ARKIB

KATEGORI

Buletin

Go Auto bakal jadi hab kenderaan elektrik di Asia

Views

Selaras dengan Dasar Automotif Negara (NAP), Malaysia telah menetapkan sasaran 1 juta jumlah jualan industri (TIV) menjelang 2020, di mana 10 peratus daripadanya ialah EV. Go Automobile Manufacturing (Go Auto) memanfaatkan peluang ini dengan memeterai Perjanjian Teknikal dengan Fukuta Electric & Machinery Company Ltd Taiwan (Fukuta) bagi membangunkan ekosistem kenderaan elektrik (EV). Ia bakal menjadikan Malaysia sebagai hab pengeluar dan komponen EV di pasaran ASEAN.

Penglibatan Go Auto dalam membangunkan EV dan komponen berteknologi tinggi adalah hasil daripada Program STRIKE yang dianjurkan oleh MIGHT Technology Nurturing. STRIKE adalah satu program bersepadu baharu dalam pelaksanaan Rancangan Malaysia ke-11 yang bertujuan membuka peluang kepada syarikat tempatan bagi memajukan industri Teknologi Hijau.

STRIKE memfokuskan kepada empat kluster utama iaitu Tenaga Boleh Diperbaharui (solar), Mobiliti Hijau, Bahan Bio-Degradasi dan Bandar Pintar. Go Auto mengetuai kluster Mobiliti Hijau semasa program STRIKE dijalankan memandangkan Go Auto adalah syarikat peneraju utama yang membangunkan ekosistem EV.

Majlis perjanjian tersebut telah disempurnakan oleh Pengarah Eksekutif Go Auto, Dato’ SM Azli Tan Sri SM Nasimuddin Kamal bersama Pengarah Urusan Fukuta, Gordon Chang dalam lawatan kerja yang berlangsung pada 21 hingga 26 November 2016. Antara objektif kerjasama kedua-dua pihak adalah membangunkan fasiliti Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) bagi sistem EV seperti pembuatan komponen High Efficiency Power Motor dan sistem transmisi, termasuk fasiliti pengeluaran bagi tujuan pasaran tempatan dan eksport. Kolaborasi itu juga turut membabitkan pembinaan prototaip bas, teksi dan trak makanan EV.

High Efficiency Power Motor buatan Fukuta mendapat sijil pengiktirafan antarabangsa menerusi Pertubuhan Standard Antarabangsa (ISO) dan Sijil Penyiapan dan Pematuhan China (CCC) serta mendapat pengiktirafan CSA/C/US. Fukuta mula mengeluarkan kereta sport elektrik secara besar-besaran pada tahun 2007 dan telah menerima anugerah industri nasional pertama di Taiwan. Ia turut bertanggungjawab membangunkan tren kuasa untuk model-model Tesla Motor, Luxgen dan Alta Motors.

Dalam lawatan kerja yang sama, Go Auto juga memeterai perjanjian dengan Higer, iaitu syarikat pengeluar bas elektrik yang akan dipasarkan di Malaysia menjelang akhir 2017. Fasiliti yang bakal dibina dianggarkan mempunyai kapasiti pengeluaran pada peringkat permulaan sebanyak 10,000 unit setahun.

KLIK UNTUK BESARKAN

photo-2 photo-3

the authorMohd Izarul
Founder
Pereka grafik berjiwa otomotif

Leave a Reply