Ford kini semakin serius mencabar pengeluar automotif dari luar terutamanya dari Jepun dan Eropah dengan pengenalan model Focus yang telah dilancarkan semalam. Versi hatchback mempunyai dua varian iaitu Sport dan Sport +, manakala untuk sedan pula juga dengan dua variant Titanium dan Titanium +. Difahamkan versi + mendapat spesifikasi yang lebih tinggi. Ford juga membuat kejutan dengan melancarkan versi ST yang dijangka bakal bersaing dengan model seperti Golf GTi.
Kesemua 4 varian ini dijana oleh enjin 2.0 liter Duratec Ti-VCT GDI suntikan terus dengan dual variable valve timing yang mampu memerah sebanyak 170 hp pada 6.500 rpm dan 202 Nm pada 4,550 rpm tork. Ia dipadankan dengan kotak gear dual-clutch enam kelajuan Powershift dan boleh ditukar kepada fungsi manual dengan butang SelectShift.
Ciri-ciri keselamatan yang terdapat pada model Standard ialah seperti beg udara hadapan dan sisi, ABS, EBD, BA, TCS, ESP dan Isofix. Untuk model + pula dilengkapi dengan tambahan beg udara curtain. Kesemua versi juga mempunyai ciri-ciri seperti Active Shutter Grille, electric power assist steering dan Torque Vectoring Control.
Bahagian dalamannya pula dilengkapi dengan kemasan kulit, sistem Ford’s SYNC, sambungan Bluetooth dan kawalan suara, selain pemain MP3/CD Sony dengan sembilan pembesar suara beserta sambungan USB/iPod. Selain itu, steering yang dibalut kulit dengan butang kawalan audio dan skrin warna 4.2 inci TFT pelbagai fungsi melengkapi bahagian dalamannya.
Pilihan warna yang ditawarkan ialah Frozen White (untuk kesemua versi), Candy Red dan Midnight Sky (untuk tiga model), manakala Ingot Silver (hanya untuk sedan) dan Panther Black (hanya untuk hathback). Harga yang ditawarkan bermula pada RM115,888 untuk versi Sport dan Titanium, untuk versi + pula harganya RM128,888, harga di atas jalan termasuk insurans. Jaminan 5 tahun atau 200,000 km juga diberikan untuk kesemua model.
Sempena pelancaran itu juga, Ford memperkenalkan versi ST yang menjadikan Malaysia negara di rantau ASEAN yang mendapat model ini. Dengan luarannya dilengkapi dengan kit badan ST Sport, gril hadapan berwarna hitam, spoiler belakang ST dan rim aloi 18 inci dengan tayar yang dibuat khas untuk model ini sahaja.
Model ini dijana oleh enjin 2.0 liter Ti-VCT EcoBoost yang memberikan 250 PS pada 6,500 rpm dan 340 Nm tork pada 1,750 rpm. Focus ST mampu memecut dari 0-100 km/h haya dalam masa 6.5 saat dan mempunyai kelajuan tertinggi mencecah 248 km/h, dipadankan dengan kotak gear enam kelajuan manual.
Untuk pasaran Malaysia pilihan warna yang ditawarkan ialah Panther Black, Race Red, Spirit Blue dan Tangerine Scream yang merupakan warna rasmi ST. Selain itu kerusi yang dibuat khas oleh Recaro juga melengkapi gaya keseluruhan model ini.
Dengan pelbagai lagi ciri yang menarik pastinya model ini bakal menggugat model seperti Golf Gti dan Renault Megane RS dengan tawaran harga yang menarik iaitu RM208,888 di atas jalan termasuk insurans. Jaminan tiga tahun atau 100,000 km dengan program penyelenggaraan Ford Extended Service Plan (ESP) untuk tiga tahun atau 60,000 km juga diberikan untuk model ini.
KOMEN TERKINI