ARKIB

KATEGORI

Buletin

ASEAN NCAP lakukan ujian Pembangunan Teknologi Titik Buta

Views

Bertempat di Putrajaya minggu lalu, Program Penilaian Kereta Baharu Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN NCAP) telah mengadakan ujian pertama Pembangunan Teknologi Titik Buta untuk kereta yang sedang dijual di pasaran. Objektif utamanya ialah bagi meningkatkan kemampuan dan keupayaan mereka dalam melaksanakan ujian tersebut. Ujian pembangunan ini juga adalah berdasarkan kepada protokol ASEAN NCAP 2017-2020 di mana teknologi tersebut dimasukkan di bawah domain Bantuan Keselamatan dalam aspirasi ASEAN NCAP untuk mengurangkan kematian penunggang motosikal di rantau ASEAN.

Menurut Polis DiRaja Malaysia (PDRM), kematian penunggang motosikal di Malaysia mencatatkan jumlah tertinggi pada 2017 di kalangan kategori pengguna jalan raya dengan 4,348 kematian. Jumlah tersebut mewakili 64.5 peratus daripada jumlah kematian yang direkodkan, iaitu 6,740. Ini diikuti oleh pemandu/penumpang kereta – 18.8 peratus, pejalan kaki – 6.5 peratus, lori – 3 peratus, penunggang basikal – 2.4 peratus, lain-lain – 1.8 peratus, 4WD – 1.7 peratus, van – 0.9 peratus dan pemandu bas/penumpang – 0.3 peratus.

Di peringkat ASEAN, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan bahawa penunggang motosikal atau 2 dan 3 roda terdiri daripada 34 peratus daripada jumlah kematian di jalan raya Asia Tenggara pada tahun 2015. Peratusan ini agak tinggi berbanding pemandu kereta/penumpang dan kenderaan ringan – 16 peratus, pejalan kaki – 13 peratus, penunggang basikal 3 peratus dan lain-lain – 34 peratus kematian.

Disebabkan jumlah kematian penunggang motosikal di rantau ASEAN atau secara khususnya di Malaysia kekal tinggi ASEAN NCAP telah memasukkan Teknologi Titik Buta (BST) dalam protokol penilaian semasa mereka sebagai sebahagian daripada keperluan untuk mendapatkan mata untuk penilaian bintang NCAP ASEAN. BST bertujuan untuk mengelakkan perlanggaran dengan kenderaan lain, terutamanya motosikal, yang datang dari kedua-dua sisi atau belakang kereta ketika mereka berada di zon titik buta kereta.

Dengan mempunyai BST, sistem pengesanan akan memberi amaran kepada pemandu mengenai motosikal berada berhampiran dengan kereta tersebut. Oleh itu, ini akan membantu menghalang perlanggaran daripada berlaku atau meminimumkan kecederaan kepada penunggang motosikal, sekiranya dalam keadaan penunggang motosikal tidak dapat dilihat apabila kereta itu hendak menukar lorong atau membuat pusingan. Dalam ujian tersebut, ASEAN NCAP telah menguji 10 model kereta yang dijual di pasaran ASEAN yang dlengkapi dengan pelbagai jenis BST.

Setiap kereta akan diuji dengan 10 motosikal sasaran yang popular dalam pasaran di rantau ASEAN. Dua jenis penilaian akan dijalankan iaitu semasa waktu siang dan malam. Pada waktu siang, kesemua 10 kereta akan diuji dengan 10 motosikal sasaran, manakala pada waktu malam hanya lima model kereta yang diuji dengan 10 model motosikal yang sama. Ujian yang dilakukan pada siang hari dan waktu malam akan menilai keberkesanan BST bagi mengesan kehadiran motosikal bagi memastikan keselamatan mereka semasa dalam keadaan gelap.

Setiausaha Agung ASEAN NCAP, Ir. Dr. Khairil Anwar Abu Kassim berkata ujian pembangunan BST menandakan perancangan ASEAN NCAP dalam melaksanakan penilaian sebenar kepada ujian keberkesanan BST dalam mengesan penunggang motosikal dalam zon titik buta. Ini sesuai dengan matlamat ASEAN NCAP untuk mengurangkan kematian penunggang motosikal terutama sekali semasa menukar lorong. Ujian ini dilakukan berdasarkan keperluan seperti yang ditetapkan dalam ISO 17387. Ujian ini juga adalah bagi menyediakan pelan tindakan untuk 2021-2030 yang akan menjadi keutamaan dalam keselamatan motosikal dengan mempunyai domain khas untuk penilaian tersebut pada masa akan datang.

ASEAN NCAP mengucapkan terima kasih kepada semua pengeluar kereta seperti Toyota, Honda, Mazda, Volvo, Mercedes dan Hyundai serta Persatuan Pemasang dan Pengedar Motosikal & Skuter Malaysia (MASAAM) Boon Siew Honda dan Hong Leong Yamaha Motor Sdn. Bhd. yang memberi kerjasama sepenuhnya dalam memastikan kejayaan acara ini. Ini merupakan program kolaborasi pertama yang dianjurkan antara pengeluar kereta dan motosikal bersama ASEAN NCAP dan ia diharap dapat diperluaskan lagi pada masa depan bagi memastikan keselamatan jalan raya.

KLIK UNTUK BESARKAN

the authorMohd Izarul
Founder
Pereka grafik berjiwa otomotif

Leave a Reply