ARKIB

KATEGORI

Buletin

Pusat Penyelidikan dan Pembangunan (PRDC) di China bantu percepat pembangunan model baharu Proton

Berita Global

Views

Pembukaan Pusat Penyelidikan dan Pembangunan (PRDC) Proton di Hangzhou Bay, China telah memainkan peranan penting dalam mempercepat kemajuan teknologi produk syarikat.

Ditubuhkan melalui kerjasama strategik bersama Zhejiang Geely Holding Ltd (Geely), pusat ini telah menjadi pemangkin utama kepada transformasi kejuruteraan dan inovasi produk Proton.

Hanya setahun selepas mula beroperasi, PRDC bukan sekadar pusat teknikal biasa. Ia merupakan hab global pertukaran teknologi, mempercepat proses pembangunan dan pemindahan teknologi terkini ke dalam semua model Proton, termasuk usaha pembangunan Proton e.MAS 7.

Menurut Ketua R&D Kejuruteraan dan Teknikal Proton, Mohd Haizam Bin Ghazali, kerjasama ini berfungsi sebagai penghubung penting kepada keupayaan pembangunan produk Proton.

Tambah beliau, jurutera Proton mendapat akses ke kemudahan canggih tanpa perlu memindahkan operasi R&D utama dari Malaysia.

PRDC menggunakan pendekatan sistem pembangunan produk baharu (NPDS), yang merangkumi setiap fasa kritikal daripada perancangan strategi produk, penetapan reka bentuk sehingga kepada penilaian akhir data (FDJ).

JOM BACA >> INTIP: Unit ujian supermoped Modenas GT150 mula turun ke jalanan!

Pendekatan ini memastikan pembangunan produk yang tersusun, cekap dan berdaya saing. Jurutera Kanan Elektrikal & Elektronik di PRDC, Wan Fatin Nur Amira berkata, kemudahan ini mempercepatkan pembangunan teknologi pintar dalam model baharu Proton.

“Dalam tempoh tiga bulan kebelakangan ini sahaja, saya melihat  bagaimana PRDC menyumbang kepada pembangunan generasi baharu kenderaan pintar Proton menerusi integrasi teknologi E&E kenderaan yang canggih,” katanya.

Dalam aspek prestasi pula, Jurutera Utama Kejuruteraan Prestasi, Muhammad Hafiz Zabidi berkata, antara penambahbaikan yang dibuat merangkumi talaan casis dan sistem suspensi yang lebih sesuai untuk jalan raya di Malaysia.

Ini termasuklah sistem  brek yang lebih baik, tahap bunyi, gegaran dan kekasaran (NVH) yang lebih rendah serta pengunaan minyak yang dipertingkat menerusi ujian kejuruteraan lanjutan.

Pusat R&D ini juga melakukan penanda aras dengan pesaing untuk  memastikan daya saing Proton dan menjanjikan pengalaman pemanduan yang lebih baik kepada pelanggan. Model Proton e.MAS 7 merupakan hasil sinergi teknikal paling ketara antara PRDC dan Proton.

Dengan bantuan makmal bateri, bangku ujian sistem kuasa elektrik dan pusat pembangunan EV canggih, jurutera Malaysia bekerjasama rapat dengan rakan sejawat mereka di China untuk memastikan kesesuaian EV bagi iklim tropika dan corak pemanduan Asia Tenggara.

Jurutera Kanan yang mengawal selia pembangunan e.MAS 7, Omar Farhan Bin Omar pula berkata,  pihaknya mengetuai pengesahan sistem pengurusan haba, brek regeneratif dan pengecasan untuk menyesuaikannya dengan keperluan sebenar pengguna ASEAN.

JOM BACA >> INFO: Ini apa yang anda perlu tahu mengenai EV pertama Perodua

Pakar ujian dan pembangunan Proton, Zulkifli Bin Fadzlullah, pula menekankan peranan penting kemudahan litar ujian dan bilik iklim di PRDC.

“Kami berhubung setiap hari dengan pasukan R&D di Malaysia, berkongsi data dan pengetahuan teknikal untuk mempercepatkan proses validasi di tanah air,” jelasnya.

Proton berhasrat untuk menggandakan saiz pasukan R&D menjelang akhir 2025, sebagai sebahagian inisiatif perluasan teknologi.

Geely turut mendapat manfaat dalam memahami keperluan pasaran ASEAN, dari infrastruktur jalan hingga dasar kerajaan, sekali gus menjadikan Proton bukan sekadar rakan usaha sama, malah penghubung penting kepada pasaran serantau.

Pusat ini dijangka memainkan peranan penting dalam mencorakkan masa depan PROTON, khususnya dalam  bidang seni bina E&E dan pembangunan EV, sekali gus mengukuhkan keupayaan inovasi bebas PROTON di Malaysia.

“Menjelang masa  hadapan, kami menjangkakan lebih banyak kemajuan teknologi akan diintegrasikan ke dalam model-model terkini kami,  sekali gus mencerminkan dedikasi Proton terhadap inovasi dan kemajuan untuk syarikat dan negara,” ujar Mohd Haizam.

KLIK UNTUK BESARKAN

JOM BACA >> MAS2025: Proton e.MAS 5 buat penampilan umum pertama – Bakal dilancar pada Q4 2025
JOM BACA >> INTIP: Unit ujian versi pengeluaran Perodua eMO-II berjaya dirakam dalam jarak dekat
JOM BACA >> INTIP: Proton Saga MC3@AMA01 naik Cameron
JOM BACA >> INTIP: Proton ‘semakin rancak’ menguji X50 FL (facelift) dan Saga MC3@AMA01!
JOM BACA >> Proton bakal lancar sekurang-kurangnya empat model pada 2025 – Ini yang kami tahu…

the authorMohd Izarul
Founder
Pereka grafik berjiwa otomotif

Leave a Reply