ARKIB

KATEGORI

Buletin

Sepuluh Tips Untuk Jimat Minyak

Views

Disebabkan harga minyak tidak menentu sejak pengenalan sistem apungan harga mengikut harga minyak dunia, kami ingin membantu anda untuk berjimat. Tips ini sebenarnya langkah sangat perlu kerana penggunaan bahan api paling minimum dapat menjimatkan perbelanjaan. Kami kongsikan sepuluh tips yang mungkin membantu mengurangkan perbelanjaan anda :

1. Pastikan tekanan angin tayar cukup

Berapa kali anda periksa tekanan angin tayar? Tekanan angin yang kurang akan menyebabkan kereta dipandu menjadi lebih berat sekaligus enjin menggunakan lebih bahan api. Tayar dengan tekanan angin yang betul akan membolehkan anda mendapat lebih 3.3 peratus lebih jarak perbatuan. Paling tidak pun sebulan sekali kena periksa tekanan angin tayar.

2. Servis kereta ikut jadual

Pastikan kereta diservis mengikut jadual. Tukar minyak enjin dan penapis minyak mengikut jadual kerana ia boleh menjaga prestasi enjin kereta anda. Selain itu ia dapat membantu kita mengesan sebarang kerosakan enjin lebih awal. Enjin yang berfungsi dengan baik akan menjimatkan petrol.

3. Kurangkan berat/bebanan kereta

Jangan jadikan kereta anda sebagai stor. Bawa barang yang perlu sahaja. Kereta yang membawa bebanan yang lebih akan menggunakan minyak melebihi tahap biasa. Sebagai contoh, penambahan berat sebanyak 50 kilogram boleh meningkatkan penggunaan minyak sebanyak dua peratus.

4. Matikan enjin kereta semasa kereta tidak bergerak

Ini yang selalu kita terlepas pandang. Jika kereta tidak bergerak, sila matikan enjin semasa menunggu. Enjin kereta yang masih hidup walaupun tidak bergerak sebenarnya masih membakar petrol. Untuk mengelakkannya, matikan sahaja enjin untuk menjimatkan minyak.

5. Isi petrol pada waktu yang sesuai

Waktu pagi atau malam adalah masa yang paling sesuai untuk mengisi minyak kerana cuaca lebih sejuk. Ini kerana pada waktu ini minyak petrol kurang termeluwap ke udara akibat cuaca panas lebih-lebih lagi pada ketika suhu panas melampau.

6. Gunakan gear yang sesuai

Mengguna gear rendah pada kelajuan tinggi akan menyebabkan tekanan enjin menjadi terlalu tinggi selain boleh meningkatkan penggunaan minyak. Sebagai contoh, jika memandu pada kelajuan 80 km/h menggunakan gear lima (putaran enjin 2,500 pusingan seminit) akan mengurangkan penggunaan petrol berbanding kelajuan 40 km/h menggunakan gear tiga (putaran enjin juga sama 2,500 pusingan seminit).

7. Kurangkan kelajuan

Untuk kaki pecut, memang ini yang tidak digemari oleh anda. Sebenarnya lebih perlahan anda memandu, akan kurang penggunaan minyak dan yang penting tak kena saman. Untuk rekod, Proton Savvy telah berjaya mengelilingi semenanjung Malaysia dengan hanya satu tangki penuh pada kelajuan terkawal supaya tidak melebihi 80 km/h.

Kalau nak memecut, pastikan anda tahu guna enjin dalam julat yang paling cekap, kami syorkan :

– Untuk enjin petrol, tukar gear pada 2500 rpm
– Untuk enjin diesel, tukar gear pada 2000 rpm.

8. Guna penghawa dingin secara berhemah

Kalau boleh tutup penghawa dingin pada waktu pagi atau malam kerana masa itu cuaca lebih sejuk. Anda boleh buka sedikit tingkap untuk pengudaraan. Unit penghawa dingin mempunyai pam pemampat (compressor pump) yang dipacu oleh enjin kereta anda. Apabila penghawa dingin digunakan, pemampat akan menarik lebih kuasa dari enjin, sekaligus menambah bebanannya. Ini mengakibatkan penggunaan minyak yang lebih dan menambah pelepasan asap.

9. Rancang perjalanan anda

Sebelum ke sesuatu destinasi, sebaik-baiknya anda perlu merancang perjalanan. Ini dapat mengelakkan dari kesesakan lalulintas dan tersesat jalan walaupun menggunakan panduan sistem navigasi. Ia sekaligus dapat mengurangkan penggunaan minyak dan menjimatkan masa anda.

10. Elakkan perjalanan jarak dekat

Kalau nak ke kedai atau surau yang dekat dengan rumah, kami sarankan anda berbasikal, bermotosikal atau lebih afdal berjalan kaki untuk lebih sihat. Semasa enjin sejuk, ia akan menggunakan lebih minyak kerana tenaga dalam minyak digunakan untuk memanaskan enjin. Pemangkin asap (catalytic converter) dalam ekzos juga kurang cekap semasa sejuk.

the authorMohd Izarul
Founder
Pereka grafik berjiwa otomotif

Leave a Reply