Volkswagen mula mengusik netizen dengan model konsep terbaharu mereka ID Vizzion Concept yang bakal ditayangkan di Geneva Motor Show 2018 sejak minggu lalu. Pada awalnya mereka hanya mengeluarkan butiran awal dan lakaran rasmi model sedan elektrik tersebut, kemudiannya beberapa hari selepas itu mereka mengeluarkan pula imej ruang dalaman yang diinspirasikan dari lounge.
Kini Volkswagen menampilkan video ringkas yang memaparkan lampu LED hadapan yang bersambung dengan jalur lampu yang secara simboliknya menghasilkan rupa jeriji utama model tersebut. Kelihatan juga bentuk bampar depan, gerbang roda yang lebar serta rim yang berwarna hitam gelap. Model ini dikuasakan oleh penjana kuasa elektrik yang menggabungkan dua motor yang mampu mengerahkan kuasa sebanyak 302hp kepada kedua-dua gandar yang membolehkannya memecut sehingga 180km/h.
Model sedan dengan teknologi swapandu ini dilengkapi pek bateri lithium-ion berkapasiti besar 111kWh yang mempu menggerakkannya sejauh 665km dengan sekali cas penuh. Volkswagen buat masa ini masih merahsiakan model lain yang bakal berkongsi pentas bersama ID Vizzion Concept di Geneva Motor Show 2018, mungkin ada kejutan daripada mereka nanti!
KLIK UNTUK BESARKAN
KOMEN TERKINI