Proton bermula dengan langkah kanan di awal tahun 2019 dengan peningkatan jumlah pendaftaran kenderaan kepada 7,007 unit pada bulan Januari. Pegangan pasaran dianggarkan sekitar 14.5 peratus, meskipun angka sebenar hanya akan disahkan selepas data jualan industri dikeluarkan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA).
Selepas pelancarannya pada 12 Disember 2018, penyerahan Proton X70 semakin rancak dan telah berjaya mencatat rekod pendaftaran SUV yang terbanyak di pasaran Malaysia pada bulan ianya dilancarkan. Rekod tersebut berterusan sehingga ke tahun baharu dengan sebanyak 2,777 unit telah didaftarkan pada Januari 2019. Ini bermakna Proton X70 telah mencatat rekod baharu sebagai SUV segmen C paling banyak didaftarkan dalam masa sebulan.
Jumlah besar tersebut sangat penting buat Proton yang mempamerkan angka pertumbuhan jualan yang mengagumkan. Berbanding dengan jualan bulan sebelumnya, jualan telah meningkat sebanyak 33.6 peratus sementara perbandingan dari tahun ke tahun, angka tersebut mewakili pertumbuhan sebanyak 46.5 peratus daripada Januari 2018, sekaligus menjadikan Proton jenama automotif antara ketiga yang teratas.
JOM BACA >> Proton tayang foto rasmi pertama Iriz berwajah baharu – Kini dengan fungsi Arahan Suara
Satu lagi pencapaian Proton yang mendahului industri adalah pada jumlah kemudahan yang ada pada cawangan 3S/4S. Sehingga akhir bulan ini, terdapat 74 cawangan Proton 3S/4S dan pengedar beroperasi dan akan lebih banyak cawangan dibuka sepanjang tahun ini. Cawangan-cawangan akan bergandingan membantu Proton dalam mencapai Indeks Perkhidmatan Jualan (SSI) dan Indeks Perkhidmatan Pelanggan (CSI) mencapai sasarannya.
Dr Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif Proton berkata masih banyak lagi yang perlu dilakukan untuk menaikkan semula jenama ini dan akan berusaha untuk terus memberikan pengalaman mewah di cawangan mereka dan pada masa yang sama meningkatkan penawaran bagi model-model keluarannya. Bagi bulan Februari, Proton sedang berusaha untuk mengekalkan momentum jualannya dengan mengadakan promosi Ang Pow. Pembeli kereta-kereta Proton layak untuk mendapatkan penjimatan sehingga RM4,000 bergantung pada model yang dipilih.
Tambah Dr Li lagi, bersempena dengan Tahun Baharu Cina, Proton ingin terus memberikan ganjaran kepada para pelanggannya dengan menawarkan insentif tambahan yang membeli kereta Proton baharu. Proton juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina kepada semua rakyat Malaysia dan mengingatkan mereka supaya memandu dengan selamat di sepanjang tempoh perayaan.
JOM BACA >> INTIP : Papan pemuka Proton Iriz MC2 berjaya dirakam
KLIK UNTUK BESARKAN
KOMEN TERKINI