila tidak bekerja sepanjang PKP.

Awal pelaksanaan PKP tahun lalu, katanya, majikan ada memberi sumbangan RM500 kepada pemandu, namun tidak pada PKP kali ini dan dia hanya mengharapkan pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melalui i-Sinar serta Bantuan Prihatin Nasional (BPN).

Di Johor Bahru, tinjauan di depoh simpanan bas ekspres kepunyaan syarikat Transtar Travel, mendapati kira-kira 20 bas yang sebelum ini berulang-alik dari destinasi dalam negara hingga Singapura, tersadai dengan rumput tumbuh sehingga ke badan kenderaan diparkir di situ.

Difahamkan hanya tiga masih boleh dihidupkan daripada semua kenderaan berkenaan yang dibeli pada harga purata RM500,000 hingga RM1.5 juta dan tersadai sejak PKP tahun lalu. Pemandu Transtar Travel, Ismail Saari, 38, yang mampu memperoleh sehingga RM4,000 sebulan membawa bas ekspres sebelum ini, kini hanya ditugaskan menjaga depoh terbabit berikutan operasi syarikat terjejas sejak PKP tahun lalu.

Dia juga menumpang tinggal di depoh terbabit sejak hilang pendapatan dan mengikat perut dengan hanya makan roti kering dan mi segera selain menjual koleksi jam kesayangan bagi menampung perbelanjaan. Di Kota Bharu, pemandu bas Syarikat Perdana Ekspress, Muhammad Pairul Azhar Abdullah, 29, berkata kehidupannya kini agak tersepit apabila terpaksa ‘bercuti’ sejak pelaksanaan PKP pertengahan bulan lalu, tambah tertekan apabila baru mendapat anak kedua dan memerlukan belanja tinggi.

JOM BACA >> INTIP : Iriz crossover dan Persona MC2 dikesan di Kuantan waktu malam, guna lampu depan jenis LED?

Tambahnya, sebelum ini, dia mampu memperoleh RM2,300 sebulan, namun kini hanya RM300, itu pun ihsan syarikat kepada pemandu bas yang tiada pendapatan. Buat sementara, dia dan isteri membuat kuih-muih diletakkan di kedai-kedai makan bagi mendapatkan sumber pendapatan untuk meneruskan kehidupan.

Menurut Setiausaha Pertubuhan Pengusaha Bas Ekspres Malaysia, R Thiagarajan, sekurang-kurangnya 98 peratus daripada kira-kira 6,000 pemandu bas ekspres di seluruh negara hilang pekerjaan sejak kerajaan melaksanakan pelbagai peringkat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula Mac tahun lalu.

Bagaimanapun, katanya, nasib mereka juga tidak terjamin kerana hanya bertahan dengan gaji pokok berikutan kekurangan jumlah perjalanan bas akibat jumlah penumpang yang menyusut teruk. Beliau yang juga Pengerusi Pertubuhan Muafakat Pengusaha dan Pemandu Bas Negeri Johor, berkata di Johor sahaja, hanya antara 20 hingga 30 pemandu bas masih bertahan walaupun menerima gaji pokok RM400 hingga RM450.

Jelasnya, sebelum PKP dilaksanakan (Mac 2020), gaji pemandu bas ekspres boleh mencecah RM3,000 hingga RM4,000 sebulan, bergantung jumlah perjalanan pemandu. Bagaimanapun, sejak rentas negeri tidak dibenarkan, kebanyakan syarikat bas ekspres turut menghentikan operasi. Ramai pemandu hilang kerja dan balik kampung, bekerja kampung, jadi penghantar makanan, pengawal keselamatan dan ada juga berniaga makanan kecil-kecilan.

Daripada 117 syarikat bas ekspres di seluruh negara, hanya antara 10 hingga 15 syarikat masih meneruskan operasi, itu pun dalam keadaan sangat terhimpit dan sudah tentu pemandu bas ekspres pun turut terjejas teruk serta hilang pekerjaan.

Tambah memeritkan kehidupan pemandu bas ekspres, kumpulan pekerja berkenaan tidak tersenarai menerima bantuan ‘one-off‘ sejak PKP pertama walaupun hilang pekerjaan. Mereka juga tidak disenaraikan dalam senarai penerima pakej bantuan PERMAI yang diumumkan baru-baru ini.

Pihaknya yang mewakili pemandu bas ekspres amat berharap kerajaan menimbang semula bantuan yang wajar untuk mereka. Tambahnya lagi, negara bakal kehilangan pemandu bas ekspres terlatih dan profesional berikutan industri ini makin merudum dan seperti tiada masa hadapan.

KLIK UNTUK BESARKAN

Foto hiasan

JOM BACA >> INTIP : Iriz crossover dan Persona MC2 dikesan sedang berhenti rehat, guna rim 16-inci!
JOM BACA >> INTIP : GAC Trumpchi GS3 Power 2021 ‘ronda-ronda Putrajaya’!
JOM BACA >> IMBAU KEMBALI : Rupanya Proton Sembilu pernah wujud di era 90-an
JOM BACA >> INTIP : Yamaha Exciter 155 VVA 2021 (Y Suku V3) mulakan ujian di Malaysia
JOM BACA >> PANAS! Foto Proton Iriz R3 Limited Edition sekali lagi tertiris, kali ini lebih jelas!

the authorMohd Izarul
Founder
Pereka grafik berjiwa otomotif

Leave a Reply