ARKIB

KATEGORI

Buletin

Proton X70 1.5 TGDI: Ada lagi ke yang bangkitkan isu tiga silinder?

Pandu Uji

Views

Usai sesi pemanduan media untuk Proton X70 yang dikemaskini untuk tahun 2022 yang bermula dari Shah Alam dan tamat di Desaru, ada di antara rakan media yang berkata:

“Kalau tidak diberitahu, kita mungkin tidak sedar enjin di bawah bonet kurang satu silinder”.

Prestasi varian baharu ini tiada beza dengan varian empat silinder dari segi pemanduan, malah ada yang memuji tahap bunyi, gegaran dan kekasaran (NVH) yang rendah berbanding model sebelumnya.

Pihak kejuruteraan, pengurusan dan pemasaran Proton jelas berasa lega dengan maklum balas yang positif kerana beberapa bulan sebelum pelancaran mereka agak gusar pasaran tidak dapat menerima model tiga silinder yang dijual pada harga yang hampir sama dengan empat silinder sebelumnya.

Dikhabarkan kajian pasaran mereka menyatakan pembeli di Malaysia masih risau mengenai gegaran dan ketahanan enjin tiga silinder, mungkin dari pengalaman lepas, tetapi sebenarnya teknologi tiga silinder semakin menjadi pilihan untuk model pemula dalam banyak jenama termasuk dari Eropah.

Jenama Jepun seperti Toyota, Honda dan Nissan turut menawarkan jentera tiga silinder di pasaran dunia walaupun tidak dijual di Malaysia. Hanya Nissan yang menawarkan Sentra terbaharu mereka dengan enjin tiga silinder manakala dua jenama lagi juga risau tentang penerimaan pasaran.

JOM BACA >> INTIP : Unit ujian Proton X90 (VX11) dirakam dari jarak dekat, kelihatan stereng di sebelah kanan

Maaf, Toyota GR Yaris memang tiga silinder, tetapi model tersebut sudah berada dalam kategori kereta sukan rali untuk jalan raya dan bukannya kereta keluarga.

Model yang dilancarkan pada 8 Jun 2022 ini melalui beberapa perubahan kosmetik kecil selain penukaran enjin. Perubahan yang terlalu minima untuk dicam oleh orang kebanyakan.

Sepanjang perjalanan ke Johor Bahru kami diberi peluang mengujinya di lebuh raya dan juga laluan persekutuan yang bertujuan membuka mata kami kepada kebolehan jentera tersebut pada jenis laluan yang berbeza.

Di lebuh raya kami mendapati tahap NVH varian ini lebih senyap dari versi yang diganti dan ini ada kena mengena dengan usaha tambahan Proton dalam mengasingkan sumber bunyi, gegaran dan kekasaran dari kabin.

Hasilnya ialah jentera yang lebih selesa untuk perjalanan jauh. Di jalan persekutuan dan negeri, kami digalakkan untuk menduga pemanduan model ini dan terbukti enjin tiga silinder dapat menawarkan pecutan yang hampir serupa dan menghasilkan pemanduan yang cukup memuaskan.

Apabila dipadankan dengan casis yang cukup berkebolehan, pemandu berasa yakin untuk menyusur sebarang laluan mencabar. Jujur saya katakan bahawa perbezaan model 1.8 empat silinder dan 1.5 tiga silinder hanyalah ‘di alam persepsi’ dan tidak dapat dizahirkan ketika pemanduan.

JOM BACA >> INTIP : Ini baru betul ‘testing kaw-kaw’, sampai unit ujian Proton X90 (VX11) rosak di tepi jalan

Waima persepsi nada enjin tiga silinder tidak lunak dan bunyinya ibarat lalat sekalipun tidak menjadi realiti kerana ia menggunakan pengecas turbo yang berjaya menawarkan pecutan bertenaga sebagai penarik perhatian dari ragam bunyian tersebut.

Mereka yang memegang tali dari air terjun mungkin cuba terus menegakkan benang yang basah dengan hujan yang enjin tiga silinder kurang tahan dari enjin empat silinder kerana terdapat gegaran tambahan.

Hakikatnya, ilmu logam masa kini adalah lebih maju di samping teknologi penghasilan yang lebih halus telah berjaya menghasilkan jentera moden yang lazimnya tahan satu juta kilometer gunaan sebelum ianya ‘kaput’.

Enjin tiga silinder ini telah diuji untuk mencapai piawaian yang sama dengan enjin yang lain, jadi isu ‘tidak tahan’ ini sepatutnya tidak perlu dibangkitkan.

Tetapi, hanya satu kekurangan pada model X70 tiga silinder ini, ketiadaan bumbung kaca panorama. Kalau anda inginkan ciri tersebut, terpaksalah memilih varian andalan (flagship) yang masih menggunakan empat silinder.

Kalau tidak, anda tidak perlu membuang masa berdebat tentang “tiga silinder lawan empat silinder”. Pergi sahaja ke bilik pameran Proton dan minta ‘si polan’ itu melenjan X70 sebentar, kemudian biarkan dia membuat penilaian nyata berdasarkan pengalaman sendiri.

Artikel oleh Shamsul Yunos

KLIK UNTUK BESARKAN

JOM BACA >> INTIP: Dua unit ujian Proton X90 (VX11) dikesan sekitar Simpang Pulai
JOM BACA >> Dakwa kereta gesel pembahagi jalan elak konvoi pengiring, lelaki ini berani jawab ciapan balas TMJ
JOM BACA >> Toyota Agya dan Daihatsu Ayla bakal tiba di Indonesia bulan Mac 2023, pengeluaran massa Perodua Axia (D74A) dijangka bermula Januari 2023
JOM BACA >> Kenderaan pengguna MRR2 terkena minyak, SUKE sedia tanggung kos cucian
JOM BACA >> INTIP: Hari Ahad pun Proton masih uji X90 (VX11), mungkin kejar masa kot?

the authorMohd Izarul
Founder
Pereka grafik berjiwa otomotif

Leave a Reply