Dikala peminat F1 berduka setelah mendapat perkhabaran penganjuran sukan tersebut akan dihentikan buat semenatara, peminat MotoGP pula pasti akan melompat kegembiraan apabila Shell dan Dorna Sports telah mengumumkan lanjutan kontrak selama empat tahun untuk terus menaja acara tersebut. Berita gembira ini telah disahkan sebelum pusingan perlumbaan Grand Prix Motosikal Shell Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) yang baharu sahaja selesai semalam.
Shell yang menyambut ulang tahun ke-125 di Malaysia, mengesahkan komitmen mereka terhadap sukan bermotor peringkat tinggi dan juga rantau Asia, setelah menjadi penaja utama acara tersebut bagi tujuh daripada lapan musim yang lalu sejak 2009. Pada masa yang sama juga, Shell turut memperkukuhkan hubungannya dengan MotoGP, di mana ia mempunyai Kerjasama Teknikal yang baik dengan pasukan Ducati Corse.
Hubungannya dengan pengeluar Itali yang berada di barisan hadapan perlumbaan motosikal ini bermula sejak 2003, dan pada tahun lepas, Shell telah mula membekalkan minyak enjin Shell Advance Ultra dengan Teknologi PurePlus kepada jentera di bawah jenama tersebut. Di samping bahan api perlumbaan Shell V-Power, kedua-duanya dihasilkan dalam dunia permotoran yang penuh cabaran untuk dimanfaatkan oleh pelanggan di seluruh dunia.
Pengerusi Shell Malaysia, Datuk Iain Lo, berkata: “Acara MotoGP Shell Malaysia telah menarik rakyat Malaysia dan menaikkan taraf acara sukan di Malaysia – bagi saya tiada cara lain yang lebih baik untuk memulakan 125 tahun yang akan datang, dan juga yang seterusnya, selain menerusi sumbangan kami ke arah kecemerlangan sukan permotoran di negara ini.”
Pengarah Urusan, Bidang Komersial, Dorna Sports Pau Serracanta, pula berkata: “Saya gembira kerana Shell kembali sebagai penaja utama GP Malaysia dan melanjutkan tempoh kerjasama kami untuk empat tahun lagi. Hujung minggu MotoGP di Sepang sentiasa merupakan sambutan sukan permotoran jentera dua tayar yang istimewa dan hebat, dan kembalinya sebuah syarikat global seperti Shell sebagai penaja utama adalah suatu yang hebat bagi Shell, MotoGP dan Dorna Sports.”
KLIK UNTUK BESARKAN
KOMEN TERKINI