Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) kini sudah membuka tempahan untuk Volkswagen Tiguan serba baharu. Volkswagen Tiguan serba baharu dipasang di Pekan itu bakal dilancarkan beberapa minggu lagi dan harga yang ditawarkan di antara RM149,000 dan RM169,000. VPCM juga akan menawarkan RM7,000 buat pelanggan terawal Tiguan serba baharu dalam jumlah terhad.
Pemenang Anugerah Reka Bentuk Jerman 2017, Tiguan serba baharu begitu anggun menerusi rekaan elegan yang menyerlahkan aspek kuasa dan autoritinya. Tiguan kini lebih panjang, lebar dan rendah berbanding model terdahulu. Dua varian menarik ditawarkan, Comfortline dan Highline.
Kedua-dua varian itu menggunakan enjin pengecas langsung dan pancitan multiport 1.4L TSI yang dipadankan dengan kotak gear klac basah direct shift gearbox (DSG) enam kelajuan. Ia mampu menghambur kuasa yang mengagumkan, 150PS dan tork 250Nm pada putaran enjin di antara 1,500 hingga 3,500rpm. Diiktiraf sebagai Kenderaan Cekap Tenaga (EEV), Tiguan serba baharu menawarkan penjimatan bahan api yang luar biasa iaitu 6.7l/100km.
Rekaan dalaman Tiguan serba baharu yang pintar turut hadir dengan tahap keselesaan dan kemewahan yang boleh didapati pada model-model premium Volkswagen lain. Antaranya termasuklah Active Info Display, sistem infotainmen Discover Media bersaiz 8 inci dan Climatatronic 3 zon. SUV ini akan didatangkan dalam lima warna – putih (Pure White), hitam (Deep Black), biru (Atlantic Blue), perak (Tungsten Silver) dan kelabu (Indium Grey).
Tiguan serba baharu boleh dilihat secara dekat di Siri Jelajah Jualan Volkswagen yang berlangsung di New Wing pusat membeli-belah 1 Utama mulai semalam, 1 Mac 2017. Tempahan Tiguan serba baharu juga boleh dibuat di mana-mana pengedar sah Volkswagen di seluruh negara.
KLIK UNTUK BESARKAN
KOMEN TERKINI