ARKIB

KATEGORI

Buletin

SPEKULASI : Perodua sedang bangunkan SUV mini dari pelantar X-Concept?

Views

Desas-desus mengatakan Perodua kini sedang membangunkan sebuah SUV mini dari pelantar X-Concept yang telah dipertontonkan semasa Pameran Motor Antarabangsa Kuala Lumpur 2018 (KLIMS18) dua bulan yang lalu. Info terbaharu yang kami perolehi dari sumber yang boleh dipercayai ini memaklumkan, pembangunan model SUV tersebut kini sedang giat dilakukan di Jepun, bersama rakan teknikal Perodua, iaitu Daihatsu.

Kami difahamkan, SUV tersebut bakal dilancarkan pada penghujung tahun 2019. Jika info ini benar, ia bermakna Perodua sudah menghidu ‘lubuk besar’ baharu dalam segmen SUV mini kerana pada ketika ini, hanya Haval H1 yang ada dalam kategori tersebut. Jangkaan awal kami Perodua akan memperkenalkan Axia serba baharu dalam artikel sebelum ini juga mungkin meleset kerana dikatakan ia belum ada dalam perancangan lagi.

Mungkin juga suspensi yang sedang dibangunkan untuk model crossover Axia dan Myvi dalam artikel yang sama bakal digunakan untuk SUV mini itu nanti. Ia juga bermakna bertambah lagi satu SUV baharu untuk tahun depan kerana Proton juga bakal melancarkan SUV kompak dalam segmen B yang dibangunkan dari pelantar Geely Bin Yue@SX11.

JOM BACA >> Mungkin inilah rupa SUV baharu Perodua

Ada kemungkinan, model SUV mini itu bakal berkongsi pelantar dengan model konsep Daihatsu DN Trec versi produksi yang telah dipertontonkan semasa Tokyo Motorshow pada tahun 2017. Model konsep SUV mini itu bakal menggunakan dua pilihan enjin, sama ada hibrid dengan kapasiti 1.2-liter atau unit 1.0-liter dengan pengecas turbo. Sekiranya mengambil kira selang masa dua tahun dari pengenalan konsep, amatlah relevan jika Daihatsu mengeluarkan model produksinya pada tahun hadapan.

Mungkin pada edisi Tokyo Motorshow 2019 nanti, Daihatsu akan melancarkan versi produksinya dan ketika itu kita semua sudah boleh membayangkan bagaimana rupa bakal SUV mini Perodua itu nanti. Nampaknya Perodua memang bijak membuat percaturan kerana model SUV tujuh-tempat duduknya yang bakal dilancarkan Januari nanti bakal menggugat pasaran Honda BR-V dan juga kembarnya Toyota Rush.

Bayangkan jika SUV mini Perodua itu nanti ditawarkan dalam julat harga antara RM45,000 hingga RM55,000 seunit sudah pasti inilah “SUV marhaen” yang kita semua cari. Yang pasti SUV itu nanti hanya akan ada lima-tempat duduk jika berpandukan kepada model X-Concept dan Daihatsu DN Trec. Kami harap SUV ini bakal menjadi realiti nanti, bukan sekadar spekulasi.

Akhirnya ada juga model pengganti kepada Kembara. Tunggu!

JOM BACA >> RAMALAN : Model apakah yang bakal dikeluarkan oleh Proton dan Perodua tahun depan?

KLIK UNTUK BESARKAN

Perodua X-Concept

Daihatsu DN Trec Concept 2017

the authorMohd Izarul
Founder
Pereka grafik berjiwa otomotif

Leave a Reply