Nampaknya BMW 8-Series sedang dipersiapkan untuk fasa pengeluaran pada tahun ini. Foto-foto tiris model tersebut mula berlegar di laman-laman sesawang automotif dan versi pengeluaran 8-Series nampak lebih manja berbanding model konsepnya. BMW 8-Series versi konsep telah dipamerkan kepada umum semasa Concorso d’Eleganza Villa d’Este pada bulan Mei tahun lalu.
Versi pengeluaran 8-Series menampilkan lampu hadapan yang lebih langsing dan jeriji bersaiz besar yang dihiasi kemasan krom. Model tersebut juga dilengkapi dengan bampar hadapan yang lebih konvensional dan cermin sisinya pula direka semula dengan tambahan lampu signal. Mungkin disebabkan dari sudut gambar ini, bahagian belakangnya nampak sedikit ganjil tetapi ia nampak kemas dan tersusun.
Lampu belakangnya yang berbentuk nipis memanjang serta bampar belakang dengan dua tona bersama sistem ekzos berkembarnya tambah menyerlahkan imejnya yang sporty dan mewah. Walaupun foto ini agak kabur, model ini nampaknya akan memakai lencana 850i. Jika ia menggunakan lencana 750i, bermakna model coupe ini akan dikuasakan oleh enjin 4.4-liter TwinPower Turbo V8 yang mampu menghasilkan 445 hp dan 648 Nm tork.
BMW 8-Series bakal dikeluarkan pada lewat tahun ini dan ia bakal diikuti oleh varian convertible. Versi M8 juga sedang dipersiapkan dan bos BMW M, Frank van Meel mencadangkan model ini akan lebih berkuasa dari M5 yang mampu menjana 600 hp dan 748 Nm tork. Kami pun tak dapat nak bayang betapa powernya model M8 baharu ini bila ia dilancarkan nanti. Tunggu je lah ye!
KLIK UNTUK BESARKAN
KOMEN TERKINI