Sebelum ini BMW telah beberapa kali mengubah rupa X6 (jenis E71) namun ia masih belum mencukupi buat pakar penalaan dan modifikasi terkemuka dari Jerman, Hamann. Inilah hasilnya setelah Hamann memberikan sentuhannya dan dengan itu maka lahirlah Hamann Tycoon II M. Perbezaannya amat ketara dan boleh dilihat dari jauh kerana kit badan model ini lebih lebar dan membuatkan rupanya tampak lebih aggresif.
Walaupun diubahsuai mengikut citarasa Hamann, tetapi DNA BMW masih lagi dikekalkan dengan bahagian bumper yang lebih sporty dilengkapi dengan lampu LED siang. Kegarangan model ini turut bersambung ke bahagian sisi yang telah dilebarkan dan telah berjaya menambah fungsi aerodinamiknya. Di bahagian belakang pula, ekzos berkembar berwarna perak atau hitam rekaan khas menghiasi bumpernya selain kehadiran spoiler pada boot belakang dan bumbung.
Hamann Tycoon II M turut dilengkapi dengan rim Anniversary “Evo Black Line” berukuran 22 inci dengan 2 pilihan tayar berukuran 295/30 dan 335/25. Bukan setakat penukaran rim dan tayar yang lebih besar, model ini turut direndahkan 40mm untuk memastikan pengendalian yang terbaik. Logo Hamann pula menghiasi penutup enjin yang diperbuat oleh bahan gentian karbon.
Bahagian dalamannya juga turut dinaik taraf dengan penukaran meter speedonya yang kini memaparkan 320 km/h, steering sport yang dibaluti kulit warna hitam, kemasan Alcantara, pengunaan bahan karbon pada bahagian panel instrumen, kemasan pintu, konsol hadapan dan belakang serta pada tombol gear automatiknya. Scuff plate beriluminasi yang diperbuat daripada besi tahan karat dan pedal yang menggunakan aluminium anodised berwarna hitam turut melengkapi bahagian dalaman model ini.
Selain itu kit talaan HM 670 yang terdiri daripada paip pemangkin asap, mampu mengoptimumkan kuasa enjin yang asalnya hanya mampu memecut hingga 250 km/h dengan 555 HP (408 kW) 670 HP (493 kW). Kini torknya telah berjaya ditingkatkan ke 680 Nm sehingga maksimum 950 Nm dan daya pecutannya turut bertambah sehingga ke 300 km/h. Hamann turut mengesyorkan penggunaan minyak enjin berprestasi tinggi Liqui Moly untuk model ini.
KLIK UNTUK BESARKAN IMEJ
KOMEN TERKINI