Beberapa foto generasi baharu KIA Cee’d hatchback telah berjaya dikesan tanpa sebarang celoreng penyamaran di Korea oleh laman sesawang FreeCarTok. Cee’d 2019 menampilkan jeriji ‘Hidung Harimau’ yang lebih anggun serta meminjam beberapa unsur rekaan dari model Rio. Secara keseluruhan penampilan luaran model baharu ini lebih dinamik dan kami rasa ramai yang mungkin menganggapnya sebuah model keluaran Jerman jika lencana KIA tiada di situ.
Rekaan belakangnya pula lebih ringkas dengan lampu belakang melintang yang memanjang dan lebih kemas berbanding model sebelumnya. Model ini dijangka akan berkongsi penjana kuasa petrol dan diesel serta teknologi yang sama dengan Hyundai i30, termasuklah enjin petrol tiga-silinder dengan pengecas turbo dan enjin diesel 1.6-liter turbo.
Ruang dalaman Cee’d 2019 juga sedikit kelihatan dan ia menggunakan kemasan berwarna hitam pada tempat duduk serta panel pintu dengan kombinasi hitam dan perak. Model ini juga bakal dilengkapi dengan beberapa teknologi terkini, salah satunya adalah sistem infohiburan yang serasi dengan aplikasi Apple CarPlay dan Android Auto serta sistem keselamatan seperti Brek Kecemasan Autonomi, Pengesan Titik Buta dan Bantuan Kekal Lorong.
Dijangka model Cee’d 2019 akan membuat penampilan umum pertamanya dalam bentuk lima-pintu di Geneva Motor Show pada bulan Mac 2018 dan kemudiannya diikuti dengan versi tiga-pintu Pro_Cee’d dan model shooting brake versi pengeluaran yang sebelum ini dipertontonkan dalam bentuk konsep Proceed di Frankfurt pada tahun lalu.
KLIK UNTUK BESARKAN
KOMEN TERKINI