ARKIB

KATEGORI

Buletin

Volvo akan menguji kereta tanpa pemandu di London dan China tahun depan

Views

Artikel oleh : Shamsul Yunos

Sebelum ini kami telah banyak kali menyatakan bahawa kereta tanpa pemandu hampir menjadi realiti, kini satu ujian berani dirancangkan di London dan China bagi membuktikan keupayaan teknologi dan menyelam dan mencari sebarang masalah teknikal dan undang undang yang mungkin timbul. Syarikat kereta Sweden, Volvo dijangka akan menguji kereta tanpa pemandu di jalan awan London bermula 2017 dan untuk fasa pertama kereta tersebut akan dilengkapi dengan sistem kawalan biasa dan digunakan oleh orang biasa.

Maklumat terperinci masih belum dikeluarkan tetapi laporan awal menyatakan bahawa ujian ini akan melibatkan bilangan kenderaan yang agak kecil dan kemungkinan ianya dipinjamkan kepada keluarga yang dipilih oleh syarikat tersebut. Projek yang digelar ‘Drive Me London’ akan dikembangkan pada tahun 2018 dengan bilangan kereta ujian ditambah ke 100 unit dan mungkin melibatkan kawasan berhampiran ibu kota United Kingdom tersebut.

Ujian di China akan melibatkan 100 unit kenderaan dan ianya juga akan digunakan oleh keluarga biasa dalam situasi harian. Volvo mengumumkan ujian di China pada awal April, manakala ujian di London diumumkan minggu ini. Volvo telah memperkenalkan sistem Intellisafe kepada dunia pada bulan Oktober 2015 dan mereka menjangkakan bilangan kemalangan jalanraya mungkin berkurangan sehingga separuh apabila sistem ini mula digunakan.

Pakar menjangkakan kemalangan dapat dikurangkan sehingga 90 peratus apabila sistem kereta tanpa pemandu digunakan secara meluas. Kami percaya kereta tanpa pemandu pertama akan berada di pasaran dalam tempoh lima tahun lagi dan dijangka menjadi pilihan utama kita bermula dekad 2020.
Teknologi awal kereta tanpa pemandu memerlukan pelbagai rangkaian pengesan di jalanraya dan kereta dan ini dikatakan terlalu mahal serta tidak munasabah, tetapi para jurutera kini mengambil inspirasi dari alam serangga seperti semut dan lebah yang mampu memetakan alam sekeliling dengan perkongsian maklumat pendek antara serangga.

Sistem lebah dan semut juga terbukti berjaya digunakan untuk tujuan menentukan arah ataupun destinasi sambil mengambil kira sebarang halangan atau bahaya dalam perjalanan tanpa menggunakan rangkaian maklumat yang lebar. Setiap serangga menerima dan menyampaikan maklumat pendek kepada serangga yang berhampiran dan maklumat itu tersebar sendirinya kepada semua serangga yang berhampiran atau semua yang sedang melakukan tugas dan mengikut laluan yang sama.

Ia dipanggil ‘Swarming system’ ataupun sistem berkumpulan dan dapat menghasilkan kenderaan yang mampu mencari laluan sendiri dengan menggunakan kombinasi GPS, kamera, pengesan radar, pengesan inframerah dan sistem komunikasi jarak dekat yang sedang dibangunkan untuk tujuan ini.

Kunjungan kami ke syarikat Continental di Pulau Pinang tahun lepas mendapati bahawa syarikat komponen tersebut juga sedang menghasilkan sistem kenderaan tanpa pemandu berasaskan sistem berkumpulan ini. Antara ciri utama sistem ini ialah penggunaan sistem komunikasi jarak dekat dan jarak jauh untuk berkongsi maklumat dengan kenderaan berhampiran dan juga sistem pusat yang ditugaskan membuat analisis tentang laluan alternatif dan lain lain proses penggabungan maklumat.

the authorMohd Izarul
Founder
Pereka grafik berjiwa otomotif

Leave a Reply