ARKIB

KATEGORI

Buletin

ETCM PERKENAL NISSAN SYLPHY 2012

Views

KUALA LUMPUR (9 Mac 2012) – Dalam tempoh hampir empat tahun Nissan SYLPHY berada di pasaran Malaysia, ia telah memperkenalkan kepada beribu-ribu pengguna tempatan satu tahap baharu berkaitan keselesaan dan kehalusan buatan dalam segmen sedan saiz sederhana. Sebagai bukti ia merupakan pilihan paling berbaloi dalam kelasnya, model tersebut telah dipilih oleh majalah AUTOCAR ASEAN selaku penerima anugerah Overall Car of the Year tidak lama selepas ia dilancarkan di Malaysia.

Kini, bagi tahun 2012, Nissan SYLPHY melangkah setapak ke hadapan menerusi penambahbaikan yang meningkatkan lagi penampilan luarannya dan memberi lebih nilai wang kepada pelanggan. Nissan SYLPHY 2012 hadir dalam versi 2.0XL dan 2.0XV untuk memenuhi keperluan serta bajet pembeli yang berbeza.

“Nissan tidak membiarkan model-modelnya menjadi membosankan. Malah ia terus menawarkan model yang ditambahbaik bagi menjadikannya lebih segar. Kami yakin bahawa Nissan SYLPHY 2012 baharu mampu memenangi hati lebih ramai rakyat Malaysia, terutamanya golongan eksekutif muda yang mahukan sebuah sedan menarik dan berbaloi untuk dimiliki,” kata Pengarah Eksekutif Edaran Tan Chong Motor (ETCM), Dato’ Dr Ang Bon Beng.

Sungguhpun rekabentuk keseluruhan yang kemas masih dikekalkan, model itu telah dipasang dengan bampar hadapan dan belakang baharu. Gril krom dengan rekabentuk lebih garang serta lampu hadapan dan belakang yang telah diperbaharui ternyata menyempurnakan lagi gayanya. Demi memenuhi citarasa pelanggan yang berbeza, lima warna telah dipilih khas untuk menyerlahkan imej moden Nissan SYLPHY. Warna-warna itu ialah Bronze Gold (emas), Tungsten Silver (perak), Sapphire Black (hitam), Twilight Grey (kelabu) dan Brilliant White (putih).

Nissan SYLPHY 2012 dikuasakan oleh unit enjin aluminium sepenuhnya MR20DE 2.0 liter empat silinder DOHC 16 injap bersama teknologi Drive-by-Wire bagi maklum balas lebih baik. Menerusi ECCS, electronic fuel injection system dan continuously variable valve timing control (CVTC), enjin yang terbukti bagus ini menawarkan penggunaan bahan api menakjubkan dengan prestasi tidak kurang dari 133ps dan tork 191Nm.

Enjin itu dipadankan dengan transmisi Xtronic Continuously Variable Transmission (X-CVT) generasi ketiga buatan Nissan. Kombinasi itu memberikan penjimatan bahan api mengagumkan dan pecutan penuh kuasa. Kedua-dua versi tersebut memiliki ruang dalaman berwarna hitam dipadankan dengan kemasan kayu. Ia turut hadir dengan rekabentuk meter bulat berwarna perak yang menempatkan satu paparan Multi-Information Display. Ruang kabin juga dilengkapi sistem audio baharu dengan input MP3 dan Auxiliary.

Untuk kemudahan pemandu, cermin sisinya boleh dilipat dengan hanya menekan satu butang. Sementara sistem pendingin hawa (kini dengan paparan suhu) mempunyai setting automatik untuk mengekalkan suhu yang diingini di dalam kabin. Semua penumpang juga pasti terharu dengan keselesaan yang dialami menerusi fabrik tempat duduk Masumi dan konsep tempat duduk belakang yang seperti sebuah sofa.

SYLPHY 2.0XV dipasang dengan rim aloi tujuh jejari bersaiz 16 inci, kunci pintar (i-Key), sistem start/stop dan stereng yang dibalut kulit bersama butang kawalan audio. SYLPHY 2.0XV juga memiliki lampu utama jenis projektor bi-xenon bersama Active Front-lighting System (AFS), sekali gus menjadikannya satu-satunya kereta dalam kelasnya di Malaysia yang menawarkan ciri keselamatan sebegitu. Sistem lampu yang boleh dikawal secara manual itu menawarkan suluhan jauh dan berkuasa, selain kecerahan optimum dalam semua kondisi cuaca.

Menyentuh soal keselamatan, Nissan SYLPHY 2012 juga dilengkapi dua beg udara SRS di bahagian hadapan, tali pinggang keledar pra-regangan, ciri Active Head Restraints pada tempat duduk hadapan serta binaan kerangka Zone Body yang mempunyai zon remuk pada bahagian hadapan dan belakangnya. Sistem lampu automatik pula akan menyalakan lampu utama secara automatik apabila kondisi cahaya semakin gelap (misalnya ketika memasuki ruang parkir dalam bangunan).

Nissan SYLPHY 2012 ditawarkan pada harga di atas jalan RM114,880.00 bagi varian 2.0XL dan RM124,880.00 untuk model 2.0XV. Harga itu termasuk insurans, cukai jalan, yuran pendaftaran dan yuran tuntutan pemilikan di Semenanjung Malaysia. Untuk satu tempoh terhad, semua pembeli juga akan memperoleh satu aerokit baharu dengan setiap pembelian SYLPHY baharu.

ETCM kini menawarkan jaminan tiga tahun atau perbatuan 100,000 km (mana-mana tiba dahulu), di samping kadar faedah rendah bermula dari 2.50% setahun, tertakluk kepada terma dan syarat. Maklumat lanjut, sila hubungi Customer Service Hotline kami di talian 1800-88-8368 (toll-free) atau layari laman web www.nissan.com.my. Pandu uji boleh diatur di bilik-bilik pameran Nissan yang sah di seluruh negara.

Sila muat turun spesifikasi NISSAN SYLPHY 2012 di sini ETCM0332 Sylphy Presale_BK

the authorMohd Izarul
Founder
Pereka grafik berjiwa otomotif

3 Comments


  • kalau penting bab lapang, dr segi legroom mmg lapang, tapi lebar, persona, waja lagi lebar. utk perbandingan :

    sylphy/bluebird : 1700mm
    persona : 1725mm
    waja : 1740mm

    nak banding dgn lebar p3 , altis, civic takyah citer la, mmg tak bole lawan


  • la aku sorg je komen , nasib ar nissan masuk thread salah timing, punya hot p3 sampai org lain taknak komen entah2 buka pun tak huhu


    • takpe bro, dia akan dapat perhatian juga sebab ramai yg buka blog ni bukan setakat nak tau pasal proton semata-mata, tunggu nissan bawak masuk model baru yg ummphh, tengok reaksi org ramai lepas tu

Leave a Reply