DNC Asiatic Holdings Sdn Bhd, pengeluar tempatan motosikal jenama Demak bakal memperkenalkan lapan buah motosikal dan produk kenderaan elektrik, termasuk empat model yang baharu dibangunkan Sprinter, Dino, Explorer dan Citibiz di Pameran Motosikal Intermot 2016 Cologne, Jerman. Pameran tersebut bakal berlangsung bermula dari 5 Oktober hingga 9 Oktober 2016 nanti.
Skuter “Dino” yang berkapasiti enjin 50cc dengan suntikan bahan api disasarkan untuk pasaran Eropah, dan skuter 125cc “Explorer” untuk pasaran baharu. Selain itu, motosikal 125cc street bike dengan penampilan sporty yang dikenali dengan “Sprinter”, dan kenderaan elektrik roda tiga yang dilengkapi dengan peti pembeku yang dipanggil “CitiBiz Chiller” akan turut diperkenalkan. Kesemua model tersebut bakal dilancarkan ke pasaran pada awal tahun hadapan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, En. GaoRong, berkata “Sejak Demak ditubuhkan pada 2002, kami terus melabur dalam rekabentuk produk dan pembangunan untuk menjadikan produk kami bukan sahaja mengikut peredaran zaman dan mempunyai rekaan yang menarik, tetapi memberikan lebih nilai ekonomi kepada pengguna dan masyarakat. Kami kini bersedia untuk meneroka pasaran global melalui pengenalan di Intermot, yang merupakan pameran motosikal dan skuter terkenal serta dikunjungi oleh delegasi perdagangan dari serata dunia.”
Jenama motosikal Demak kini berada dikedudukan ke-empat dalam pasaran Malaysia. Bagi tahun 2016 sehingga sekarang, lebih dari 40,000 unit pelbagai model motosikal Demak telah pun terjual. Tambah GaoRong lagi, “Kami mahu seluruh dunia dan pasaran Eropah untuk turut mengiktiraf dan menghargai produk buatan Malaysia yang sememangnya sangat kompetitif dalam segala aspek.”
gambar dah ada tak?