ARKIB

KATEGORI

BuletinInfo

ANDAIAN : Adakah ini enjin dan transmisi baharu Geely yang bakal digunakan oleh Proton?

Views

Kami sengaja melayari laman sesawang rasmi Geely untuk melihat apakah teknologi terkini yang mereka ada dan akan digunakan oleh kenderaan keluaran Geely, Volvo dan mungkin juga Proton pada masa akan datang. Di bawah teknologi masa hadapan Geely yang dinamakan sebagai iNTEC, terdapat cabang untuk enjin transmisi yang dikenali sebagai G-Power. Dalam banyak-banyak enjin yang ada, kami lebih tertarik kepada dua enjin yang berkapasiti 1.0 Liter (nama kod GEM3) dan 1.5 Liter (nama kod GEA3) serta transmisi 7-Kelajuan Dwi-Klac (7DCT).

Dua enjin ini mempunyai potensi yang sangat besar untuk digunakan pada model Proton pada masa hadapan. Teknologi enjin G-Power menumpukan kepada aspek prestasi, penjimatan bahan bakar serta tahap kebisingan dan getaran bertaraf dunia yang menjadikannya enjin yang bersih, selamat, andal dan berkuasa dalam kelasnya. Mari kita berkenalan dengan teknologi enjin dan transmisi ini secara ringkas.

Enjin GEM3 1.0 Liter

Enjin 1.0 Liter ini merupakan enjin berpengecas turbo suntikan terus yang sangat cekap. Enjin kecil ini sangat ringan, paling berkuasa dalam kelasnya, sangat cekap bahan bakar dan menepati piawaian ketat pelepasan asap Euro 6. Ia berupaya menjana kuasa sebanyak 100KW dengan tork 205Nm. Enjin ini akan dipasang pada model generasi baharu A0 dan A00 Geely.

KLIK UNTUK BESARKAN

Enjin GEA3 1.5 Liter

Enjin 1.5 Liter dengan pengecas turbo ini menggabungkan falsafah pembangunan Geely dengan reka bentuk modular dan dilengkapi dengan sistem suntikan bahan api bertekanan tinggi 200bar, penyuntik overhead, ekzos berpengecas turbo inertia rendah, reka bentuk saluran udara nisbah jatuh tinggi, pam minyak anjakan boleh ubah, pancarongga bersepadu dengan kepala silinder dan teknologi DVVT.

Ia turut dilengkapi dengan aci pengimbang, pam minyak senyap bertekanan tinggi dan penyerap hentakan serta pelbagai teknologi lain untuk untuk meningkatkan prestasi NVH enjin. Reka bentuknya yang modular dengan aci sesondol berongga, pancarongga kemasukan sintetik dan modul pam bersepadu berjaya mengurangkan berat enjin dan menjadikannya lebih ringan. Enjin ini berupaya membekalkan kuasa sebanyak 132KW dengan tork maksima 265Nm dan menepati piawaian pelepasan asap Euro 6. Ia bakal digunakan pada model LYNK & CO 01 dan Volvo XC40.

KLIK UNTUK BESARKAN

Transmisi 7DCT (7-Kelajuan Dwi-Klac)

7DCT adalah transmisi automatik 7-kelajuan klac yang bertaraf dunia. Dengan tork input 330Nm, ia menggabungkan kelebihan penghantaran manual dan automatik, penggunaan bahan api yang rendah, dan tindak balas pantas 0.3 saat tanpa sebarang gangguan. Transmisi ini hanya seberat 75kg, lebih ringan daripada transmisi automatik 6-kelajuan biasa yang mempunyai berat purata 98kg. Ia akan dipasang bersama-sama dengan enjin 1.5TD dan 1.8TD dari Geely.

KLIK UNTUK BESARKAN

Kami rasa enjin GEM3 1.0 Liter sesuai digunakan pada model Saga dan Iriz atau Persona, manakala enjin GEA3 1.5 Liter sesuai untuk dipasang pada model Prevé, Suprima S, Persona atau model SUV Boyue. Transmisi 7DCT bakal melengkapi kedua-dua enjin ini. Jika Geely mengizinkan Proton untuk menggunapakai teknologi enjin dan transmisi untuk model akan datang, apa pendapat anda? Kami setuju sangat-sangat!

the authorMohd Izarul
Founder
Pereka grafik berjiwa otomotif

3 Comments


  • Enjin GEM3 1.0 Liter turbo dengan kuasa sebanyak 100KW dengan tork 205Nm boleh diketegorikan sebagai enjin 1.0L paling berkuasa.. Hampir sama kuasanya dengan enjin 1.6L NA..
    Ia sangai sesuai untuk Saga, iriz dan Persona.. Dipadankan dengan gearbox 7 kelajuan DCT manumatic, sangat mengujaka..!

Leave a Reply