ARKIB

KATEGORI

Buletin

Volkswagen perkenal Polo 1.6 CKD!

Views

d1054

Setelah diperkenalkan buat pertama kalinya di Kuala Lumpur International Motor Show, November tahun lalu kini dengan rasminya Volkswagen Polo 1.6 diperkenalkan. Model yang dipasang secara CKD ini menampilkan rekaan yang sporty dan dinamik disasarkan kepada golongan muda yang mahukan kereta yang selesa, selamat dan berkualiti.

Dilengkapi dengan enjin petrol 1.6-liter 105PS, 16-Injap Suntikan Pelbagai Titik (MPI) dan dipadankan bersama kotak gear 6-kelajuan automatik Tiptronic, Polo 1.6 mampu mengerah daya kilas maksimum 153Nm pada 3800rpm menjadikannya kereta paling berkuasa dalam segmennya. Pada masa yang sama ia mampu menjimatkan bahan api –  6.3 liter untuk setiap 100km, hampir 16 km untuk setiap liter.

Polo 1.6 mempunyai prestasi pengendalian yang mengagumkan, turut menjadikannya antara kereta yang terbaik dalam kelasnya. Olengan badannya yang semakin berkurangan menjadikannya lebih stabil untuk dikendalikan dan memberikan keyakinan kepada pemandu dan penumpang.

Rekaan luarannya yang sporty dengan garisan badan yang bersih jelas memperlihatkan DNA keluarga Volkswagen. Rim aloi 15 inci “Riverside”, jeriji hadapan dengan bar krom berkembar, lampu hadapan dengan kemasan krom dan lampu belakang rekaan terbaru adalah elemen yang menyerlahkan penampilan dinamik model ini.

Ruang dalamannya pula dihiasi dengan kemasan krom yang mengelilingi radio, suis lampu, panel penghawa dingin dan corongnya. Roda steering, tombol gear dan pemegang brek tangan dihiasi dengan kemasan kulit manakala fabrik tempat duduk ‘Livon’ menjadikan ruang dalaman Polo 1.6 nampak lebih menyerlah dan elegan.

Polo 1.6 dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan seperti beg udara berkembar, Bantuan Brek, ISOFIX, Brek Anti Kunci (ABS) dan Sistem Respons Pelanggaran Pintar (ICRS) yang akan membuka kunci pintu kenderaan secara automatik. Lima pilihan warna ditawarkan iaitu Candy White, Flash Red, Pepper Grey, Reflex Silver dan Deep Black. Harga yang diletakkan untuk model ini ialah RM87,888 tetapi Volkswagen memberikan harga istimewa untuk 500 pembeli pertama dengan harga yang ditawarkan hanya RM85,888.

the authorMohd Izarul
Founder
Pereka grafik berjiwa otomotif

Leave a Reply